REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Tuesday, March 26, 2013

Pasang lampu isyarat elak kemalangan


KETIADAAN kemudahan lampu isyarat di persimpangan empat Sungai Terap di Bakri, Muar menyebabkan ramai pengguna jalan raya terpaksa mengadaikan nyawa sendiri setiap kali menggunakan laluan tersebut.

Ini kerana persimpangan empat yang menghubung Kampung Jeram, Kampung Tengah, Sungai Terap dan Jeram Masjid itu sentiasa sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan yang bertali arus membuatkan kawasan berkenaan dikenali sebagai 'kawasan hitam' berikutan kerap berlaku kemalangan hingga menyebabkan maut.

Sebagai pengguna tetap jalan tersebut sejak 20 tahun lalu, kami selaku penduduk berasa takut setiap kali menggunakan persimpangan empat itu terutama dari rumah saya di Kampung Tengah ke Jeram, Bakri.

Kebanyakan kenderaan di situ dipandu laju dan seringkali membelok ke persimpangan empat berkenaan sesuka hati tanpa mengikut peraturan.

Ini membuatkan setiap minggu pasti ada sahaja kemalangan, meskipun tidak membabitkan kematian maut dan ini disebabkan sikap pemandu yang tidak sabar untuk melintas atau membelok ke persimpangan jalan.

Keadaan bertambah sibuk setelah adanya pintasan jambatan Muar kedua dan pembinaan banyak perumahan baru di kawasan berhampiran, menyebabkan persimpangan itu sesak dengan kenderaan kerana menjadi laluan utama penduduk.

Penduduk kampung sudah lama mengemukakan permohonan meminta pihak bertanggungjawab memasang lampu isyarat di kawasan berkenaan, tetapi sehingga kini masih tidak mendapat sebarang perkembangan positif.

Meskipun Majlis Perbandaran Muar (MPM) ada menyatakan hasrat untuk meninjau kawasan itu terlebih dahulu pada hujung tahun lalu bagi membuat kajian perlu atau tidak sebuah lampu isyarat di persimpangan tersebut, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan.


Rahman Abdul Ghani
Kampung Tengah, Muar.

Utusan
26 Mac 2013



6 kematian akibat denggi


MUAR 21 Mac - Sebanyak enam kematian akibat demam denggi dicatatkan dalam tempoh tiga bulan pertama di negeri ini, sekali gus menjadi negeri tertinggi mencatatkan kematian daripada keseluruhan 12 kes kematian di negara ini

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, turut berlaku kematian ialah di Perak, Sabah dan Sarawak.

''Enam mangsa itu berusia antara 15 hingga 76 tahun dengan kes terbaharu berlaku awal bulan ini membabitkan seorang lelaki dewasa dari Taman Sentosa, Johor Bahru.

''Berikutnya melibatkan seorang pelajar berusia 15 tahun dari Kampung Dato' Suleiman Menteri, Johor Bahru yang meninggal dunia pada 15 Mac lalu dan ibunya pula yang berusia 43 tahun meninggal dunia sehari selepas itu,'' katanya dalam sidang akhbar di Rumah Mewah Orang Kenamaan (VVIP) di sini hari ini.

Mangsa terbaharu itu katanya, dilaporkan mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 13 Mac tetapi keadaan kesihatan mereka semakin teruk dan mengalami pendarahan pada hari berikutnya sebelum dimasukkan ke hospital kerajaan.

Robia berkata, sebanyak 468 kes demam denggi dilaporkan berbanding 355 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 37 peratus.

Menurut beliau, setakat ini Johor Bahru merupakan daerah yang paling tinggi menyumbang kepada keseluruhan kes iaitu 68 peratus, diikuti Kulaijaya (11 peratus), Kota Tinggi dan Batu Pahat (4 peratus), Segamat (3 peratus), Muar, Pontian dan Kluang (2 peratus), Ledang (1 peratus) dan Mersing (0.6 peratus).

"Jumlah lokaliti wabak pula sehingga minggu ke-11 pada 2013 ialah 48 lokaliti berbanding 23 lokaliti untuk tempoh yang sama pada 2012, peningkatan sebanyak sekali ganda jumlah wabak berbanding tahun lalu.

"Daripada jumlah tersebut, 94 peratus wabak berlaku di daerah Johor Bahru, manakala selebihnya di Kulaijaya, Segamat dan Kluang masing-masing satu wabak dan terdapat 12 lokaliti wabak yang masih aktif terutamanya di Johor Bahru," katanya.

Antaranya kata beliau, di Taman Seri Mutiara, Kampung Dato' Sulaiman Menteri, Taman Bukit Dahlia, Taman Suria Muafakat, Bandar Baru Uda, Taman Sri Pulai Perdana, Taman Cendana, Apartmen Bistari Impian, Taman Dahlia, Taman Bayu Puteri 2, Taman Megah Ria yang semuanya di Johor Bahru dan Taman Kluang Baru di Kluang.

Robia berkata, punca berlakunya kes denggi ialah disebabkan tahap kebersihan yang kurang memuaskan di kawasan kampung dan taman perumahan misalnya sampah-sarap dan bekas-bekas takungan dibiarkan begitu sahaja.

Utusan
22 Mac 2013

Jangan guna tuba, racun

Saharuddin (dua,kanan) bersama Abd Hamid (dua, kiri) melepaskan benih ikan ke Sungai Muar di Panchor, semalam.

MUAR – Nelayan laut dan sungai diminta  tidak menggunakan kaedah tuba atau meracun bagi tujuan  menangkap ikan kerana ia memberi  kesan buruk dan mengakibatkan habitat ikan pupus.

Pengarah Perikanan Negeri, Abd Hamid Md Yassin berkata, tindakan itu perlu dihentikan segera kerana negara sedang berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan ikan sedangkan permintaan terhadap keperluan itu semakin meningkat.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu kerajaan melalui jabatan perikanan mengambil inisiatif melaksanakan program  pemuliharaan sumber ikan dengan melepaskan benih ikan di laut dan sungai.

“Kita sudah melepaskan lebih 200,000 benih anak ikan di sungai dalam negeri ini melibatkan beberapa kawasan di daerah ini.

“Kita juga ada melepaskan benih anak ikan di laut tetapi  tidak berjaya, sebaliknya kita ubahnya dengan bina tukun  tayar dan batu untuk  menggalakkan pembiakan ikan dan plankton, ” katanya ketika berucap pada program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum di Jeti Pekan Panchor di sini, semalam.

Program  anjuran Jabatan Perikanan Negeri Johor dengan kerjasama Persatuan Usahawan Daerah Muar itu dirasmikan Adun Jorak, Datuk Dr Saharuddin Md Salleh.

Pada program berkenaan sebanyak 40 ekor benih ikan Lampam Sungai dan 20 ekor benih ikan Baung dilepaskan ke dalam Sungai Muar di Panchor.

Abd Hamid berkata, benih yang dilepaskan itu dijangka mengambil  masa selama enam bulan untuk membesar sebelum ditangkap.

Menurutnya, purata seseorang  memakan ikan ialah sebanyak 46 kilogram (kg) setahun dan pengambilan sumber protein itu meningkat kepada 56 kg apabila program itu dilaksanakan.

“Bilangan penduduk di negara ini dijangka meningkat kepada 43 juta menjelang tahun 2050 dan ketika itu ikan akan menjadi keperluan mendesak kepada mereka, " katanya.

Sinar Harian
26 Mac 2013

Norain Shahira mimpi 8A tetapi peroleh 11A+


NORAIN Shahira berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya, Zaliah Konchong dan Abdul Wahab Abdul Shukor selepas memperoleh 11A+ dalam SPM 2012 di SMKA Maahad Muar, Johor, semalam.

