REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Sunday, June 30, 2013

Lelaki hilang ditemui mati lemas


CHONG HUAT

MUAR - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dari rumahnya kelmarin, ditemui mati lemas di Sungai Muar berhampiran Jambatan Sultan Ismail, di sini, semalam.

Mayat mangsa, Lim Chong Huat, 53, dari Parit Amal Laut, ditemui orang awam jam 11.30 pagi yang lengkap berpakaian tersangkut di celah batu berdekatan Jeti Muar.

Adik mangsa, Lim Ah Chui, 44, berkata, abangnya sakit mental sejak berumur 18 tahun dan tidak pulang ke rumah sehingga malam selepas keluar bersiar-siar di bandar ini kira-kira jam 8 pagi, kelmarin.

“Ada penduduk beritahu melihat abang tidur di bawah Jambatan Sultan Ismail. Namun, apabila saya ke sana, rupa-rupanya polis sedang membungkus mayat abang,” katanya.

Seorang saksi, Nazrul Hashim, 25, memaklumkan, pada jam 11 pagi tadi (semalam) dia memasang lampu jalan berhampiran kawasan kejadian dan nampak mangsa masuk ke kolam air pancut di Laman Maharani sebelum keluar dan masuk ke sungai.

Menurutnya,  selepas itu mangsa naik ke tebing  sungai seperti mencari barang hilang.

“Saya tergerak hati melihat semula ke arah sungai dan nampak kepala serta badannya terapung dibawa arus sebelum hilang.

“Saya kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, pada jam 11.40 pagi untuk memaklumkan perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Jelasnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian
30 Jun 2013

Pekerja MPM cedera ditumbuk


MUAR - Seorang lelaki bertindak ganas menumbuk seorang pengawal keselamatan Majlis Perbandaran Muar (MPM) sehingga mencederakan bahagian matanya dalam satu pergaduhan di Menara Jam, dekat Laman Maharani, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, K Sundra, 56, dikatakan memarahi lelaki tersebut kerana dikatakan menceroboh masuk ke menara jam itu.

Mangsa cuba menghalang lelaki itu yang dilihat naik ke tingkat atas menara berkenaan yang menempatkan pejabat kendalian MPM dipercayai untuk mencuri jam menara tersebut.

Situasi tersebut telah menimbulkan kekecohan dengan ada yang mendakwa mangsa cedera di mata akibat ditikam dengan pisau oleh lelaki berkenaan.

Orang ramai yang melihat kejadian segera membawa mangsa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, untuk mendapatkan rawatan kecemasan dan lelaki terbabit berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes berkenaan.

Beliau berkata, mangsa cedera di bahagian mata kanan akibat ditumbuk dan bukannya ditikam seperti didakwa orang ramai.

“Memang di tangan suspek ada pisau tapi ia tidak digunakan untuk menikam mata mangsa. Suspek berusia 30-an ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal juga mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Sinar Harian
30 Jun 2013


Balasan tegur


SUSPEK ditahan selepas menumbuk muka seorang pengawal keselamatan MPM di Laman Maharani, Muar semalam.

MUAR – Seorang pengawal keselamatan Majlis Perbandaran Muar (MPM) lebam di mata kanan akibat ditumbuk selepas menghalang seorang lelaki yang menceroboh Menara Jam, Laman Maharani dekat sini semalam.



Kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu berlaku apabila Sundra Kalian, 56, memarahi suspek yang mahu menceroboh menara jam berkenaan.

Suspek yang berusia 31 tahun sebelum itu dikatakan naik ke tingkat atas menara tersebut yang menempatkan pejabat kendalian MPM dipercayai untuk mencuri.

Tindakannya disedari oleh mangsa lalu menegurnya.

Suspek yang juga seorang penganggur menjadi berang dan menumbuk muka mangsa.

Dia kemudian mengeluarkan sebilah pisau tetapi tidak sempat menikam mangsa selepas kejadian itu disedari oleh orang awam.

Sundra yang cedera dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk rawatan lanjut.

Anak Sundra, Ricky, 22, memberitahu, dia yang berniaga di sebuah kedai makan berhampiran bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa bapanya.

“Sebaik saya dan abang sampai (lokasi kejadian), pemuda itu cuba melarikan diri tetapi dapat diberkas dan diserahkan kepada polis,” katanya.

Kosmo
30 Jun 2013



Pengawal keselamatan dikhuatiri buta

Muar: Seorang pengawal keselamatan Majlis Perbandaran Muar (MPM) dikhuatiri buta mata kanannya akibat ditumbuk oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau dalam satu pergelutan di Menara Jam Laman Maharani, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Sundra Kalian, 56, memarahi suspek berumur 31 tahun kerana cuba menceroboh kawasan menara jam yang menempatkan sebuah pejabat dikendali MPM.

Suspek dipercayai ingin mencuri tetapi sempat dihalang mangsa dan dalam keadaan kelam-kabut, suspek berang lalu menumbuk bahagian kanan muka mangsa hingga mengenai matanya.

Pada masa sama, orang ramai yang berada di Jambatan Sultan Ismail membawa mangsa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Anak mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ricky, 22, bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan dan berjaya menangkap suspek yang masih berada di sekitar lokasi.

Dia yang membantu keluarga berniaga di kedai makanan di kawasan berhampiran berkata, sebaik diberitahu bapanya ditumbuk dia bersama abang terus berlari ke lokasi sebelum melihat suspek cuba melarikan diri.

“Kami nekad menangkap suspek walaupun sedar dia bersenjatakan pisau.

“Mujurlah kami selamat dan terus menyerahkan suspek kepada polis untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Katanya, apabila ditanya mengapa menumbuk bapanya, suspek yang berasal dari Taman Pelangi, Batu Pahat, mendakwa dia ditendang terlebih dulu hingga membangkitkan kemarahan.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa tidak bekerja dan dihalau keluarga di Batu Pahat menyebabkan terpaksa menumpang di rumah seorang kawan di Jalan Khalidi di sini.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian namun enggan mengulas lanjut.

myMetro
30 Jun 2013



Wednesday, June 26, 2013

Polis Tahan Lima Suspek, Rampas Bahan Hasilkan Dadah Bernilai RM1.6 Juta

MUAR: Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita serta merampas lima kilogram dadah selain bahan mentah yang boleh menghasilkan 27,000 biji pil ecstasy bernilai RM1.6 juta dalam serbuan di sebuah tokong di Jalan Sulaiman di sini Isnin.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata kesemua mereka yang berusia antara 24 dan 44 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 9 malam.

"Setelah mendapat maklumat, sepasukan polis membuat serbuan di tokong berkenaan dan hasil pemeriksaan di tokong itu, polis menjumpai peralatan memproses dadah, plastik lut sinar dan sejumlah dadah seberat lima kilogram.

"Kesemua bahan yang dirampas itu boleh menghasilkan lebih kurang 27,000 biji pil ecstasy yang bernilai RM60 sebiji dan kami menahan lima orang suspek yang berada di tokong berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan dipercayai telah hampir enam bulan menjalankan kegiatan itu dan seorang daripada suspek didapati mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Berikutan itu polis telah mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu terhadap semua suspek yang terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut kes ini untuk mengetahui sama ada kumpulan itu mempunyai rangkaian lain, katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menyelamatkan sembilan wanita Vietnam berusia 20 hingga 30 tahun yang dipaksa melacurkan diri dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Bakri di sini pada 12.15 pagi Ahad lepas.

Berikutan itu, katanya polis menahan seorang lelaki, iaitu pengurus pusat hiburan tidak berlesen itu untuk membantu siasatan. - BERNAMA

25 Jun 2013

Cubaan warga emas terjun tangki air gagal

Lelaki terbabit sedang dipujuk daripada terjun dari tangki air berkenaan, semalam.

MUAR - Cubaan seorang lelaki untuk terjun dari menara tangki air setinggi kira-kira 20 meter di hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, berjaya digagalkan apabila dia sempat diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Muar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, tindakan lelaki terbabit disedari pengawal keselamatan yang sedang bertugas seterusnya cuba menghalangnya daripada menaiki tangga.

Bagaimanapun, usaha pengawal keselamatan itu gagal malah diancam untuk dibaling dengan batu yang dibawa lelaki berkenaan.

Difahamkan, lelaki tersebut yang berusia 50an dipercayai sedang menjalani rawatan di wad hospital berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ariff Jili berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi seterusnya bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera bersama enam anggota.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa hampir 40 minit untuk memujuk mangsa yang meracau mahu terjun dari tangki tersebut.

“Usaha untuk menyelamat sedikit sukar kerana mangsa tidak mahu bercakap dengan individu tidak dikenalinya, memaksa kita meminta bantuan daripada isteri dan rakannya untuk memujuk lelaki itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ariff berkata, pihaknya segera bertindak menangkap lelaki itu bagi mengelakkan dia kembali agresif.

“Pada mulanya, dia (pesakit) meronta-ronta mahu melepaskan diri, tetapi tidak berjaya dan kita memapahnya turun apabila keadaannya lemah,” katanya.

