REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Wednesday, January 26, 2011

Tertembak diri sendiri ketika bersih senapang patah

MUAR: Seorang warga emas cedera di bahu kanan akibat tertembak diri sendiri ketika membersihkan senapang patah yang hendak digunakan bagi memburu tupai, semalam.

Dalam kejadian di belakang rumahnya di kampung Muda Jaya, Pagoh kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa dikatakan ingin membunuh tupai yang sering merosakkan tanaman di dusun berdekatan rumahnya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, senapang patah digunakan peneroka Felda berusia 62 tahun itu dipercayai buatan sendiri.

“Menurut keterangan anak mangsa yang ketika itu berada di dalam rumah, dia terdengar bunyi letupan dari belakang rumah lalu meluru ke tempat kejadian.

“Anak mangsa mendapati bapanya terbaring cedera dengan senapang di sisi mangsa lalu menghubungi ambulans,” katanya.

Menurut Nasir, akibat tembakan itu mangsa cedera di bahu kanannya dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dirawat di HPSF untuk mengeluarkan peluru jenis penabur yang masih berada di dalam tubuhnya,” katanya.

Menurutnya, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya kerana memiliki senjata api tanpa lesen.

myMetro
26 Jan 2011

Saturday, January 1, 2011

Datuk tipu RM32,000

MUAR: Seorang kontraktor mendakwa kerugian RM32,000 apabila ditipu seorang lelaki bergelar Datuk yang menawarkan projek membina gelanggang futsal bernilai jutaan ringgit di Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Datuk terbabit turut mendakwa mempunyai kepentingan lebih 30 peratus saham dalam Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP).

Temberang itu sudah diguna pakai selama setahun bagi menipu puluhan mangsa membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Mangsa, Azizuddin Atan, 41, berkata, individu terbabit turut menggunakan surat rasmi PTP yang lengkap dengan logo syarikat berkenaan, selain menawarkannya sebuah projek pembinaan gelanggang futsal di Tanjung Pelepas serta berhampiran Ampang Point, Selangor.

“Siapa tidak teruja apabila ditawarkan projek pembinaan gelanggang futsal bernilai RM850,000.

“Melalui sepucuk surat rasmi konon dari PTP, syarikat saya secara umum diberikan kontrak membina gelanggang terbabit,” katanya di pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Azizuddin kemudian membalas surat tawaran itu sebelum satu pertemuan diadakan di pejabat Datuk itu di ibu negara.

Sebaik menandatangani surat perjanjian usaha sama, mangsa diarah membayar sejumlah wang yang didakwa bakal digunakan untuk modal projek ditawarkan.

“Saya hanya mengikut kehendak Datuk terbabit dan beberapa kali membuat transaksi pembayaran melalui akaun bank bernilai RM32,000.

“Namun peliknya, transaksi wang itu tidak menggunakan akaun syarikat tetapi menggunakan nama seorang wanita yang difahamkan isteri kepada Datuk berkenaan,” katanya.

Sebanyak tiga transaksi pembayaran dilakukan mangsa selepas itu, namun timbul keraguan apabila Azizuddin tidak menerima sebarang khabar berita selepas itu.

Projek itu sepatutnya bermula selepas Aidilfitri pada September lalu, namun senyap hingga kini.

Difahamkan, mangsa cuba menghubungi Datuk berkenaan, tetapi diugut konon lelaki itu mampu menarik semula laporan polis dibuat kerana mempunyai pengaruh besar di negara ini.

“Saya yang bimbang cuba berhubung dengan PTP melalui sepucuk surat selepas menerima ugutan dan terkejut apabila syarikat itu memaklumkan tidak pernah menawarkan projek pembinaan gelanggang futsal berkenaan,” katanya.

Selepas menyedari surat tawaran itu palsu, Azizuddin membuat laporan polis dan pada masa sama secara kebetulan berjumpa dengan tiga mangsa lain yang mendakwa turut ditipu lelaki berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Jabatan Korporat PTP, Suffian Baharuddin berkata, surat tawaran diberikan kepada mangsa ternyata palsu berikutan ketiadaan nombor siri.

Beliau berkata, surat itu juga ditandatangani individu tidak dikenali PTP.

“PTP tidak pernah mengeluarkan sebarang tawaran tender gelanggang futsal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

myMetro
1 Jan 2011