MUAR 21 Mac - Pelajar Melayu terbaik daerah ini tidak menyangka mimpinya mendapat 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 merupakan petanda dia bakal mencatatkan keputusan lebih cemerlang iaitu 11A+.

Itu yang dialami pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMA) Maahad Muar, Norain Shahira Abdul Wahab, 18, dari Taman Bakri Jaya, dekat sini, yang diumumkan sebagai salah seorang daripada dua calon SPM di Muar yang mendapat keputusan 11A+.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, mimpi tersebut membuatkan semangatnya yang berkobar-kobar untuk mengetahui keputusan hari ini seakan-akan pudar sehingga terpaksa mententeramkan hati untuk reda dengan sebarang keputusan yang bakal diterima.

"Mimpi itu terbawa-bawa dalam ingatan sehingga saya macam tidak ada hati untuk ke sekolah mengambil keputusan SPM. Walau bagaimanapun, apabila tiba di sekolah, saya rasa hairan selepas guru tersenyum dan mengucapkan tahniah tanpa henti.

"Namun, apabila diumumkan, saat itulah baru saya tahu mendapat 11A+. Tergamam dan sukar untuk diluahkan dengan kata-kata waktu itu. Memang susah nak percaya seakan-akan 'bermimpi' sekali lagi," katanya ketika ditemui di sekolahnya, di sini hari ini.

Pengumuman itu turut mengejutkan bapanya, Abdul Wahab Abdul Shukor, 50, dan ibunya, Zaliah Konchong, 49, yang mengiringinya mengambil keputusan SPM sekali gus membuatkan kedua-dua mereka yang bekerja sebagai guru tidak putus-putus mengucapkan syukur.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Norain Shahira mengakui akan mengulang kaji terlebih dahulu sebelum memasuki kelas sebelum mengulanginya di rumah bagi menguatkan ingatan tentang perkara yang dipelajari.

Selain tekun membaca dan mengulang kaji pelajaran, dia mengamalkan solat hajat setiap malam, berpuasa setiap Isnin dan Khamis serta mengamalkan bacaan surah ar-Rahman dan Waqiah setiap hari untuk menajamkan fikiran.

"Semasa menghadapi peperiksaan pula, saya berpuasa sehingga SPM tamat. Saya tidak pernah terfikir untuk mendapat keputusan 11A+ kerana sebelum ini dalam peperiksaan percubaan hanya mendapat keputusan 9A," katanya.

Dia yang meminati subjek Matematik dan bercita-cita menjadi pakar dalam bidang itu berhasrat melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) walaupun menerima tawaran Universiti Teknologi Petronas.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran SMKA Maahad Muar, Hamidah Ridzuan berkata, sekolahnya mencatat keputusan 100 peratus kelulusan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.5.

Beliau memberitahu, daripada 151 calon yang menduduki SPM tahun lalu, 13 pelajar memperoleh keputusan cemerlang dan empat subjek menunjukkan peningkatan iaitu Pendidikan Syariah Islamiah, Matematik, Matematik Tambahan dan Bahasa Melayu.

Utusan
22 Mac 2013


Thursday, March 21, 2013

Dalang sedang dikenalpasti


MUAR - Polis sedang mengenal pasti pihak bertanggungjawab yang cuba melakukan sabotaj Program Bersatu Banteras Jenayah Peringkat Daerah Muar 2013 yang  dirasmikan Timbalan Perdana Menteri di Bakri, di sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kejadian itu dikesan apabila pihaknya menemui poster lain diedarkan kepada orang ramai beberapa hari sebelum program itu berlangsung di Dewan Bola Keranjang Bukit Bakri, di sini.

“Kita percaya tindakan itu untuk mengelirukan orang ramai. Pihak ini meniru risalah atau poster yang sama seperti dikeluarkan pihak penganjur iaitu polis dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi meyakinkan orang ramai.

“Apa yang membezakan poster asli ialah tarikhnya. Poster asal bertarikh 15 Mac 2013 manakala poster palsu 15 Mac 2012,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Angkat Sumpah Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) Parlimen Muar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini,
semalam.

Pihaknya kesal dengan perbuatan itu dan individu terbabit tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana program berkenaan  adalah untuk manfaat orang ramai bagi  melahirkan kesedaran terhadap bahaya jenayah.

Ditanya sama ada unsur sabotaj bermotifkan politik kerana Parlimen Bakri dikuasai pembangkang, beliau tidak mahu kaitkan perkara itu dengan mana-mana parti kerana program tersebut dianjurkan untuk penduduk Bakri dan kawasan berhampiran.

Meskipun terdapat cubaan sabotaj, beliau amat berpuashati kerana program itu berjalan lancar dan polis mendapat banyak pujian daripada orang ramai dengan kehadiran lebih 5,000 itu melepasi anggaran kedatangan 4,000 pengunjung sebelum ini.

Sementara itu, berhubung 108 anggota Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) mengangkat sumpah, Sahadan berkata, pelantikan baru tersebut melibatkan 78 lelaki manakala selebihnya wanita dan majoriti keanggotaannya ialah kaum Melayu.

Katanya, anggota PVR baru itu mendapat latihan secukupnya dan akan berkhidmat di seluruh daerah ini bermula minggu ini serta tugasan masing-masing sudah pun diberikan.

Sinar Harian
20 Mac 2013

Peniaga rugi hampir RM15,000 disamun depan rumah


Polis menjalankan pemeriksaan di kediaman mangsa selepas kejadian berkenaan.

MUAR - Seorang peniaga alat perkakas kerugian hampir RM15,000 selepas disamun empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau serta  pistol di rumahnya di Blok A, Pekan Bukit Pasir, berhampiran Taman Bintang Emas dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Tan, 40,  bersama isterinya baru  pulang bersarapan dari  sebuah kedai berdekatan  kediaman mereka.

Menurutnya, sebelum kejadian, isterinya melahirkan rasa tidak sedap hati apabila melihat sebuah kereta Proton Waja tidak dikenali berlegar  di kawasan  berhampiran  rumah mereka.

“Saya buat andaian sendiri dan anggap kereta itu mungkin sedang cari rumah rakannya.

“Ketika mahu masuk  rumah, saya sedar ada seorang individu bertopeng dan rakannya pakai cermin mata gelap ekori saya dari belakang sebelum turut masuk ke kawasan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, mereka mengugutnya memberikan semua barangan berharga jika tidak mahu ditembak dengan pistol yang mereka bawa.

Menurutnya, dia yang bimbangkan keselamatan  isteri, cucu dan menantu yang menyaksikan kejadian, terpaksa menyerahkan jam tangan berjenama, dompet yang mengandungi wang tunai RM3,000, telefon bimbit dan buku cek.

“Setelah memperoleh barangan itu, ke semua mereka melarikan diri dengan kereta tersebut yang diletakkan di hadapan rumah,” katanya.

Tan berkata, sejurus  penjenayah melarikan diri, dia  segera menghubungi balai polis berhampiran untuk  memaklumkan kejadian itu.

Tambahnya, walaupun terpaksa melalui detik mencemaskan itu, namun dia bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas ahli keluarganya.

“Selepas ini saya akan lebih berwaspada dan pastikan pintu pagar rumah sentiasa tutup bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, mengesahkan  kejadian itu.

Menurutnya, usaha mengenal pasti identiti suspek sedang dilakukan termasuk dengan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan suspek akan segera diberkas apabila maklumat berkaitan mereka diperoleh,” katanya.