Seorang pengunjung, Yaakob Ahmad, 51, berkata, dia turut menyedari kejadian tersebut apabila melihat orang ramai mengerumuni kawasan berhampiran tangki selain terdapat sebuah jentera bomba.

Menurutnya, dia menghampiri tempat kejadian dan terkejut melihat seorang lelaki berada di tangga akhir tangki seperti mahu terjun.

“Mujur lelaki terbabit berjaya diselamatkan oleh anggota bomba,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abd Aziz, mengesahkan kejadian berkenaan, namun enggan mengulas lanjut kerana pesakit terbabit sedang menjalani rawatan rapi di wad hospital.

Sinar Harian
26 Jun 2013

Tuesday, June 25, 2013

Tertidur selepas terbabas

Azman (kiri) menunjukkan Proton Waja yang dinaiki suspek yang terbabas di Kilometer 138.5 Lebuh raya Utara Selatan arah utara, Sabtu lalu.

MUAR – Seorang lelaki ditahan ketika sedang tidur dalam kereta Proton Waja yang dinaikinya selepas kenderaan terbabit terbabas merempuh pengadang jalan di Kilometer 138.5, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Pagoh, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek berusia 30an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan kegiatan jenayah.

Menurutnya, unit peronda lebuh raya yang sedang meronda di kawasan berkenaan terserempak dengan kenderaan terbabit dan mendapati suspek sedang tertidur di tempat duduk pemandu.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai peralatan jenayah termasuk sepucuk pistol jenis semi automatik dan pakaian pihak berkuasa di dalam kenderaan berkenaan.

“Kita percaya, suspek dalam perjalanan ke arah utara untuk melakukan kegiatan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Azman, pihaknya turut menemui satu kelopak berisi 12 butir peluru, sepasang gari berserta anak kunci, tiga paket kecil yang dipercayai dadah jenis heroin, ketamin dan dan tiga buah telefon bimbit disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan.

Selain itu katanya, polis turut menemui sebuah komputer riba; dua lastik; 28 biji mercun bola; sebuah kamera; lampu suluh; vest polis; sehelai baju operasi polis; sehelai baju-t dengan logo Imigresen; satu topi polis serta wang tunai berjumlah RM6,000.

“Kenderaan tersebut yang digunakan suspek bukanlah kenderaan curi,” katanya.

Azman berkata, pihaknya percaya pakaian anggota keselamatan itu digunakan bagi kes penyamaran sebagai anggota polis.

Beliau berkata, lelaki berkenaan memiliki rekod kesalahan membabitkan Seksyen 341 Kanun Keseksaan pada 2011 serta positif heroin dan ditahan reman sehingga 27 Jun ini untuk membantu siasatan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958 serta Seksyen 7 Peraturan Letupan 1957.

“Selain itu, lelaki berkenaan juga turut disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1957, Seksyen 15 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sinar Harian
25 Jun 2013

Bom ‘air drop’ ditemui


Bom lama Perang Dunia Kedua ditemui di sebuah ladang nanas.

MUAR – Sebutir bom lama peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui di ladang nanas di Batu 13 Air Hitam, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, bom itu dipercayai masih aktif dan ditemui oleh orang awam ketika sedang membersihkan kebun di kawasan berhampiran.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudiannya menghubungi polis dan memaklumkan penemuan berkenaan sebelum pihaknya ke lokasi kejadian.

“Ketika ditemui kira-kira jam 8.30 pagi, bom jenis ‘air drop’ itu sudah berkarat dengan separuh bahagiannya terbenam dalam tanah.

“Bom berusia puluhan tahun ini berukuran panjang 533.4 milimeter (mm) dengan ukuran lilit 508mm,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Azman berkata, sehingga Jun lalu, pihaknya menerima dua laporan penemuan bom jenis yang sama di Bukit Pasir pada minggu lalu.

“Bom berkenaan masih berada di lokasi penemuan dan akan diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB).

“Kita sedang menjalankan pemantauan rapi bagi mengesan kemungkinan ada baki bom lama di lokasi sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Azman menasihati orang ramai yang menjumpai bom lama supaya tidak memindahkan bom berkenaan kerana risikonya amat tinggi.

Terkini, Sinar Harian diberitahu bom terbabit sudah diletupkan oleh UPB Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sekitar jam 1.45 petang semalam di lokasi penemuan.

Sinar Harian
25 Jun 2013

Monday, June 24, 2013

Penduduk Muar bimbang, cemas

Sebahagian orang ramai memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar membeli barang keperluan di pasar tani dalam keadaan berjerebu teruk di Muar, semalam.

MUAR 23 Jun - Lebih 300,000 penduduk di daerah ini melahirkan kebimbangan dan mula cemas dengan perkembangan jerebu sehingga kawasan itu diisytiharkan darurat jerebu hari ini.

Mereka risau keadaan berkenaan akan berterusan, sekali gus merencatkan rutin harian dan menjejaskan sumber pendapatan terutama yang menjalankan perniagaan.

Seorang peniaga kedai makanan di Stesen Bas Bentayan, Hazizah Harun, 40, berkata, sejak jerebu melanda di bandar tersebut seminggu lalu, dia berdepan dengan pelbagai kesulitan selain bilangan pelanggan berkurangan.

"Saya sebenarnya sudah hampir berputus asa untuk berniaga lagi sebab keadaan jerebu makin teruk dan sememangnya mengganggu operasi harian saya. Lampu di kedai makan terpaksa dipasang pada waktu siang kerana keadaan jerebu mengakibatkan keadaan mendung.

"Setiap satu jam terpaksa membersihkan habuk di merata tempat dan saya bimbang keadaan ini akan menjejaskan kesihatan pelanggan. Kepenatan juga berganda kerana terpaksa mengelap meja dan kerusi berkali-kali akibat habuk yang berterbangan," katanya.

Seorang lagi peniaga, Hishammudin Mahad, 43, mengakui dia baru membuka semula kedainya selepas dua hari ditutup akibat jerebu selain pelanggan berkurangan kerana orang ramai tidak keluar rumah.

Sehubungan itu dia meminta kerajaan segera melakukan sesuatu bagi memastikan keadaan pulih seperti biasa.

Bagi Asrini Kanaison, 20, dari Taman Pagoh Jaya dekat sini yang demam sejak seminggu lalu dan masih tidak pulih berkata, matanya kerap berair, bibir pecah dan selalu sesak nafas sehingga adakalanya susah mahu tidur pada waktu malam.

Penuntut Kolej Cybernatics itu memberitahu, kulitnya juga terasa gatal dan mula diserang sakit tekak dan pening kepala.

Lain pula ceritanya dengan pelajar Sekolah Menengah Sains Muar, Muhammad Khairil Hafizuddin, 16, hasratnya untuk kembali ke asrama tidak kesampaian apabila dia bersama rakan-rakannya diminta pulang ke rumah serta-merta.

"Saya terkejut apabila cikgu mengarahkan kami pulang kerana keadaan jerebu semakin bahaya dan terpaksalah saya pulang ke rumah di Johor Bahru dengan menaiki bas," katanya.

Utusan
24 Jun 2013

Muar, Ledang darurat



KEADAAN jerubu teruk yang menyelubungi bandar dan daerah Muar semalam memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di daerah itu. 

KEADAAN di Muar pada waktu pagi, semalam. Gambar myMetro

SEORANG remaja perempuan memakai penutup mulut sebagai langkah mengelakkan masalah kesihatan berkaitan jerebu, di Muar. Indeks Pencemaran Udara di daerah ini menunjukkan kenaikkan sehingga bacaan melepasi tahap berbahaya. FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor hingga ditarik balik.

Beliau berkata, ia susulan keadaan jerebu yang semakin teruk khususnya di Muar meliputi dua daerah yang berada pada tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500 iaitu pada tahap kecemasan atau ‘emergency’.
“Pengisytiharan darurat bencana jerebu ini tidak membabitkan penguatkuasaan perintah berkurung dan tiada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat sekarang.

“Bagaimanapun, semua kementerian dan agensi terbabit dalam pengurusan jerebu hendaklah mengatur dan mengambil langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

IPU di Muar, kawasan yang diisytihar darurat pagi semalam menunjukkan penurunan dengan bacaan 507 mata setakat jam 5 petang semalam berbanding bacaan 746 mata yang direkodkan pada jam 7 pagi.

myMetro
24 Jun 2013


Penduduk Muar, Ledang kena patuh darurat

Tawau: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam meminta penduduk Muar dan Ledang di Johor mematuhi sepenuhnya perintah darurat bencana jerebu bagi mengurangkan risiko kesihatan yang berpunca daripada masalah jerebu.

“Saya minta penduduk duduk di rumah. Jangan keluar kerana keadaan ini berisiko tinggi kepada kesihatan.
Pelbagai jenis racun

“Ada pelbagai jenis racun dan bahan lain termasuk debu dan zarah atau bahan yang lebih besar yang kalau disedut boleh menimbulkan masalah khasnya kepada mereka yang mempunyai penyakit berkaitan paru-paru,” katanya selepas menghadiri majlis penghargaan warga Kementerian Kesihatan yang terbabit dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, di sini, semalam.