Sinar Harian
21 Mac 2013

Lelaki rempuh lori elak diragut


Mangsa cedera di kepala, kaki dan tangan ketika cuba mengelak diragut di Jalan Sakeh, kelmarin.

MUAR - Seorang lelaki cedera pada beberapa bahagian badan akibat merempuh  sebuah lori ketika cuba mengelakkan rantai emas dipakainya daripada diragut dua penjenayah dalam kejadian di Jalan Sakeh di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu berlaku ketika mangsa berusia lingkungan 20an menunggang motosikal sendirian dari Bakri menghala ke Sungai Abong.

Saksi kejadian yang hanya dikenali Lim, 40, berkata, sebelum berlaku cubaan ragut itu, dia melihat motosikal mangsa diekori dua motosikal lain yang ditunggangi lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, apabila menghampiri motosikal mangsa, salah seorang suspek meletakkan tangannya ke leher mangsa untuk cuba menarik rantai emas dipakainya.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan itu, memecut laju motosikalnya tetapi memasuki laluan kanan lalu merempuh bahagian hadapan lori yang dalam perjalanan dari Sungai Abong ke Bakri.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan di kepala, kaki dan  tangan,” katanya kepada  Sinar Harian.

Lim berkata, ketika kejadian dia berada di sebuah kedai makan sementara menunggu tempahan makanannya siap berhampiran dengan lokasi.

Jelasnya, suspek gagal  meragut mangsa dan segera  meninggalkan tempat itu  sejurus  kejadian tersebut disedari orang ramai.

“Orang ramai membantu menyelamatkan mangsa yang terbaring di atas jalan sebelum menghubungi ambulan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, mengesahkan laporan kejadian dan usaha menjejaki suspek sedang giat dijalankan.

Sinar Harian
21 Mac 2013

Wednesday, March 20, 2013

Kedai emas dirompak kurang lima minit


Polis membuat pemeriksaan pada meja pameran barang kemas yang dilarikan lima penjenayah bersenjatakan pistol dalam kejadian di Bukit Pasir, semalam.

MUAR - Pemilik sebuah kedai emas kerugian kira-kira RM1,000 selepas premisnya dirompak sekumpulan penjenayah bersenjatakan dua pucuk pistol dalam kejadian di pekan Bukit Pasir dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, lima penjenayah bertopeng meluru masuk ke kedai tersebut sebelum memecahkan cermin pameran barang kemas menggunakan penukul besi.

Saksi kejadian yang hanya dikenali Chan, 40-an, berkata, ketika kejadian tiada pelanggan di premis itu, melainkan anak pemilik kedai tersebut.

Menurutnya, ketika itu dia sedang minum kopi di sebuah kedai makan berhadapan  kedai emas tersebut.

“Tiba-tiba, saya nampak tiga lelaki bertopeng meluru masuk dalam kedai itu, seorang rakan mereka tunggu di luar dan seorang lagi dalam kereta.

“Selepas ambil barang kemas, semua suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang diletakkan berhampiran kedai,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, kejadian berlaku kurang lima minit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pihaknya menemui kereta suspek ditinggalkan di sebuah kedai kira-kira satu kilometer dari pekan itu. Mereka menaiki kenderaan lain sebelum merompak.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di kedai berkenaan untuk mengenal pasti  identiti suspek.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil untuk memberikan maklumat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian
20 Mac 2013

Tuesday, March 19, 2013

17,000 terima RM3.4j Karisma@Hati Rakyat


MUAR 12 Mac - Kira-kira 17,000 golongan miskin dan berpendapatan rendah di negeri ini menerima peruntukan berjumlah RM3.4 juta menerusi Program Karisma@Hati Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, Johor adalah antara negeri terbanyak menerima bantuan itu membabitkan kira-kira 17,000 penerima.

"Menerusinya kerajaan memberikan baucar sebanyak RM200 bagi setiap isi keluarga di semenanjung, manakala RM300 di Sabah dan Sarawak," katanya sebelum menyampaikan bantuan itu kepada pengerusi-pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) di sebuah hotel di sini hari ini.

Program Karisma@Hati Rakyat menerusi peruntukan RM50 juta boleh memberikan manfaat kepada rakyat kurang berkemampuan dan kumpulan sasar di seluruh negara termasuk warga emas, golongan miskin, orang kurang upaya (OKU), wanita serta kanak-kanak kurang bernasib baik.

Baucar berkenaan boleh digunakan bagi penebusan barangan keperluan harian dan kelengkapan di kedai-kedai terpilih di seluruh negara.

Robia menjelaskan, tempoh sah laku baucar berkenaan ialah sehingga 31 Mac ini dan MPWK perlu menggerakkan jentera masing-masing untuk menyerahkan baucer berkenaan kepada penerima di kawasan Parlimen mereka dengan segera supaya dapat ditebus di kedai-kedai yang disenaraikan.

Beliau memberitahu, senarai kedai yang dipilih oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di negeri ini akan diberikan kepada setiap Parlimen.

"Bersama-sama baucar ini disertakan juga slip akuan terima dan borang maklumat penerima. Ini perlu dikembalikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah bersama salinan kad pengenalan penerima," katanya.

Utusan
13 Mac 2013


Monday, March 18, 2013

Syarikat perabot rugi RM400k


MUAR - Empat syarikat perabot di daerah ini, kerugian hampir RM400,000 selepas e-mel mereka digodam sindiket jenayah antarabangsa yang didalangi sekumpulan warga Afrika dalam tempoh dua bulan pertama, tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, modus operandi penjenayah adalah dengan memasuki e-mel pelanggan syarikat perabot itu di Afrika sebelum mengarahkan pembayaran dibuat ke dalam akaun lain.

Menurutnya, kegiatan itu hanya disedari salah seorang pelanggan apabila barang yang ditempah tidak sampai pada tarikh ditetapkan yang membabitkan kerugian kira-kira RM350,000.

“Empat laporan polis dibuat syarikat terbabit selain dua pelanggan mereka yang tertipu dalam kejadian pada 25 Januari hingga 25 Februari lalu, dan  mendakwa sistem e-mel mereka dicerobohi kumpulan penggodam itu.

“Kes berkenaan berlaku ke atas kilang perabot yang banyak berurusan dengan pelanggan dari luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Sahadan berkata, kumpulan terbabit dikatakan menghantar e-mel kepada pelanggan yang mahu membeli perabot dan meminta mereka memasukkan bayaran ke dalam satu akaun lain tanpa disyaki pembeli.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, kumpulan penggodam itu berasal dari Afrika dan ada antara mereka meminta pelanggan memasukkan wang ke dalam akaun bank antarabangsa juga sebuah bank tempatan di Kuala Lumpur.

“Kegiatan ini boleh dielakkan jika semua urusan pembayaran dibuat dengan lebih berhati-hati bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

“Pengusaha kilang perabot mesti memastikan semua transaksi dibuat secara sah ke dalam akaun mereka kerana ia membabitkan pembayaran menerusi internet,” katanya.

Katanya, tahun lalu dua kes dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM53,000 apabila dua pelanggan dari Indonesia ditipu menggunakan modus operandi sama.

Sinar Harian
14 Mac 2013

Pecah rumah nak bayar hutang Ah Long


MUAR - Ketua kumpulan Angah yang berusia 21 tahun dikatakan terbabit dengan kes pecah rumah dan mencuri motosikal di sekitar Muar sejak tahun lalu kerana mahu melangsaikan hutangnya dengan Ah Long.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supt Shahadan Jaafar berkata pemuda berasal dari Klang, Selangor itu berhutang dengan Ah Long untuk membeli syabu yang ditagihinya sejak sekian lama.

Lelaki itu dan seorang lagi rakannya yang berusia 22 tahun masing-masing diberkas pada 5 dan 10 Mac lalu, katanya kepada pemberita hari ini.