Subramaniam berkata melainkan ada sebab kecemasan, penduduk dua daerah itu perlu sentiasa berada dalam rumah dan mereka yang mempunyai kemudahan pendingin hawa digalakkan menggunakan 'recyling mode'.

Katanya kementerian akan memantau keadaan jerebu di seluruh negara termasuk dua daerah berkenaan sehingga keadaan kembali pulih dan selamat.

Beliau berkata semua klinik kesihatan sudah diarah supaya bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan bilangan pesakit yang mendapat rawatan.
Tutup sementara operasi

“Di peringkat kementerian, kita ada bilik operasi berfungsi dari pagi hingga jam 5 petang setiap hari bagi memantau kawasan terbabit daripada segi kesihatan,” katanya.

Mengenai penduduk Muar dan Ledang yang mungkin perlu keluar bekerja, beliau menjelaskan apabila darurat diisytiharkan bermakna majikan perlu menutup sementara operasi termasuk kilang.

Katanya hanya mereka yang bertugas dengan jabatan berkaitan kecemasan dibenarkan keluar bekerja.

Di Johor Bahru, kes berkaitan pernafasan serta asma di Johor meningkat lebih 100 peratus, sejak masalah jerebu berlaku di negeri ini dan keadaan itu akan berlarutan jika orang ramai mengambil mudah kesihatan mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohd Khairi Yacob, berkata kanak-kanak paling berisiko menghadapi masalah kesihatan ketika jerebu berikutan salur pernafasan mereka belum matang, selain warga tua.

Berita Harian
24 Jun 2013



Sunday, June 23, 2013

Bandar Muar hampir lenyap diselubungi jerebu

MUAR: Bandar Muar seolah-olah lenyap diselubungi jerebu, selain jarak penglihatan kurang 1 kilometer dengan bau asap kuat berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi setakat jam 7 pagi tadi.

Bacaan IPU di daerah itu dicatatkan pada 746 mengikut rekod laman sesawang Jabatan Alam Sekitar.
Keadaan itu menyebabkan penduduk tidak keluar dari rumah masing-masing atas faktor kesihatan.

Berdasarkan pengkelasan ditetapkan, IPU antara 0-50 dikategorikan sihat; 51 hingga 100 dianggap sederhana; 101 - 200 - tidak sihat; 201 - 300 -sangat tidak sihat dan lebih 301 dianggap berbahaya.

Berita Harian
2013/06/23 - 11:13:17 AM


Jerebu di Muar sangat bahaya

MASJID Jamek Sultan Ismail di Tanjung Agas, Muar hilang ditelan jerebu ketika gambar ini diambil pada pukul 2 petang semalam.

MUAR - Kualiti udara di daerah Muar kini berada pada tahap sangat berbahaya dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan 453 pada pukul 4 petang semalam.

Pengerusi Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata, pada pukul 7 pagi, bacaan IPU di Muar mencatat angka 276 dan kemudian meningkat kepada 373 pada pukul 12 tengah hari.

Menurutnya, bacaan IPU di daerah itu kemudiannya diklasifikasikan sangat bahaya apabila ia mencecah 453 pada pukul 4 petang.

"Keadaan jerebu di Muar semakin buruk semalam dan bagi memastikan ia dapat dikurangkan, Bilik Gerakan Bencana Alam akan merangka pelan tindakan melibatkan lapan agensi kerajaan di sini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Abdul Rahman yang juga Pegawai Daerah Muar berkata, agensi yang terlibat ialah Majlis Perbandaran Muar (MPM), Pejabat Tanah, polis, Pejabat Pendidikan Daerah, bomba, Pejabat Kesihatan, Pejabat Pertanian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Di JOHOR BAHRU, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Alam Sekitar ketika dihubungi berkata, IPU di Pasir Gudang mencatatkan bacaan 190, Kota Tinggi (192) manakala Larkin Lama (170), yang kesemuanya pada paras tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Md. Jais Sarday berkata, keputusan untuk membuka semula sekolah pada Isnin ini di beberapa daerah yang ditutup berikutan masalah jerebu akan diketahui esok.

Keadaan jerebu semakin buruk di negara ini sejak kelmarin disebabkan oleh Ribut Bebinca dari Macau yang menjadikan tiupan angin lebih kencang dan kering serta membawa sekali jerebu dari arah Sumatera, Indonesia.

Sementara itu di SHAH ALAM, Selangor, kawasan Pelabuhan Klang dan Banting mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan 139 dan 113 sehingga tengah hari semalam.

Kosmo
23 Jun 2013


Muar catat IPU berbahaya

BANDAR Muar diselubungi jerebu dengan bacaan IPU 421 sehingga pukul 2 petang semalam.

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kawasan-kawasan di selatan tanah air terus mencatat peningkatan dalam Indeks Pencemaran Udara (IPU) sejak pagi ini dengan daerah Muar merekodkan bacaan tertinggi 421 dan diklasifikasikan berbahaya sehingga pukul 2 petang ini.

Pengerusi Bencana Alam Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata, bacaan IPU di daerah itu hari ini meningkat bermula 276 pada pukul 7 pagi, diikuti 312 (8 pagi), 338 (9 pagi), 360 (10 pagi) dan 373 (11 pagi dan 12 tengah hari).

Abdul Rahman berkata, bagi mencegah dan memastikan kesan jerebu dapat dikurangkan, bilik gerakan akan merangka pelan tindakan dan melakukan pemantauan melibatkan sembilan agensi kerajaan.

Agensi itu, tambah beliau, adalah Majlis Perbandaran Muar (MPM), Pejabat Tanah, polis, Pejabat Pendidikan Daerah, bomba dan penyelamat, Pejabat Kesihatan, Pejabat Pertanian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Bagi MPM, agensi ini akan melakukan rondaan dan pemantauan kebakaran terbuka di kawasan pentadbiran masing-masing seperti di tapak pelupusan, tempat buang sampah, tapak pembinaan tepi jalan dan taman-taman perumahan.

"MPM akan memaklumkan kepada pihak bomba untuk tujuan pemadaman selain menyembur air di jalan-jalan utama dan kawasan pembinaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan sebanyak 2,000 penutup hidung dan mulut percuma di bandar ini hari ini.

Sementara itu, JAS dalam kenyataan di sini memberitahu, setakat pukul 11 pagi ini, IPU di 10 kawasan dicatatkan pada tahap tidak baik iaitu Pasir Gudang (190), Kota Tinggi (187) dan Bukit Rambai (182).

Menurut jabatan itu, turut mencatatkan IPU tidak baik ialah Melaka (178), Larkin (170), Port Dickson (141), Pelabuhan Klang (139), Banting dan Nilai (113) serta Seremban (109).

Utusan
23 Jun 2013


Kualiti udara Muar sangat berbahaya

MUAR - Kualiti udara di daerah Muar kini berada pada tahap sangat berbahaya dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan 453 pada pukul 4 petang hari ini.

Pengerusi Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata kualiti udara di daerah itu mencatat kemerosotan sejak awal pagi dengan bacaan IPU 276 pada 7 pagi, 312 (8 pagi), 338 (9 pagi), 360 (10 pagi) dan 373 (pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari).

"Keadaan jerebu di Muar semakin buruk hari ini. Bagi mencegah dan memastikan kesan jerebu dapat dikurangkan, Bilik Gerakan Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) akan merangka pelan tindakan dan melakukan pemantauan melibatkan lapan agensi kerajaan di sini," katanya ketika dihubungi di sini.

Abdul Rahman yang juga Pegawai Daerah Muar, berkata agensi yang terlibat ialah Majlis Perbandaran Muar (MPM), pejabat tanah, polis, pejabat pendidikan daerah, bomba, pejabat kesihatan, pejabat pertanian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau berkata MPM akan melakukan rondaan dan pemantauan kebakaran terbuka termasuk tapak pelupusan, pembuangan sampah, tapak pembinaan, tepi jalan dan taman-taman perumahan sebelum memaklumkan kepada bomba untuk tujuan pemadaman.

Katanya pejabat tanah pula akan mengarahkan kuari dan lombong untuk menghadkan aktiviti bagi mengurangkan kesan jerebu manakala polis meronda bagi memantau kegiatan pembakaran terbuka.

"Pejabat Pendidikan Daerah pula memberi nasihat mengurangkan aktiviti di luar bilik darjah apabila sekolah dibuka semula selain mengenal pasti sekolah- sekolah yang perlu dibekal dengan penutup hidung dan mulut," katanya.

Menurutnya bomba juga akan melakukan rondaan dan pemantauan kebakaran terbuka serta menghantar laporan setiap dua jam jika berlaku pembakaran terbuka manakala pejabat kesihatan daerah perlu menasihati orang ramai mengenai langkah penjagaan kesihatan.

Pejabat pertanian daerah akan memantau kawasan pertanian bagi mencegah petani atau pekebun melakukan pembakaran terbuka manakala JPJ memantau kenderaan yang mengeluarkan asap hitam.

Sementara itu, di JOHOR BAHARU, Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Alam Sekitar ketika dihubungi berkata bacaan IPU di Pasir Gudang, Kota Tinggi dan Larkin Lama tidak banyak berubah setakat pukul 4 petang.