Shahadan berkata dengan penahanan kedua-dua suspek, polis menemui semula tiga buah motosikal, sejumlah alat ganti motosikal, CPU komputer, telefon mudah alih dan lain-lain barangan curi yang kesemuanya bernilai kira-kira RM100,000.

"Kita percaya dengan penahanan kedua-dua suspek, kita dapat menyelesaikan empat kes curi motosikal dan pecah rumah di kawasan Parit Jawa dan sekitar bandar Muar," katanya sambil menambah polis masih lagi memburu dua lagi anggota kumpulan tersebut.

Kedua-duanya direman sehingga 17 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 (pecah rumah dan mencuri) yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Shahadan berkata dua peniaga besi buruk juga turut diberkas kerana membeli barangan curi dari kumpulan itu dan akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi. - Bernama

13 Mac 2013

Sekolah dalam hospital ditambah


MUAR - Sebanyak tiga lagi sekolah dalam hospital kerajaan bakal dibuka pada tahun ini sebaik kerja pengubahsuaian siap dilaksanakan.

Tiga sekolah berkenaan adalah di Sarawak, Sabah dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, di sini.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd Rahman berkata, kerja pengubahsuaian bangunan kini sedang giat dilakukan dan dijangkakan memulakan kelas pada akhir April ini.

“Sebelum ini, tujuh sekolah dalam hospital iaitu di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang, Hospital Ampang, Hospital Kuala Krai, Kelantan dan Hospital Temerloh di Pahang telah berjaya diwujudkan.

“Pembukaan sekolah ini bertujuan mengelakkan pelajar yang sedang menjalani rawatan jangka panjang di hospital tercicir dalam pelajaran,” katanya ketika berucap merasmikan Rumah Kasih HPSF di Jalan Salleh, di sini, kelmarin.

Menurutnya, program anjuran Yayasan Nurul Yakin dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan itu membolehkan pelajar yang terpaksa dirawat di hospital berpeluang meneruskan pelajaran mereka.

Mengulas berkaitan Rumah Kasih HPSF itu, Noorainee berkata, rumah tersebut membantu memudahkan keluarga pesakit yang terpaksa bermalam di hospital berkenaan yang jauh dari kediaman masing-masing.

“Mereka hanya perlu membayar RM10 semalam untuk tinggal sementara di rumah itu sehingga keluarga mereka yang dirawat dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyeru syarikat korporat supaya menyumbang kepada tabung yayasan berkenaan untuk membolehkan lebih banyak rumah seumpama itu diwujudkan di hospital di seluruh negara.

Selain itu, Noorainee yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, kemudiannya meninjau kerja pengubahsuaian dua bilik darjah sekolah dalam hospital di hospital berkenaan.

Sinar Harian
18 Mac 2013

Mekanik maut rempuh pikap abang

Kereta yang dipandu mangsa remuk selepas terlibat dalam kemalangan. 


B Gunalan

Mekanik maut, empat parah

MUAR  - Seorang mekanik maut selepas kereta yang dipandunya merempuh kenderaan abangnya dari arah belakang dalam kemalangan di kilometer 143 di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran  Pagoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa B Gunalan, 27, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat penumpang lain terselamat tetapi mengalami kecederaan parah.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu mangsa gagal mengelak kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota  Hilux yang dipandu abangnya, B Suresh, 28, yang membrek mengejut di hadapannya.

Gunalan yang berasal dari Taman Sri Mahsan, Bahau, Negeri Sembilan maut akibat cedera parah di kepala dan anggota badan manakala seorang adiknya dan tiga rakannya yang turut menaiki kereta sama patah tangan dan kaki.

Suresh yang  mengalami cedera ringan ketika ditemui berkata, kejadian berlaku dengan pantas selepas dia membrek kenderaannya secara tiba-tiba sebelum dirempuh kereta adiknya dari belakang.

“Selepas melanggar kereta saya, kereta Gunalan melanggar pula pembahagi jalan. Akibat kecederaan teruk dia meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superitendan Sahadan Jaafar berkata, kejadian itu berlaku ketika pasangan adik beradik itu dalam perjalanan dari Bahau, Negeri Sembilan ke Johor Bahru, Johor.

“Mangsa yang cedera dirawat di HPSF dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Tabung Wira Lahad Datu Sumbangan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu  Johor (PPPKMNJ) cawangan Muar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Sinar Harian
19 Mac 2013

Rakyat diminta terus pelihara keamanan

Muhyiddin diiringi Norainee meluangkan masa beramah mesra dengan pemilik sebuah kedai kopi dan ahli keluarga sempena lawatan mesra ke Parlimen Bakri di Pekan Bakri, Muar, semalam. Foto Shahrul M Zain

Muar: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keamanan dinikmati rakyat hari ini bukan jaminan akan berkekalan kerana sudah pasti ramai yang cemburu dengan keharmonian dikecapi negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu berusaha dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan Malaysia terus menikmati keamanan dan mempertahankan kejayaan dinikmati negara ketika ini.

Bukan jaminan kekal aman 

“Walaupun negara kita aman dan selamat, ia bukan jaminan akan kekal aman sebab kita ada musuh di luar sana. Walaupun mengikut kajian, Malaysia antara negara paling selamat di dunia pada kedudukan 20 mengatasi Singapura di tempat 23.

“Rakyat perlu bersyukur kerana negara ini aman damai tanpa kacau bilau seperti yang berlaku di sesetengah tempat,” katanya ketika berucap merasmikan Program Bersatu Banteras Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Malaysia (MCPF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Dewan Bola Keranjang Pekan Bakri, dekat sini.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Noorainee Abd Rahman; Ketua Urus setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bukit Aman, Datuk Wira Ayub Yaakob; Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Ketua Polis Melaka, Datuk Chua Ghee Lye.

Yakinkan pelabur 

Muhyiddin berkata, keamanan negara perlu dipertahankan bagi kesejahteraan dan rakyat pasti tidak mahu orang luar menyatakan Malaysia tidak selamat sehingga boleh menyebabkan pelabur luar enggan datang ke sini.

Sehubungan itu, katanya, beliau kecewa dengan tohmahan pembangkang berkaitan pencerobohan dan serangan pengganas di Lahad Datu di Sabah.

Katanya, perairan timur Sabah melangkaui jarak sepanjang 1,400 kilometer dan kawasan FELDA Sahabat di Lahad Datu sendiri mempunyai keluasan lebih daripada Perlis.

Terdahulu, sebelum menghadiri majlis itu, Muhyiddin meluangkan masa hampir sejam melakukan tinjauan mesra di sekitar sekitar Pekan Bakri sambil beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai di Pasar Bakri.

Beliau turut melawat kedai berhampiran selain bersarapan pagi bersama penduduk di Kedai Kopi Yong Wah dan Warung Kak Bib di pekan itu.

Berita Harian
17 Mac 2013

Muhyiddin Ajak Rakyat Ambil Iktibar Insiden Pencerobohan Di Sabah


MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat supaya tidak mengambil mudah soal keselamatan negara dengan mengambil iktibar daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah memberi pengajaran bahawa rakyat tidak mampu menjalankan rutin kehidupan harian masing-masing jika negara tidak aman.

Soal keselamatan, keamanan dan kestabilan merupakan syarat utama untuk kerajaan membangunkan negara, katanya ketika berucap selepas solat Jumaat dan majlis jamuan bersama rakyat di Masjid Kampung Pergam, di sini, Jumaat.

Berikutan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Muhyiddin berkata masyarakat nelayan, petani dan peniaga di sana hilang mata pencarian kerana bimbang dengan keselamatan.