Jurucakap itu berkata IPU di Pasir Gudang mencatatkan bacaan 190, Kota Tinggi (192) manakala Larkin Lama (170), yang kesemuanya pada paras tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Md Jais Sarday berkata keputusan untuk membuka semula sekolah pada Isnin ini di beberapa daerah yang ditutup berikutan masalah jerebu akan diketahui esok.

Beliau berkata arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Pendidikan Johor untuk memantau keadaan petang esok sebelum menentukan sama ada sesi persekolahan dapat dijalankan.

"Jabatan Pendidikan Johor akan menggunakan budi bicara mereka dalam membuat keputusan terbaik dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara dalam menjamin keselamatan pelajar," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian program Kenali Asean 2013, di sini, hari ini.

Sebanyak 211 sekolah di Muar dan Pasir Gudang mula ditutup sejak dua hari lepas ekoran peningkatan bacaan IPU,  diikuti sekolah-sekolah di Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi dan Kluang,  semalam. - Bernama

22 Jun 2013


Jerebu: PM isytihar darurat di Muar, Ledang

KEADAAN jerebu di Muar yang mencatat bacaan IPU 746 pada jam 7 pagi ini sehingga diisytiharkan darurat. - UTUSAN/ISHAK RAHAMAD

KUALA LUMPUR 23 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang di Johor berkuat kuasa serta merta selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 750 setakat 7 pagi ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel menerusi posting terbaharu dalam facebook beliau. - BERNAMA

23 Jun 2013


IPU Muar menurun, Melaka meningkat

KUALA LUMPUR 23 Jun - Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, kawasan yang diisytihar darurat hari ini, menunjukkan penurunan dengan bacaan 690 setakat pukul 11 pagi ini, berbanding bacaan 746 yang direkodkan pada 7 pagi.

Jabatan Alam Sekitar menerusi laman sesawangnya melaporkan Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka yang sebelum ini mencatat IPU berbahaya iaitu masing-masing 357 dan 334, kini semakin meningkat dengan bacaan 415 dan 428.

Sebanyak 17 kawasan mencatat IPU tidak sihat, 30 sederhana dan dua lagi dikategorikan baik.

Negeri yang mencatat IPU tidak sihat termasuk di ibu negara, Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Dua kawasan yang dikategorikan sebagai baik ialah Sandakan dan Tawau di Sabah.

IPU di kawasan Batu Muda dan Cheras di Kuala Lumpur yang sebelum ini masing-masing mencatat 97 dan 102, meningkat ke 108 dan 111 pada pukul 11 pagi.

Semua kawasan di Selangor iaitu Banting (115), Kuala Selangor (104), Pelabuhan Kelang (192), Petaling Jaya (125) dan Shah Alam (112) turut menunjukkan peningkatan IPU berbanding bacaan pukul 7 pagi.

Berdasarkan indeks kualiti, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan hari ini di dua negeri yang terjejas teruk dengan bencana jerebu iaitu Melaka dan Johor. - BERNAMA

23 Jun 2013


Keputusan tutup pejabat kerajaan di Muar diketahui hari ini

MUAR 23 Jun - Keputusan sama ada pejabat kerajaan di daerah ini akan ditutup atau sebaliknya hanya diketahui selepas Jawatankuasa Bencana Alam (Pencemaran Udara dan Jerebu) Daerah Muar mengadakan mesyuarat esok susulan pengisytiharan darurat bencana jerebu di Muar dan Ledang hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa itu, Abdul Rahman Mohamed Dewam bagaimanapun berkata, terdapat beberapa jabatan kerajaan dan pihak berkaitan utiliti akan kekal dibuka bagi memastikan perkhidmatan kepada orang awam tidak terjejas.

"Ini membabitkan pihak berkaitan utiliti seperti pembekal tenaga elektrik, bekalan air, telefon, telekomunikasi, telegraf, perbankan dan kewangan atau agensi kerajaan antaranya membabitkan bomba, polis, penjara dan perkhidmatan kesihatan awam.

"Begitu juga dengan perkhidmatan dan jualan minyak kenderaan seperti stesen-stesen minyak yang akan beroperasi seperti biasa," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di sini hari ini.

Menurutnya, tiada arahan setakat ini untuk menutup kedai tetapi bagi peniaga kedai makan, mereka mesti memakai penutup muka dan pelanggan boleh membeli tetapi perlu dibawa balik kerana keadaan di luar yang berhabuk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengisytiharkan status darurat di Muar dan Ledang berkuat kuasa serta-merta selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 750 pada pukul 7 pagi ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Pegawai Daerah mengingatkan orang ramai supaya tidak menyamakan status darurat yang diisytiharkan di daerah itu dan Ledang sebagai satu perintah berkurung kerana masalah keselamatan.

Beliau berkata, penetapan status darurat itu lebih kepada menjaga kesihatan penduduk dengan pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan banyak aktiviti di luar rumah.

"Darurat ini bukan kerana faktor keselamatan tetapi untuk menjaga kesihatan, bukan duduk dalam rumah. Apa yang penting dilakukan ialah mengurangkan aktiviti di tempat terbuka buat sementara waktu sehingga langkah seterusnya diumumkan," katanya.

Beliau berkata, IPU Muar mencatatkan bacaan 746 pada pukul 7 pagi ini dan bertambah baik kepada 331 pada pukul 8 pagi sebelum kembali meningkat kepada 710 (10 pagi) seterusnya 660 (12 tengah hari) dan 598 (2 petang).

Bagaimanapun, pihaknya masih bimbang kerana sebelum ini kadar IPU akan meningkat pada waktu petang dan malam ekoran angin dari Sumatera yang bertiup ke arah Muar.

"Kita juga minta semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka dan agensi termasuk polis, bomba, Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan pemantauan berterusan," katanya. - UTUSAN ONLINE

23 Jun 2013


211 sekolah di Muar, Ledang kekal ditutup esok

MUAR 23 Jun - Semua 211 sekolah di daerah ini dan Ledang kekal ditutup esok ekoran keadaan jerebu yang semakin buruk hari ini.

Pegawai Pendidikan daerah, Ahmad Othman berkata, penutupan sekolah yang melibatkan seramai 76,940 pelajar dan 6,846 guru itu kekal sehingga keadaan bertambah baik sehingga diberitahu kelak.

"Berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 767 pagi ini, saya mengumumkan penutupan semua sekolah di Muar dan Ledang," katanya ditemui selepas menghadiri mesyuarat berkaitan jerebu di Pejabat Daerah, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

23 Jun 2013


Darurat jerebu: Johor gariskan 9 langkah segera

JOHOR BAHRU 23 Jun - Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Johor menggariskan sembilan langkah segera susulan pengisytiharan darurat bencana jerebu di Muar dan Ledang hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam posting di Facebook beliau berkata, langkah tersebut merangkumi semua premis pejabat kerajaan serta swasta dan lain-lain tempat bekerja.

Sembilan langkah tersebut ialah: - Mengeluarkan perintah penutupan semua pejabat sama ada kerajaan dan swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, pembinaan dan kuari.

- Menentukan semua sekolah ditutup - Mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian - Menentukan pemberhentian kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah - Menentukan penyebaran maklumat Indeks Pencemaran Udara (IPU) kepada media massa dijalankan seberapa kerap - Penguatkuasaan pengharaman pembakaran terbuka.

Bagaimanapun, langkah penutupan yang dikuatkuasa itu tidak membabitkan: - Kedai-kedai yang menjual barang-barang makanan dan minuman, pasar dan pasar raya - Klinik, farmasi dan kedai-kedai ubat - Perkhidmatan-perkhidmatan perlu. - BERNAMA

23 Jun 2013

Saturday, June 22, 2013

Polis Johor tidak akan layan pihak perlekehkan anggota

MUAR 21 Jun - Polis Johor tidak akan tunduk atau melayan usaha pihak tertentu yang mencela dan memperlekehkan peranan pasukan itu sebaliknya terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Sharif berkata, pihak tidak bertanggungjawab berkenaan cuba mengeksploitasi dan memanipulasi sesuatu isu untuk menanam kebencian supaya masyarakat memandang negatif terhadap pasukan PDRM.

"Sejak akhir-akhir ini kita dihina dan dicela tetapi ini tidak melemahkan semangat kita seolah mereka lupa peranan polis yang bawa kemakmuran di negeri ini. Saya gesa supaya kita tidak terpengaruh dan terpedaya kerana tugas kita adalah satu ibadat.

"Kita teruskan tugas dan tidak akan tunduk dengan tuntutan remeh atau tidak masuk akal. Kita perlu bertugas dengan penuh integriti dan tidak akan layan kecaman tidak berasas. Saya akan tentukan orang-orang bawah saya tidak diperlekehkan, itu janji saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Muar daripada Supritendan Sahadan Jaafar kepada Asisten Komisioner Azman Ayob di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar baru-baru ini.

Mohd. Mokhtar berkata, polis kontinjen negeri ini perlu terus bekerja sebagai satu pasukan selain bekerjasama dengan masyarakat dalam membanteras kegiatan jenayah serta kekal menunjukkan taat setia kepada pucuk pimpinan.Katanya, pihak polis perlu peka dan mengikut peredaran semasa dalam menghadapi penugasan kepolisan yang semakin mencabar ketika ini serta perlu bijak daripada penjenayah.