Majlis turut dihadiri oleh isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata rakyat seharusnya memberi kerjasama dan motivasi kepada pasukan keselamatan negara dan tindakan kerajaan dalam membanteras kumpulan pengganas bagi memastikan Sabah berada dalam keadaan aman.

"Saya yakin masalah di Lahad Datu akan dapat diatasi tidak lama lagi," katanya kepada lebih 500 penduduk yang hadir pada majlis itu.

Muhyiddin turut mengumumkan beberapa bantuan termasuk peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk membina sebuah masjid baharu untuk penduduk kampung tersebut.

Selain itu beliau turut mengumumkan bantuan sebanyak RM100,000 untuk pembinaan jeti nelayan, RM80,000 bagi pembinaan jalan dan RM50,000 untuk membaikpulih dewan belia di kampung tersebut. -BERNAMA

15 Mac 2013

PPPN usaha serius kerajaan: TPM


Muhyiddin ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama PIBG dan Guru Parlimen Pagoh di Sekolah Kebangsaan Sri Bukit Pasir, Muar, semalam. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Muar: Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata proses penambahbaikan mutu pembelajaran dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (PPPN), usaha serius kerajaan bagi memastikan pencapaian semua sekolah setara selain mencapai piawaian antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha yang dijalankan dalam tempoh 13 tahun mulai tahun ini, membabitkan semua sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan sekolah agama Kementerian Pelajaran.
“Pelan itu proses tambah baik yang dibuat dengan serius dan tidak saja sekolah kebangsaan tetapi semua sekolah di bawah kementerian.

“Ada yang kata pelan itu seperti memberi tumpuan kepada sekolah kebangsaan saja, mungkin kerana ia lebih besar, tetapi sekolah jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) turut diberi perhatian agar dinaik taraf, begitu juga kepada sekolah mubaligh dan sekolah agama.

Tumpu semua sekolah

“Kita tidak mahu orang salah faham bahawa pembentukan pelan ini hanya memberi tumpuan kepada sekolah kebangsaan, sebaliknya kita juga menumpukan semua sekolah sebab mereka adalah anak Malaysia dan perlu dibimbing,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Guru Parlimen Pagoh dan Perasmian Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Sri Bukit Pasir, di sini semalam.

Yang turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat; ADUN Jorak, Datuk Dr Shahruddin Salleh dan Pegawai Daerah, Abdul Rahman Dawam.

Katanya, proses penambah baik itu usaha mencabar bukan kerana lebih banyak bebanan kerja, sebaliknya menuntut kecekapan dan kemahiran teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam sistem pembelajaran kerana internet juga membolehkan pelajar menambah ilmu pengetahuan di luar bilik darjah.

Bentuk sahsiah, nilai etika

Beliau berkata, usaha meningkatkan mutu pendidikan negara menuntut kerjasama semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan PIBG dalam usaha melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang dalam pelajaran, malah membentuk sahsiah dan nilai etika supaya menjadi manusia yang benar berjaya.

Katanya, pembabitan aktif semua pihak perlu dijalankan sepanjang masa dan bukan secara bermusim untuk memastikan ia berkesan, malah peranan PIBG juga perlu disusun semula supaya lebih ‘bertenaga’ berbanding sebelum ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri turut menyertai solat Jumaat dan hajat mendoakan keamanan serta keselamatan negara bersama jemaah Masjid Jamek Kampung Pergam, Sungai Terap.

Berita Harian
16 Mac 2013

Polis gagalkan 'Nepal Spring'


MUAR 17 Mac - Polis hari ini menggagalkan cubaan mencetuskan 'Nepal Spring' di bandar ini yang dirancang para pekerja negara itu untuk berarak dan berdemonstrasi menuntut majikan mereka melaksanakan gaji mininum yang sepatutnya dilaksanakan Januari lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, setakat ini seramai 106 pekerja asing warga Nepal ditahan di sekitar bandar ini termasuk mereka yang cuba masuk ke pusat bandar melalui sekatan-sekatan jalan raya.

"Mereka mahu berkumpul, berdemonstrasi dan berarak. Jadi, pihak polis ambil langkah pencegahan awal untuk mengelak mereka melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang negara kerana takut apabila sudah ramai berkumpul, mereka akan merusuh.

"Kita ada pegawai dan anggota yang secukupnya untuk menangani masalah ini. Dianggarkan terdapat kira-kira 5,000 pekerja Nepal di daerah ini dan kita tidak tahu berapa jumlah sebenar yang terlibat," katanya semasa ditemui pada Program Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat dan Polis Muar di Perumahan Polis, Kampung Kelantan di sini hari ini.

Utusan 18 Mac 2013



Pelaksanaan Gaji Minimum: Lebih 100 Warga Nepal Terlibat Tunjuk Perasaan Ditahan

MUAR: Polis Muar berjaya menggagalkan cubaan lebih 5,000 pekerja asing Nepal mengadakan tunjuk perasaan di tengah bandar ini tengah hari Ahad setelah mereka mendapat maklumat awal berkaitan perkara itu.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Mohd Nasir Ramli berkata kejayaan itu berikutan kecekapan polis yang berjaya mencegah mereka berkumpul sejak awal pagi di depan sebuah pasar raya di Jalan Ali di sini.

"Kita telah menahan 106 orang, termasuk mereka yang dipercayai dalang yang merancang perhimpunan itu, untuk disoal siasat sehingga 1 petang ini," katanya kepada pemberita pada majlis penerangan khas anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) negeri Johor di Kuarters Polis Diraja Malaysia Kampung Kelantan pada Ahad.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan rancangan pekerja asing itu untuk mengadakan tunjuk perasaan di kawasan tumpuan ramai pada kira-kira 11 pagi sebagai membantah kegagalan majikan membayar mereka mengikut skim gaji minimum yang diputuskan kerajaan.

Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata beliau mengarahkan anggota polis menjalankan rondaan di bandar ini dan melakukan pemeriksaan ke atas warga Nepal yang disyaki mahu berkumpul di kawasan berkenaan.

"Kita telah menahan sebahagian daripada mereka, termasuk yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata sepasukan polis antirusuhan juga diarah bersedia dengan kenderaan, termasuk meriam air, untuk berdepan sebarang kemungkinan.

Mohd Nasir berkata keadaan di bandar diraja itu setakat ini terkawal, dan tindakan memeriksa pekerja asing yang berkeliaran akan diteruskan sehingga lewat petang.

Minggu lepas, polis Muar menahan 32 pekerja Nepal yang merusuh di kilang perabot tempat mereka bekerja kerana tidak puas hati dengan jumlah bayaran tidak mengikut skim gaji minimum.

Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kerajaan membenarkan sebahagian majikan kilang perabot di negara ini menangguh pelaksaan gaji minimum ke satu tempoh lain sehingga mereka benar-benar berkeupayaan melaksanakannya. -BERNAMA

18 Mac 2013

Monday, March 11, 2013

Pekerja mengamuk tuntut gaji minimum


SEBAHAGIAN daripada 150 pekerja asing yang terlibat dalam mogok di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Parit Jamil, Muar, Johor.

MANGSA yang merupakan pengurus pengeluaran menunjukkan kesan lebam akibat dipukul pekerja asing di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Parit Jamil, Muar semalam.

MUAR - Kesabaran 150 pekerja warga asing di sebuah kilang di Parit Jamil dekat sini yang melancarkan mogok sejak kelmarin bagi menuntut kenaikan gaji minimum RM900 sampai ke penghujungnya apabila mereka bertindak memukul seorang pengurus pengeluaran dan tiga penyelia kilang semalam.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, mereka ditumbuk dan disepak oleh 20 pekerja.

Seorang pekerja kilang yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 33, mendakwa, kumpulan pekerja asing terbabit secara tiba-tiba memasuki pejabat kilang sebelum menarik keluar ketiga-tiga mangsa.

"Pada mulanya mereka hanya menarik pengurus dan ia disedari tiga penyelia kilang yang cuba membantu tetapi dihalang kumpulan pekerja terbabit.

"Keadaan menjadi tidak terkawal apabila sebahagian daripada mereka yang berada di luar pejabat membaling batu menyebabkan banyak tingkap pecah.

"Pihak pengurusan cuba memujuk mereka supaya berhenti daripada terus mengasari pengurus tetapi tidak berjaya malah suasana menjadi semakin tegang," katanya ketika ditemui.

Difahamkan, 700 pekerja tersebut sudah melancarkan mogok sejak kelmarin tetapi pihak majikan enggan melayan tuntutan mereka.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pekerja apabila kilang berkenaan menangguhkan pelaksanaan penetapan gaji minimum yang sepatutnya bermula Januari lalu.

Dakwa Ahmad, ekoran kejadian itu, pihak pengurusan menghubungi polis dan pekerja asing terbabit bersurai selepas diarahkan polis.

Ahmad mendakwa, pengurus dan penyelia kilang berusia lingkungan 30-an yang mengalami kecederaan di badan dan lebam di muka sudah mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini selain turut membuat laporan polis.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan ulasan pihak pengurusan kilang gagal atas alasan mahu menyelesaikan masalah itu secara dalaman.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menahan mereka yang terlibat dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Kosmo
10 Mac 2013


150 pekerja mengganas


Sebahagian daripada pekerja warga asing Kawasan Perindustrian Parit Jamil mengadakan mogok di kilang berkenaan, kelmarin. Gambar kecil: Cermin kilang pecah akibat dibaling.

MUAR – Suasana tenang di Kawasan Perindustrian Parit Jalan berhampiran Seri Menanti, dekat sini, bertukar menjadi kecoh apabila kira-kira 150 pekerja warga asing dari sebuah kilang mengadakan mogok dan bertindak ganas dengan memukul serta mencederakan seorang pengurus pengeluaran dan tiga penyelia, kelmarin.

Kejadian sekitar jam 3 petang itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pekerja terbabit terhadap pengurusan kilang kerana menangguh pelaksanaan penetapan had gaji minimum yang dijadualkan berkuat kuasa sejak Januari lalu.

Difahamkan, kekecohan itu sudah berlaku sejak Khamis lalu (7 Mac) dengan melibatkan seramai 700 pekerja melakukan mogok tidak mahu menjalankan tugas masing-masing, namun tidak berlaku sebarang keganasan.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 33, berkata, keadaan menjadi lebih kecoh apabila 20 pekerja kilang terbabit secara tiba-tiba memasuki pejabat dan menarik keluar pengurus pengeluaran.

Menurutnya, tindakan pekerja terbabit disedari tiga penyelia kilang yang kemudiannya cuba membantu pengurus berkenaan, tetapi dihalang dan mereka dikasari dengan beberapa tumbukan dan sepakan.

“Keadaan menjadi sedikit tidak terkawal apabila sebahagian daripada mereka membaling batu pada tingkap menyebabkan banyak kaca tingkap pecah dan bertaburan.

“Pihak pengurusan ada cuba untuk memujuk mereka supaya berhenti daripada terus mengasari pengurus itu, tetapi tidak berjaya malah suasana menjadi lebih tegang,” katanya.

Katanya, keadaan itu memaksa pihak pengurusan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan dan apabila pihak berkuasa tiba, keadaan kembali menjadi terkawal dan pekerja terbabit bersurai.

Akibat daripada keganasan pekerja terbabit, pengurus dan penyelia kilang itu yang berusia lingkungan 30an mengalami kecederaan ringan serta lebam pada bahagian muka dan sudah mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selain membuat laporan di balai polis berhampiran.

Usaha Sinar Harian untuk menemu bual dan mendapatkan penjelasan pihak pengurusan kilang berkenaan tidak berjaya, namun mengakui mahu menyelesaikan masalah itu secara dalaman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengakui pihaknya ada menerima laporan berhubung kes itu.

“Polis akan tahan mereka yang terlibat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat ikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Sinar Harian
10 Mac 2013


23 pekerja asing mogok ditahan


MUAR – Polis menahan 23 pekerja asing yang terbabit dalam kejadian mogok di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Parit Jamil, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pihaknya menahan pekerja asing terbabit sehingga hari ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, penahanan kumpulan pekerja terbabit yang merupakan warganegara Nepal itu selepas pengurusan kilang membuat laporan polis.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Pihak polis masih memantau kilang berkenaan selain menunggu laporan untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Maktab Teknik PDRM di Bakri, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim dan Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan lebih 100 pekerja asing mengadakan mogok dan bertindak ganas hingga mencederakan seorang pengurus serta penyelia kilang dalam kejadian sekitar jam 3 petang, Jumaat lalu.

Difahamkan, insiden mogok itu berpunca daripada rasa tidak puas hati pekerja terbabit kepada pengurusan kerana menangguhkan perlaksanaan gaji minimum.

Selain mencederakan pengurus serta penyelia, kumpulan pekerja asing terbabit turut membaling batu hingga menyebabkan kerosakan cermin pejabat kilang berkenan.

Sinar Harian
13 Mac 2013





Bukit Treh 'diserang' babi hutan


ABD. Hamid Ibrahim menunjukkan salah satu kawasan yang sering menjadi tumpuan babi hutan di Kampung Bukit Treh, Muar, Johor, baru-baru ini.

Saudara Pengarang,

KETENTERAMAN kira-kira 500 penduduk di Kampung Bukit Treh, Jalan Salleh, Muar terjejas berikutan masalah gangguan babi hutan yang berlaku sejak kira-kira dua bulan lalu.

Gangguan itu semakin serius sejak kebelakangan ini memandangkan haiwan tersebut dilihat semakin berani berkeliaran di kawasan kediaman penduduk.

Haiwan berkenaan yang bergerak secara berkumpulan dipercayai datang dan bersembunyi di kawasan belukar berhampiran kampung mulai pukul 8 malam hingga waktu pagi.

Baru-baru ini, sekumpulan babi hutan berkenaan nyaris memasuki rumah saya selepas pagar rumah disondol, namun mujur saya berjaya menghalau haiwan tersebut.

Bukan itu sahaja, tanaman penduduk seperti ubi, keladi dan pisang yang diusahakan bersebelahan tanah perkuburan kampung berkenaan turut menjadi sasaran haiwan terbabit.

Apa yang menjadi kerisauan kami ialah tentang keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak yang keluar rumah pada waktu malam untuk pergi mengaji.

Ramai kanak-kanak mengadu mereka sering terserempak dengan babi hutan berkeliaran dalam kawasan kampung dan bertindak melarikan diri kerana ketakutan.

Baru-baru ini, seorang penduduk yang memandu kereta terlanggar seekor babi hutan yang melintas jalan kampung secara mengejut.

Mujur kejadian itu tidak membabitkan penunggang motosikal, jika tidak pasti perkara tidak diingini akan berlaku.

Justeru, kami berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini.

ABD. HAMID IBRAHIM
Kampung Bukit Treh, Muar

Utusan
5 Mac 2013

Penjenayah diberkas di balai polis


HARUN Idris menyerahkan sijil penghargaan dalam Perhimpunan Bulanan IPD Ledang, di Balai Polis Bukit Kepong, Muar, semalam.