Utusan
22 Jun 2013

Thursday, June 20, 2013

Jerebu: Keadaan di Muar makin parah

PENUNGGANG motosikal dan kenderaan melalui jambatan Sultan Ibrahim dengan berlatarbelakang jerubu yang meliputi Bandar Muar pada awal pagi berhampiran menara jam di Padang Nyiru, Daerah Muar mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap yang berbahaya awal pagi semalam seperti dalam laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar. - Foto Shahrul M.Zain / BHarian

DUA orang remaja duduk berehat selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Daerah Muar meningkat mendadak ditahap berbahaya sehingga menghadkan aktiviti luar tidak seperti biasa, seperti yang dirakamkan di kawasan rekreasi Tanjung Mas, Daerah Muar mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap yang berbahaya awal pagi seperti dalam laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar. - Foto Shahrul M.Zain  / Berita Harian


MUAR 20 Jun 2013 - NOTIS pemberitahuan penutupan sekolah-sekolah dalam daerah Muar yang ditutup mulai tengah hari di pintu pagar SK Sultan Abu Bakar 1 berikutan keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah mencatat bacaan 350, melebihi paras bahaya di Muar, Johor. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD

Sekumpulan pelajar termasuk salah seorang memakai penutup mulut dan hidung ekoran jerebu di Muar, semalam.

SHAH ALAM - Kualiti udara di Muar, Johor memasuki paras bahaya akibat jerebu, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 7 pagi tadi mencatatkan angka 331. Bacaan melebihi 301 dianggap berbahaya dan melepasi 201 pula "sangat tidak sihat".

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar hari ini mengarahkan sekolah ditutup hari ini dan esok.

Selain Muar, tempat lain yang mencacatkan bacaan tinggi ialah Kota Tinggi (211), Pasir Gudang (190) dan Larkin Lama (171).

Johor hari ini paling teruk menghadapi jerebu.

20 Jun 2013


IPU bahaya: 211 sekolah di Muar diarah tutup

 KUALA LUMPUR - Lebih 200 sekolah di Muar, Johor diarah tutup buat sementara berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat paras bahaya iaitu 383.

Pengarah Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani berkata keputusan itu dibuat berikutan paras IPU di daerah itu mencecah tahap bahaya, dan tindakan itu melibatkan 76,940 pelajar.

Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini melaporkan Muar merupakan kawasan yang paling teruk dilanda jerebu dengan IPU 383 pada 11 pagi meningkat daripada 337 pada 7 pagi tadi.

Sementara itu, Kota Tinggi mencatat bacaan sangat tidak sihat dengan IPU 232 diikuti Pasir Gudang dan Larkin Lama mencatat status tidak sihat dengan masing-masing mencatat IPU 199 dan 181, menurut laman web www.doe.gov.my.

Di Melaka, Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai mencatat bacaan IPU tidak sihat masing-masing 137 dan 119.

Menurut jabatan itu, bandar-bandar lain di negara ini mencatat bacaan IPU sederhana iaitu di bawah 100.- Bernama

20 Jun 2013

Mantapkan perkhidmatan MPM

RAMLEE Abd. Rahman (kanan) dan Zulkiflee Abbas bertukar dokumen serah tugas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-12 di Muar, Johor, semalam.

MUAR 19 Jun - Majlis Perbandaran Muar (MPM) kini dalam proses menstruktur semula organisasinya dengan penambahan jawatan baharu dan kenaikan pangkat di beberapa jabatan bagi meningkatkan lagi tahap perkhidmatannya.

Yang Dipertua MPM yang baharu, Ramlee Abd. Rahman berkata, pihaknya kini dalam proses temuduga untuk mengisi jawatan baharu tersebut, manakala 16 jawatan akan dinaikkan pangkat dan 85 peratus jawatan lagi dinaikkan kepada pelbagai gred.

"Dengan adanya penstrukturan jawatan ini, ia akan memberi peluang kepada peningkatan kerjaya seterusnya menghasilkan perkhidmatan yang berteraskan kecemerlangan," katanya dalam majlis Perkhidmatan Cemerlang 2012, Penyerahan Tugas dan Sambutan Ulang Tahun Ke-12 MPM di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menerima watikah serah tugas daripada Zulkiflee Abbas yang kini dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Johor.

Ramlee berkata, selaras dengan penstrukturan semula itu, usaha memantapkan modal insan dalam kalangan warga kerjanya sedang dilakukan supaya mereka menjadi aset MPM yang lebih produktif, berinovasi dan berkeupayaan tinggi.

"Usaha itu perlu dilaksana dalam organisasi MPM untuk meningkatkan faktor seperti kesejahteraan, keharmonian, persefahaman dan perkongsian yang akan mendorong anggota MPM untuk saling memahami dan bekerjasama dalam merealisasikan aspirasi MPM," katanya.

Menurutnya, tugas berat itu perlu didokong dan dilaksana semua ketua jabatan MPM kerana mereka bertanggungjawab dalam mencorak dan mendidik pekerja di bawah mereka dan dalam hal ini budaya kerja kepimpinan menerusi teladan harus dipraktikkan.

Beliau berkata, perisytiharan bandar Muar sebagai Bandar Diraja juga adalah satu cabaran baharu kepada pentadbiran MPM untuk lebih cekap, berkesan dan berintegriti.

"Paradigma sedemikian akan menyumbang kepada jaringan semangat kerja berpasukan yang lebih mantap dan dinamik sekali gus membantu memudahkan pelaksanaan sistem penyampaian MPM kepada golongan sasar dapat dilakukan dengan tepat, cepat, berkualiti, efektif dan berintegriti," katanya.

Seramai 28 kakitangan MPM dari tujuh jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 manakala empat kakitangan menerima Sijil Penghargaan Yang Dipertua 2012.

Utusan
20 Jun 2013

Wednesday, June 19, 2013

Geng curi kereta, pecah rumah tumpas

AZMAN Ayob (tengah) menunjukkan pelbagai barangan yang dirampas daripada kumpulan curi kereta dan pecah rumah di Muar, Johor, semalam. - utusan/Ishak Rahmad

MUAR 18 Jun - Polis melumpuhkan satu kumpulan curi kereta dan pecah rumah dengan penahanan lima anggotanya bersama pelbagai barangan, dua buah kereta dan dadah bernilai lebih RM100,000 dalam dua serbuan di sini semalam.

Mereka yang ditahan berasal dari Muar dan berusia antara 18 hingga 30-an termasuk seorang mekanik dan jurujual manakala yang lain tidak bekerja.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Bukit Pasir kira-kira pukul 11 pagi, lima suspek yang tinggal serumah itu ditahan dan beberapa barangan kes ditemukan.

"Polis menjumpai sebuah kereta Proton Waja yang dicuri pada 3 Jun lalu, sebuah komputer riba, tujuh telefon bimbit, empat peket lutsinar berisi syabu dan 56 biji pil Eramin 5.

"Hasil siasatan lanjut polis beberapa jam kemudian menyerbu sebuah rumah di Bakri dan merampas sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah televisyen, tiga pemain cakera padat digital (DVD), dua tayar motosikal, dua komputer riba, lima sistem audio kereta dan 10 biji pil Eramin 5," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Menurut Azman, pihaknya percaya kenderaan dan semua barang tersebut adalah hasil daripada kegiatan curi kereta dan pecah rumah.

Beliau berkata, kejayaan ini hasil maklumat orang awam serta risikan polis dan pihaknya percaya penangkapan kesemua lima suspek ini dapat menyelesaikan empat kes curi kenderaan di sekitar daerah ini.

Katanya, dua daripada suspek memiliki rekod jenayah berkaitan curi motosikal serta melakukan rusuhan dan kesemua suspek juga didapati positif mengambil dadah syabu. Mereka direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

"Polis masih menyiasat sama ada kumpulan ini mempunyai rangkaian lain. Selain itu polis juga sedang menyiasat berapa lama kumpulan ini aktif mencuri kereta dan pecah rumah. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 A(1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya lagi.

Utusan 19 Jun 2013

Sunday, June 16, 2013

Elak pertindihan tugas

Muar: Pelantikan ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan perlu dikaji semula supaya menepati aspirasi penubuhannya dan mengelak pertindihan tugas hingga menyebabkan ia tidak dapat berfungsi sepenuhnya dalam membantu masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata ahli panel berkenaan kebiasaannya adalah pemimpin masyarakat dan golongan profesional yang kadangkala mempunyai pelbagai jawatan lain hingga menyukarkan mereka memberi perhatian penuh kepada program terbabit.

Katanya, bagi mengelakkan pertindihan jawatan dan fungsi ahli panel berkenaan, ia harus dikaji semula supaya lebih berkesan.

Tak tahu tugas sebenar

“Kita tidak mahu lihat wujud pertindihan jawatan dan mereka melakukan perkara sama serta melupakan perkara yang seharusnya diberi keutamaan.

“Ada antara ahli kadangkala tidak tahu tugas sebenar mereka dalam panel ini, mungkin tidak salah jika ia dikembangkan kepada lebih banyak kelompok masyarakat dan orang ramai dan kita boleh lihat keberkesanannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat Daerah Muar Kali Kedua, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Panel Penasihat Kesihatan Johor, Datuk Hashim Rais.

Razali menjelaskan, ketika ini lantikan ahli panel berkenaan terhad kepada pemimpin setempat tetapi sebenarnya ia masih boleh diperluaskan kepada sesiapa saja memandangkan ramai ahli panel sedia ada mempunyai terlalu banyak tugas.

Galakan aktiviti sukarela “Peruntukan oleh kerajaan terhadap organisasi seperti ini memang amat sedikit iaitu hanya sebagai galakan untuk aktiviti sukarela dan mereka yang berkhidmat dalam panel seperti ini juga tidak dibayar elaun,” katanya.

Panel Penasihat Klinik Kesihatan yang ditubuhkan sejak 1995 bersama-sama anggota kesihatan berperanan menyumbang tenaga melaksanakan aktiviti penjagaan kesihatan di klinik dan di dalam komuniti ke arah meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.

Berita Harian
16 Jun 2013

Razali ikrar utamakan pengundi Parlimen Muar

MUAR - Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berikrar untuk mengutamakan pengundi kawasan Parlimen Muar walaupun sibuk membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan lapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Razali berkata antara tugas utamanya kini adalah mengemudi Biro Tatanegara dan membantu menjaga Felda memandangkan terdapat 56 kawasan Parlimen di seluruh negara mempunyai rancangan penempatan itu.

"Keutamaan saya ialah Parlimen Muar yang saya wakili supaya kawasan ini tidak tercicir dari arus pembangunan. Kita juga mahu menentukan supaya Barisan Nasional (BN) terus menerima sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Muar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang pada pilihan raya umum ke-13, di sini, malam tadi.

Sementara itu, beliau yang juga pengarah pilihan raya BN Parlimen Muar berkata pihaknya membuat keputusan untuk tidak mengemukakan petisyen pilihan raya walaupun kalah di 10 kawasan peti undi DUN Maharani dan lima peti undi DUN Sungai Balang.

"Kita ada asas untuk mengemukakan bantahan itu tetapi kita tidak mahu membawanya ke mahkamah. Kita juga tidak marah kepada mereka yang tidak mengundi BN sebaliknya akan berusaha lebih gigih bagi menarik sokongan mereka kepada kita pada pilihan raya umum ke-14 kelak," katanya. - Bernama

16 Jun 2013

IPU Muar tahap tidak sihat

Pandangan masjid kedua Muar diselubungi kabus jerebu sejak empat hari lalu.

MUAR - Indeks Pencemaran Udara (IPU) daerah ini berada pada tahap tidak sihat di seluruh negara dengan bacaan 127 sejak masalah jerebu melanda Muar, empat hari lalu.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar sehingga jam 11 pagi semalam, menunjukkan daerah ini mencatatkan IPU tertinggi diikuti Pasir Gudang (103), Kota Tinggi (95) dan Larkin lama (92) bagi tempoh sama.

IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya  (lebih 301).

Ketua Polis Marin daerah, Asisten Superintendan Nordin Osman berkata, semua kapal nelayan terutamanya jenis  pukat tunda dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika semasa menangkap ikan di sepanjang Selat Melaka dan muara Sungai Muar.

Menurutnya, mereka perlu sentiasa menghidupkan lampu pada waktu malam bagi mengelakkan perlanggaran antara kapal di laut.

Sinar Harian
16 Jun 2013


Jerebu: Orang ramai dinasihat kurang aktiviti luar

MUAR - Pegawai Kesihatan Daerah Muar, Dr. Zulkifli Othman hari ini menasihati penduduk di bandar ini supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelak diserang penyakit berpunca daripada jerebu yang melanda kawasan pantai barat Johor ketika ini.

Menurut beliau, jerebu yang dipercayai berpunca daripada kegiatan membakar hutan untuk aktiviti bercucuk tanam oleh negara jiran telah menyebabkan kualiti udara di pesisiran pantai negeri ini berada pada tahap tidak sihat.

"Saya diberitahu, indeks kualiti udara di kawasan ini sudah mencecah 127 mata iaitu satu tahap tidak sihat kepada mereka untuk menjalankan aktiviti luar," katanya sambil menasihatkan orang ramai meminum lebih air sebagai langkah berjaga-jaga daripada perubahan cuaca.

Bacaan indeks pencemaran udara yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 5 petang kekal pada tahap tidak sihat iaitu 148. - Bernama

15 Jun 2013

Friday, June 14, 2013

Azman Ayob OCPD Muar yang baharu

MUAR 14 Jun - Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Selangor, Asisten Komisioner Azman Ayob dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Muar yang baru berkuat kuasa hari ini.

Beliau dilantik bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Staf Pasukan Gerakan Khas, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada 9 Mei lalu.

Majlis serah terima tugas antara Azman dan pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Sahadan Jaafar berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini dan turut disaksikan Ketua Polis Johor, Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Mohd. Mokhtar dalam ucapannya berkata, pelantikan Azman adalah tepat memandangkan beliau bukan hanya mempunyai pengalaman luas, malah mempunyai kredibiliti tersendiri dalam mendepani cabaran polis untuk menjaga keselamatan orang awam dan mengurangkan kes jenayah.

"Saya yakin dengan pengalaman dan khidmat cemerlang Azman selama ini dapat memenuhi tuntutan sebagai ketua di IPD Muar yang sebelum ini dipangku dengan baik oleh Sahadan.

"Semoga segala isu yang dihadapi dapat ditangani dengan bijak selain menjalinkan kerjasama erat dengan masyarakat supaya dapat meneruskan kecemerlangan IPD ini ke peringkat yang lebih tinggi," katanya. - UTUSAN ONLINE

14 Jun 2013


Anggota polis perlu bertugas penuh semangat

MUAR - Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff  hari ini mengingatkan anggota pasukan itu agar tidak terperangkap dengan perbuatan segelintir pihak yang cuba menanam kebencian terhadap mereka.
    
Sebaliknya kata beliau, anggota dan pegawai polis harus meneruskan tugas dengan penuh semangat demi kesejahteraan dan keselamatan negara.
    
"Pastikan kita tidak tunduk kepada tuntutan-tuntutan kumpulan ini. Kita akan bertugas dengan penuh integriti berlandaskan undang-undang, kita tidak akan layan kecaman-kecaman mereka yang tidak berasas itu," tegas beliau.
     
Mokhtar berucap pada majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Muar di antara pemangku Ketua Polis daerah itu, Sahadan Jaafar dengan Ketua Polis Daerah Muar yang baharu, ACP Azman Ayub di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
    
"Akhir-akhir ini kita telah dihina dan dicela oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, yang cuba melemahkan semangat anggota PDRM.

Mereka sudah lupa selama 207 tahun polis telah membawa kemakmuran kepada negara ini," katanya.
     
Beliau mahu agar anggota pasukan itu terus bekerja dengan semangat berpasukan dan berusaha meningkatkan keupayaan mereka dalam mengumpul maklumat yang tepat agar dapat mencegah serta menyelesaikan kes dengan cepat.
     
Terdahulu Azman dalam ucapannya meminta anggota di IPD Muar memberi kerjasama penuh kepada beliau dalam misi membanteras jenayah di daerah itu.
     
"Kita tidak boleh lagi membuat apa-apa kesilapan yang seterusnya menjadi isu hingga menyebabkan PDRM menjadi tidak relevan," katanya. - Bernama

14 Jun 2013

Polis rampas syabu bernilai RM250,000

MUAR - Polis memberkas seorang lelaki dan merampas satu kilogram dadah dipercayai jenis syabu bernilai RM250,000 dalam satu operasi di Pangkalan Nelayan Parit Jawa, di sini awal hari ini.
 
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam operasi 12.15 pagi itu polis turut merampas wang tunai RM5,000 daripada lelaki tempatan berusia 56 tahun berkenaan.
 
Polis sedang menyiasat dari mana suspek memperoleh bekalan dadah dan untuk di pasarkan di mana, katanya menambah bekalan dadah itu dapat menampung 5,000 penagih.
 
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas ketua polis daerah Muar di antara pemangku Ketua Polis daerah Supt Sahadan Jaafar dan Ketua Polis Daerah Muar yang baharu ACP Azman Ayub.
 
Menurut Mohd Mokhtar, operasi itu hasil risikan awam dan lelaki tersebut ditahan ketika berada di dalam kereta di Pantai Leka di pangkalan berkenaan.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

14 Jun 2013

Laksana amanat isteri

Harun bersama anak sulungnya, Zamsiatul Zeema menunjukkan replika cek pampasan insuran yang diterima.

MUAR – “Arwah pesan, andai berlaku apa-apa ke atas dirinya meminta saya supaya menguruskan tuntutan insuransnya.

"Sejak itu, saya baru tahu arwah ada mengambil insurans melalui potongan gaji bulanan,” kata Harun Ahmad, 58, yang merupakan suami kepada Normah Razali, 46.