MUAR 5 Mac - Seorang lelaki yang memiliki tujuh rekod kesalahan jenayah lampau ditahan ketika membuat laporan berkaitan kehilangan kereta di Balai Polis Sungai Mati dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan pukul 11.31 malam pada 21 Februari lalu setelah didapati dalam keadaan mencurigakan semasa membuat laporan polis.

Beliau berkata, polis kemudian membuat pemeriksaan ke atas suspek, termasuk van jenazah milik bapanya yang dipandu ke balai polis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan rapi telah menjumpai empat paket plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat 282 gram dan lima peket dadah jenis syabu seberat 27.4 gram.

"Kesemua dadah ini disembunyikan dalam papan pemuka kenderaan itu bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di Balai Polis Bukit Kepong dekat sini hari ini.

Beliau memberitahu, heroin bernilai RM11,500 dan syabu bernilai RM4,500 itu dipercayai boleh menampung bekalan kepada 550 orang penagih terutama di sekitar daerah ini.

Menurut beliau lagi, suspek sebenarnya mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan mencuri di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan pada 2000 dan Seksyen 379 A (2) Kanun Keseksaan pada 1991 dan 1992.

"Dia juga turut memiliki dua rekod kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2007 dan 2008.

"Suspek juga pernah dikenakan perintah sekatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 2008," katanya.

Harun juga menyatakan, suspektersebut juga didapati positif mengambil dadah jenis morfin dan polis tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit merupakan penagih dadah tegar.

Beliau juga menyatakan, polis masih masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui sumber dadah itu diperoleh.

Dalam pada itu, pihaknya masih belum menemui kereta jenis Nissan Cefiro milik suspek yang dilaporkan hilang di rumahnya di Jalan Hashim, Muar dan usaha mengesan kenderaan itu masih diteruskan.

Utusan
6 Mac 2013


Jui Meng minta sokong BN?


MUAR 2 Mac - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng mungkin masih ‘sayangkan’ Barisan Nasional (BN) apabila meminta rakyat menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Beliau yang kini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, tersasul meminta orang ramai berbuat demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Demi Rakyat di pekarangan Pejabat PKR Muar di Taman Seroja, Parit Jawa, malam tadi.

Nyata Jui Meng yang berjuang selama 23 tahun dalam MCA masih dibayangi kebaikan serta jasa BN kepada rakyat sehingga tersasul meminta sokongan diberikan kepada parti pemerintah tersebut.

“Di Parlimen Muar, orang India diharap bersama pengundi Cina untuk mengundi Barisan Nasional," katanya sambil disambut sorakan penyokongnya sebelum segera memperbetulkan kenyataan itu dengan mengatakan bukan BN yang dimaksudkan tetapi pakatan pembangkang.

Kenyataan Jui Meng itu menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berada di atas pentas terkejut dan kemudian tersenyum sinis.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang diminta mengulas kenyataan Jui Meng itu percaya, kata-kata bekas pemimpin MCA tersebut lahir daripada hatinya yang ikhlas.

"Sebenarnya di hati Jui Meng, beliau lebih ikhlas dengan BN tetapi disebabkan mahu kuasa, dia pilih pakatan rakyat. Jika kita teliti, sebenarnya kepercayaannya lebih kepada BN, sebab itu dia tersasul apabila berucap," katanya.

Utusan
3 Mac 2013


BMO atasi pencemaran Sungai Bentayan


Ching Yong memasukkan BMO ke dalam Sungai Bentayan yang mengalami masalah pencemaran air.

MUAR – Masalah pencemaran air di Sungai Bentayan sejak beberapa tahun lalu diatasi menerusi penggunaan teknologi mikroorganisma berfaedah (BMO).

BMO dihasilkan oleh anak syarikat Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Johor (JBBC) iaitu J-Biotech Environment Sdn Bhd.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim Dun Bentayan, Chriss Lee Ching Yong berkata, kerja-kerja merawat Sungai Bentayan yang merentangi bandar ini melibatkan kos RM120,000.

Menurutnya, langkah memulihara dan memelihara sungai itu dilakukan kerana tahap pencemaran airnya kini agak tinggi.

“Melalui kaedah ini, pembersihan dan perawatan dapat dilakukan tetapi perlu mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk memulihkan kandungan airnya," katanya.

Beliau yang juga Pegawai Khas Menteri Besar berkata, masalah pencemaran itu dikenal pasti berpunca daripada sampah sarap dari taman perumahan, kawasan industri dan medan selera berdekatan.

Katanya, berikutan menerima banyak aduan daripada penduduk, pihaknya mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk merawat sungai tersebut sebelum diluluskan tahun lalu oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurutnya, sebelum ini usaha membersihkan sungai tersebut sudah dilakukan Majlis Perbandaran Muar tetapi sisa kotoran yang mendap di bahagian dasarnya masih tidak dapat dibersihkan.

“Usaha memulihkan sungai berkenaan dijangka mengambil masa selama setahun dan untuk jangka masa panjang, satu kempen kesedaran akan dianjurkan,” katanya.

Sinar Harian
1 Mac 2013

Mayat dibungkus kain dalam parit

INILAH parit di Sungai Pegam, Muar tempat mayat seorang lelaki dibungkus dengan kain ditemui kelmarin.

MUAR - Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui di dalam parit ladang kelapa sawit di Sungai Pegam di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, semasa ditemui pada pukul 1.15 petang, mayat itu dalam keadaan tangan dan kaki terikat menggunakan tali sebelum dibungkus dengan kain.

Menurut beliau, mayat yang dipercayai warga tempatan berusia 25 hingga 35 tahun itu dijumpai oleh pekebun ladang kelapa sawit.

"Semasa ditemui, mayat itu lengkap berpakaian dan terdapat banyak kesan lebam pada muka mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul," kata beliau ketika dihubungi di sini.

Mohamad Nasir berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat.

Kata Mohamad Nasir, pihak polis menganggarkan mangsa sudah meninggal dunia antara 12 hingga 24 jam dan setakat ini identiti masih tidak dapat dikenal pasti kerana tiada pengenalan diri ditemui pada mangsa.

Berdasarkan siasatan, kata beliau, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke kawasan berkenaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Justeru, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu dapat menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Sumber Kosmo dan Sinar Harian
4 Mac 2013



4 lelaki ditahan bantu siasatan pembunuhan jurukimpal

MUAR – Empat lelaki ditahan di beberapa lokasi berasingan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh dalam parit di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Pegam, Sungai Terap dekat sini, 2 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, tangkapan pertama ke atas seorang lelaki berusia 45 tahun dilakukan 19 Mac lalu pada jam 5 petang di sebuah rumah di Pontian.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas suspek pertama telah membantu polis menjejaki dan memberkas suspek kedua pada 2 April lalu, pada jam 3 petang di Larkin, Johor Bahru.

“Lelaki berusia 25 tahun ini adalah rakan rapat dan bekerja satu tempat dengan mangsa di Pasir Gudang.

“Mangsa juga dikatakan sering berkunjung ke rumah suspek di sebuah taman perumahan di Pasir Gudang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Katanya, suspek ketiga diberkas pada 5 April pada jam 1 petang di Pagoh.

Menurutnya, lelaki berusia 27 tahun itu mengaku memukul mangsa pada hari kejadian bersama adik lelakinya yang merupakan suspek keempat yang ditahan pada 12 April, jam 9 malam di Pasir Gudang.

Manakala, seorang lagi suspek lelaki berusia 23 tahun yang turut sama memukul mangsa dipercayai masih bebas dan gerakan memburunya sedang giat dijalankan.