Normah merupakan tukang cuci di Syarikat Sinar Jernih meninggal dunia akibat penyakit pendarahan usus, 8 Oktober tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, pasangan yang dikurniakan empat anak itu diberi pampasan insurans berjumlah RM33,246 yang meliputi bayaran khairat kematian sebanyak RM3,000 dan elaun hospital serta keuntungan insurans sebanyak RM246, semalam.

Difahamkan, dalam tempoh empat bulan sebelum kematiannya, Normah yang sudah 10 tahun bekerja telah mencarum insurans AmLife Insurance Berhad sebanyak RM30 sebulan yang diperkenalkan majikannya.

Harun dari Kampung Simpang Baba berkata, arwah isterinya disahkan menghidap penyakit itu ketika membuat pemeriksaan susulan berkaitan penyakit urat tersimpul yang dihidapinya sejak  beberapa tahun lalu.

“Arwah juga bakal menjalani pembedahan untuk penyakit urat itu tetapi tidak menyangka, dia turut menghidap penyakit lain. Pendarahan usus dialaminya agak serius dan meninggal dunia selepas 10 hari terlantar ketika menjalani rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF),” katanya.

Ketika ditanya dengan perancangan pampasan insurans diterimanya itu, Harun berkata, wang tersebut akan digunakan untuk membiayai pengajian empat anaknya yang berusia di antara 16 hingga 24 tahun.

Katanya, anak sulungnya yang merupakan penuntut tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini sedang menjalani praktikal di sebuah syarikat guaman di Bakri untuk mendapatkan lesen sebagai peguam.

“Anak kedua berusia 22 tahun pula sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Melaka dalam bidang pelancongan. Anak ketiga berusia 19 tahun menjalani latihan di Institusi Latihan Perindustrian (ILP) Ledang.

"Manakala yang bongsu masih belajar dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak di sini. Saya mahu memastikan kesemua anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna. Ini antara amanat arwah sebelum meninggal dunia,” katanya.

Pekerja kilang kayu itu berkata, sebahagian wang pampasan tersebut juga telah diperuntukkan untuk melaksanakan upah haji isterinya tahun ini.

“Terima kasih kepada pihak majikan arwah yang banyak membantu untuk memudahkan urusan tuntutan pampasan ini,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Pembangunan Perniagaan Agensi AmLife Insurance, Jaslan Misran berkata, polisi insurans itu diperkenalkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapat perlindungan insurans.

“Bayaran yang dikenakan berpatutan serta sesuai untuk golongan berkenaan dengan kadar minimum serendah RM10 sehingga RM500 sebulan.

“Kita menggalakkan orang ramai supaya mengambil satu polisi insurans untuk perlindungan yang boleh meringankan beban pencarum juga warisnya,” katanya.

Sinar Harian
14 Jun 2013

Thursday, June 13, 2013

Ibu cemas bayi diculik 5 jam

BAYI lelaki yang hilang lima jam dijumpai seorang peniaga wanita di sebuah tandas di medan selera di Yong Peng, Batu Pahat kelmarin.

MUAR - Seorang wanita tidak menyangka kedatangan seorang lelaki yang kononnya mahu menghantar ikan dipesan bapa mertuanya mengundang peristiwa cemas selama lima jam apabila lelaki itu bertindak melarikan bayinya yang berusia setahun.

Sebelum kejadian pukul 10 pagi kelmarin itu, seorang lelaki datang dengan menaiki sebuah kereta Proton Persona ke rumah mangsa di Jalan Bakariah di sini dan memberitahu mahu menghantar kotak kononnya berisi ikan yang dipesan bapa mertuanya.

Tanpa rasa curiga, wanita itu terus membuka pintu pagar rumahnya lalu mempelawa lelaki itu masuk ke dalam rumah. Bagaimanapun, sebaik berada di dalam rumah, lelaki itu terus menolak wanita itu menuju ke dapur rumah.

Suspek kemudian bertindak mengikat kedua-dua belah tangan dan mata wanita itu sebelum membawa lari anak lelaki bongsu mangsa yang berusia setahun.

Bagaimanapun, dua lagi anak mangsa tidak diapa-apakan. Semasa kejadian, suami wanita tersebut tiada di rumah kerana bekerja.

Kosmo
13 Jun 2013


Tangisan depan tandas

Muar: “Saya baru selesai menunaikan solat Zuhur apabila terdengar tangisan bayi lalu mencari di kawasan sekitar sebelum menemui bayi itu di atas lantai di depan tandas,” kata seorang wanita dikenali sebagai Zainab di sini, semalam.

Zainab yang berniaga di medan selera di Yong Peng menemui bayi lelaki berusia setahun yang diculik di rumah mangsa di Jalan Bakariah, kelmarin.

Menceritakan kejadian, Zainab berkata, pada jam 2 petang, dia ke surau di medan selera berkenaan.

“Selepas mendengar bayi menangis saya cuba mencari di kawasan sekitar namun gagal lalu turun ke tingkat bawah dan terkejut menemuinya di atas lantai depan tandas lalu membawanya ke gerai jualan,” katanya.

Menurut Zainab, dia dan peniaga bertanyakan pelanggan sama ada mereka mengenali bayi itu namun tiada yang mengaku.

“Saya membeli lampin pakai buang bagi menggantikan lampinnya dan pada jam 7 malam, selepas selesai berniaga, membawa bayi berkenaan ke Balai Polis Yong Peng,” katanya.

myMetro
13 Jun 2013

Wednesday, June 12, 2013

Asrama pekerja asing musnah

Bomba berusaha memadamkan keseluruhan kebakaran yang memusnahkan satu blok asrama pekerja asing di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir, Sungai Terap, semalam.

MUAR - Sebuah blok asrama yang menempatkan lebih 100 pekerja kilang perabot warga asing musnah dalam kejadian kebakaran di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir di Sungai Terap, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, hampir semua penghuni di blok tiada di asrama kerana keluar bekerja di kilang berkenaan.

Seorang penghuni, Bidyalal Mandeel, 23, berkata, dia tinggal sehelai sepinggang kerana semua barangannya tidak  sempat diselamatkan berikutan api terlalu cepat marak membakar asrama.

“Asal terlalu tebal. Barang kami antaranya televisyen, komputer, periuk nasi elektrik, peralatan memasak dan wang tunai musnah terbakar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Pengawal keselamatan asrama berkenaan, Mohd Kamal Sidek berkata, terdapat hampir 700 pekerja kilang itu yang terdiri daripada warga Nepal, Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Bangladesh menginap di asrama berkenaan.

Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas kerana ada pekerja terlihat kepulan asap pada wayar.

“Terdapat empat blok utama di asrama ini yang dilengkapkan dengan dapur untuk memasak di bahagian luar,” katanya.

Seorang lagi penghuni asrama, Azadthakur, 29, berkata, dia terkedu melihat asrama musnah terbakar sebaik sahaja pulang dari kilang yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Ujarnya, walaupun sedih kerana menanggung kerugian, tetapi dia bersyukur kerana semua rakannya selamat.

“Kebakaran itu disedari seorang rakan yang tidak bekerja selepas bertugas  syif malam. Dia terlihat kepulan asap sebelum meminta pertolongan rakan lain tetapi gagal memadamkan api,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmud berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, seramai 12 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya mengalami kesukaran memadamkan kebakaran kerana tekanan air yang rendah dari pili bomba dan terpaksa mendapatkan bekalan air dari sebuah kilang di hadapan asrama.

“Kita juga bawa dua tangki air khas dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pukul 11 pagi. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
12 Jun 2013

Asrama tempatkan 100 pekerja Nepal terbakar

MUAR 11 Jun - Sebuah blok asrama menempatkan lebih 100 warga negara Nepal yang bekerja di kilang perabot Lii Hen Group musnah dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Bukit Pasir, Sungai Terap di sini hari ini.

Bagaimanapun kejadian pukul 8.20 pagi itu tidak melibatkan kemalangan jiwa kerana hampir semua penghuni asrama berkenaan keluar bekerja di kilang tersebut yang jaraknya kira-kira setengah kilometer dari situ.

Kebakaran itu menyebabkan semua penghuni asrama berkenaan berlari pulang ke kawasan asrama untuk menyelamatkan barang berharga dan dokumen masing-masing namun gagal kerana asap tebal memenuhi blok itu.

Salah seorang penghuni, Bidyalal Mandeel, 23, yang sudah tiga tahun bekerja di situ tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana sejurus tiba di asrama api sedang marak.

"Asap sangat tebal menyukarkan kami masuk ke dalam. Semua barang termasuk barangan elektrik dan wang tunai tidak dapat diselamatkan," katanya.

Pengawal keselamatan di asrama berkenaan, Mohd. Kamal Sidek berkata, terdapat hampir 700 pekerja kilang terdiri daripada warga Nepal, Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Bangladesh tinggal di kawasan tersebut.

"Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas kerana semasa awal kebakaran kelihatan kepulan asap di bahagian wayar. Terdapat empat blok utama di asrama ini yang dilengkapkan dengan dapur untuk memasak di bahagian luar," katanya. - UTUSAN ONLINE

11 Jun 2013

Tuesday, June 11, 2013

Nelayan selamat, sepupu hilang bot karam dilanggar kapal

Munir dipeluk kakaknya sebaik tiba di Jeti Parit Jawa, Muar, semalam.