Sahadan berkata, mangsa dibunuh pada 1 Mac lalu berpunca daripada pergaduhan kecil selepas suspek berusia 27 tahun menuduh mangsa mencuri komputer riba miliknya.

“Ketika itu, mangsa berada di rumah suspek selepas diajak untuk bersama-sama menghisap dadah sebelum tercetusnya pergaduhan.

“Suspek berusia 27 bersama adiknya berusia 23 tahun telah bertindak menumbuk mangsa yang sedang tidur manakala suspek yang masih bebas itu pula menyepak mangsa,” katanya.

Katanya lagi, tangan, kaki dan leher mangsa diikat sebelum dimasukkan ke dalam kereta miliknya seterusnya dibawa ke lokasi tempat pembuangannya di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Pegam, Sungai Terap.

Jelas Sahadan, hasil bedah siasat mendapati mangsa yang bekerja sebagai jurukimpal di Pasir Gudang itu meninggal dunia akibat patah tulang rusuk, paru-paru pecah serta lemas selepas lehernya dijerut dengan kain.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui orang awam pada 2 Mac lalu di sebuah ladang kelapa sawit dengan keadaan kaki, tangan dan leher berikat serta berbungkus dengan kain cadar.

“Kesemua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu dan mereka ditahan reman sehingga 19 April ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan,” katanya.

Sinar Harian
16 Apr 2013


Sasar 20,000 sertai Prosidar-J


MUAR 27 Feb. - Jabatan Pelajaran negeri menyasarkan sebanyak 20,000 murid di 100 buah sekolah rendah di seluruh negeri menyertai Program Pendidikan Pencegahan Dadah Johor (Prosidar-J) tahun ini.

Pengarahnya, Mohd. Nor Abd. Ghani berkata, program yang berlangsung selama 10 bulan di semua sekolah terbabit bertujuan memberi pendidikan dan pencegahan awal tentang kesan dan bahaya dadah.

"Kita sasarkan murid sekolah rendah kerana mahu kegiatan dadah dicegah di peringkat awal. Ini kerana terdapat murid sekolah rendah yang merokok walaupun jumlahnya kecil.

"Seperti yang kita tahu, mereka yang merokok akan mudah terpengaruh untuk mencuba dadah kerana rokok merupakan asas mendekati dadah. Selain itu, kita mahu memberi kesedaran kepada generasi muda tentang bahaya dadah pada jangka masa panjang," katanya dalam pelancaran Prosidar-J di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Jawa di sini semalam.

Menurutnya, Prosidar-J adalah langkah menanam kesedaran dan kebencian terhadap dadah yang merupakan musuh nombor satu negara dan berharap program itu mencapai objektif melahirkan pemimpin muda bebas dadah sekali gus membantu kerajaan menangani masalah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, Mustaffa Ibrahim berkata, pencegahan awal bermula di sekolah rendah adalah langkah terbaik membentuk kelakuan seseorang murid menjauhi dadah.

"Dalam program ini, kita menyasarkan rokok adalah faktor utama murid terjerumus dalam najis dadah. Mulai merokok, golongan muda sangat suka mencuba benda baharu dan jika tidak dipantau, diberikan maklumat dan pendidikan bahayanya dadah, mereka mungkin berisiko mencuba.

"Punca lain yang boleh mendorong seseorang itu terjerumus dalam penagihan dadah adalah gaya persekitaran seperti pengaruh institusi kekeluargaan, rakan-rakan dan pergaulan setempat," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Parit Jawa, Nora Abdullah menyifatkan program yang diadakan di sekolah tersebut melibatkan 55 murid sebagai penghormatan kepada pihaknya.

Utusan
28 Feb 2013

Skim Rondaan Sukarela Parlimen Muar ronda guna bot

RAZALI Ibrahim (tiga dari kanan) beramah mesra dengan anggota SRS yang diketuai Md. Jais Adnan (kiri) semasa menyerahkan bot untuk Skuad SRS Laut P146 di Parit Sakai Laut, Muar, baru-baru ini.

MUAR 28 Feb. - Jika sebelum ini Skim Rondaan Sukarela (SRS) Parlimen Muar adalah yang pertama di negara ini menggunakan basikal untuk meronda, kini kumpulan itu sekali lagi mencipta sejarah apabila menerima sebuah bot khas untuk melakukan tugasan tersebut.

Penggunaan bot itu yang juga pertama kali di negara ini bagi mengatasi masalah pencerobohan bot pukat tunda yang bermaharajalela di perairan Muar berhampiran Selat Melaka sejak lebih 30 tahun lalu.

Serentak dengan itu, SRS Laut yang ditubuhkan untuk menggalas tanggungjawab tersebut dilengkapi bot berkenaan yang berharga kira-kira RM20,000.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, inisiatif itu hasil cetusan idea pelbagai pihak termasuk Pasukan Gerakan Marin Muar dan Jabatan Perpaduan Negara apabila sering mendengar keluhan ramai nelayan tentang masalah pencerobohan pukat tunda.

"Jadi, kita pilih jeti Sungai Balang kerana daripada 15 jeti di Muar, hanya jeti ini yang ada Komuniti Rukun Tetangga dengan 60 daripada 90 ahlinya adalah nelayan.

"Walaupun sebelum ini kita ada beri basikal kepada ahli SRS di bawah KRT ini, tetapi adalah lebih baik mereka buat rondaan di laut juga," katanya selepas Majlis Penyerahan Elaun Sara Hidup Tunai Nelayan kepada 528 nelayan di Muar di Jeti Nelayan Kampung Parit Sakai Laut, di sini kelmarin.

Razali berkata, sebagai permulaan sebuah bot berserta enjin 40 kuasa kuda dan jaket keselamatan diserahkan kepada nelayan jeti Sungai Balang untuk melakukan rondaan sehingga ke kawasan Kesang.

Menurutnya, mereka bukan turun ke laut untuk menangkap ikan tetapi sebagai anggota sukarela yang akan membantu pihak berkuasa menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan yang berlaku sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, setakat ini, terdapat empat nelayan yang akan ditugaskan untuk meronda secara bergilir-gilir mengikut jadual.

Sementara itu, Ketua Nelayan Sungai Balang, Md. Jais Adnan berkata, rondaan tersebut akan melibatkan 60 ahli nelayan di daerah ini dan akan dimulakan dalam masa terdekat.

Utusan
1 Mac 2013

Sunday, March 3, 2013

Lelaki maut dirempuh MPV


MUAR - Seorang lelaki tidak sempat mendiami rumah barunya yang masih dalam pembinaan apabila maut selepas terbabit nahas di Jalan Salleh, berhampiran Kampung Temiang di sini, kelmarin.

Mangsa, Mohamad Awang, 55, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebaik keluar daripada persimpangan kampung berkenaan.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, rumah tersebut baru dimulakan pembinaan beberapa minggu lalu oleh adiknya bagi menggantikan kediaman mangsa  yang sudah uzur.

“Sememangnya arwah terlalu gembira dan sering memberitahu tidak sabar untuk tinggal di rumah barunya itu,” katanya kepada  Sinar Harian.

Jelasnya, sebelum kejadian, mangsa ada memaklumkannya mahu ke bandar, namun beberapa jam kemudian dia dikejutkan dengan berita insiden menimpa rakannya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu dipercayai berlaku apabila MPV terbabit yang datang dari arah Muar menghala ke Pagoh tidak sempat untuk mengelak motosikal ditunggangi mangsa yang baru keluar dari simpang Kampung Temiang menghala ke Muar.

“Ini menyebabkan kereta terbabit merempuh mangsa yang kemudiannya tercampak ke atas jalan.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya,” katanya.

Tambahnya, saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian
27 Feb 2013