Muar: Seorang nelayan terselamat manakala sepupunya dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki karam akibat dirempuh kapal di Selat Melaka, 12 batu nautika di luar perairan Parit Jawa di sini, semalam.

Munir Sirun, bersama sepupunya dikenali sebagai Bujang, yang masih hilang, keluar menangkap ikan dalam kejadian jam 3 pagi itu.

Majikan mereka, Zulferi Hamidun, berkata Munir dan Bujang meninggalkan pangkalan nelayan Parit Jawa pada jam 3 petang kelmarin. “Pada jam 11 pagi ini (semalam), saya menerima panggilan daripada Munir memaklumkan kemalangan itu.

Sepupu gagal dikesan

“Dia memberitahu bot karam akibat dilanggar kapal dan dia bernasib baik kerana diselamatkan bot nelayan yang melalui kawasan itu tetapi sepupunya gagal dikesan.

“Saya membuat laporan polis sebelum sekumpulan nelayan tempatan yang menaiki lima bot bergegas ke lokasi untuk membantu mencari dan menyelamat Bujang tetapi sehingga kini belum ditemui,” katanya ketika ditemui di Jeti Parit Jawa di sini, semalam.

Berita Harian
11 Jun 2013


Bot karam dilanggar kapal

Munir (tengah) terselamat dalam insiden perlanggaran dengan sebuah kapal awal pagi semalam.

MUAR - Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam dipercayai akibat dilanggar sebuah kapal di perairan Selat Melaka, kira-kira 12 batu nautika dari Jeti Parit Jawa, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, turut melibatkan seorang lagi nelayan yang terselamat iaitu Munir Sirun, 52, ditemui terapung dengan memakai jaket keselamatan, kira-kira jam 10 pagi oleh nelayan lain, Ng Gek Sen, 29, yang kebetulan mahu menangkap ikan.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Bujang, 30-an, masih tidak ditemui sehingga operasi mencari dan menyelamat tamat jam 6 petang semalam.

Munir berkata, dia bersyukur dan tidak menyangka masih hidup selepas tujuh jam berpaut di atas sebuah papan  daripada serpihan bot tersebut tanpa makan dan minum.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika mereka menaikkan jaring sebelum ternampak sebuah kapal kontena menuju ke arah bot mereka, tetapi tidak sempat untuk memecut kerana kapal itu terlalu laju.

“Selepas pelanggaran itu, keadaan menjadi gelap gelita. Dalam keadaan terapung, saya sempat memakai jaket keselamatan sebelum berpaut pada papan,” katanya ketika ditemui di Jeti Parit Jawa.

Dalam pada itu, majikan mereka, Zulferi Hamidun, 48, berkata, Munir dan Bujang keluar untuk menangkap ikan kira-kira jam 3 petang semalam dan selepas itu, dia tidak mendengar apa-apa berita daripada mereka.

“Saya hanya dimaklumkan kira-kira pukul 11.30 pagi ini oleh Munir selepas diselamatkan Gek Sen.

“Semalam (kelmarin) cuaca buruk jadi tidak ramai nelayan yang turun ke laut. Sekarang ini, ramai nelayan turut membantu mencari mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Pasukan Gerakan Marin,  Koperal Mazlan Mohd Ali berkata, operasi tersebut disertai empat anggota Polis Gerakan Marin dan empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim)
Batu Pahat dengan disertai lebih 30 nelayan yang menaiki enam bot.

"Usaha mencari dan menyelamat akan disambung esok (hari ini). Dalam keadaan ribut dan angin kencang, dipercayai bot mereka termasuk ke laluan kapal antarabangsa,” katanya.

Sinar Harian
11 Jun 2013


‘Saya hanya ingat Allah’

Muar: “Sepanjang hampir tujuh jam terapung di laut, saya hanya ingat Allah dan tidak berhenti-henti berzikir.”

Demikian kata Munir Sirun, 52, nelayan yang terselamat selepas bot dinaiki bersama sepupunya karam dipercayai dilanggar sebuah kapal di perairan Selat Melaka, kira-kira 12 batu nautika dari jeti Parit Jawa di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Munir dan sepupunya dikenali sebagai Bujang, 30-an, kedua-duanya warga Indonesia yang memiliki taraf penduduk tetap negara ini, turun ke laut untuk menangkap ikan.

Sehingga lewat petang semalam, Bujang masih belum ditemui dan usaha mencarinya masih dilakukan pihak berkuasa. Menurut Munir, ketika kejadian dia dan Bujang sibuk menaikkan jaring ketika hujan lebat sebelum tiba-tiba ternampak kilauan cahaya.

Katanya, sebaik ternampak lampu kapal, dia cuba mengundurkan bot tetapi gagal sebelum botnya terus melanggar bahagian depan kapal berkenaan.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan dalam sekelip mata saya sudah tercampak ke laut,” katanya.

myMetro
11 Jun 2013


Mayat nelayan hilang ditemui

MUAR - Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu, selepas bot dinaiki karam akibat dilanggar kapal kontena ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira 12 batu nautika dari Jeti Parit Jawa, di sini, jam 7 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, mayat nelayan itu yang hanya dikenali Bujang, lingkungan 30an ditemui terapung oleh  nelayan di kawasan perairan Selat Melaka.

“Nelayan yang menemui mayat tersebut memaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum diserahkan kepada polis. Semasa ditemui, mayat itu sudah hampir reput,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, Isnin lalu, bot yang dinaiki Bujang dan sepupunya, Munir Sirun, 52, semasa menangkap ikan  pecah dua dan terpelanting ke laut.

Usaha mencari dan menyelamat Bujang oleh Polis Gerakan Marin dan empat anggota APMM selama beberapa hari tidak berhasil manakala Munir diselamatkan seorang  nelayan tujuh jam selepas itu.

Sinar Harian
16 Jun 2013

Saturday, June 8, 2013

Ambulans bawa pesakit terbalik

AMBULANS yang terbalik selepas pelanggaran di persimpanan Jalan Bakri.

Muar: Seorang pesakit jantung nyaris maut apabila ambulans yang dalam perjalanan membawanya ke sebuah hospital swasta di Melaka terbalik selepas dilanggar sebuah kereta di jalan pintas berhampiran persimpangan empat Jalan Bakri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi, ambulans itu dipercayai dalam perjalanan dari Batu Pahat untuk menghantar mangsa berusia 50-an ke Hospital Pakar Putra Melaka.

Saksi Abdullah Sariman, 76, berkata, pemandu Toyota Camry itu dipercayai tidak menyangkakan kemunculan ambulans yang tiba-tiba melintas jalan sebelum melanggar belakangnya.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kedua- dua tayar belakang ambulans meletup sebelum pemandunya hilang kawalan lalu terbalik 50 meter dari simpang itu.

Abdullah berkata, ketika kemalangan berlaku, dia berada tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya, dia terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat ambulans itu terbalik dalam keadaan siren kecemasan masih berbunyi.

Katanya, dia dan menantu segera ke tempat kejadian dan mujurlah pengguna jalan raya lain turut memberhentikan kenderaan bagi menyelamatkan mangsa di dalam ambulans.

“Kami terpaksa memecahkan pintu belakang menggunakan sebatang besi. Sebaik pintu dibuka, pesakit itu masih hidup dan dalam keadaan berdarah, manakala seorang pembantu cedera kerana dihempap katil pesakit.

“Pemandu ambulans yang turut cedera dapat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar, manakala pemandu Toyota Camry tidak cedera,” katanya.

Menurut Abdullah, kira-kira lima minit kemudian pesakit berkenaan dikeluarkan pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba di lokasi dan membawa semua mangsa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Sahadan Jaafar, mengesahkan menerima laporan kemalangan itu, namun enggan mengulas lanjut.

myMetro 9 Jun 2013

Friday, June 7, 2013

Penjual tiket feri mati ditembak


Pegawai penyiasat melakukan pemeriksaan ke atas mayat Chai Heng yang ditembak dari jarak dekat menggunakan pistol.

Muka penuh darah, kelongsong peluru tepi mayat

MUAR - Seorang lelaki maut dipercayai akibat ditembak dari jarak dekat pada bahagian mukanya di sebuah taman permainan kanak-kanak di Taman Seri Temiang, Jalan Salleh, dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, Tee Chai Heng, 51, yang juga penjual tiket feri ditemui jirannya kira-kira jam 9 malam dalam keadaan berlumuran darah iaitu hanya 30 meter dari rumahnya.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, kira-kira jam 8.30 malam, dia terdengar bunyi letupan seperti mercun dari arah taman permainan yang disangkanya dilakukan oleh kanak-kanak yang bermain di situ.

“Saya dengan rakan kemudiannya ke taman permainan itu untuk berehat dan mendengar bunyi telefon bimbit.

“Ketika cari arah bunyi telefon itu, kami dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki tanpa pakaian dalam keadaan terlentang dengan mukanya berlumuran darah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia dan rakan kemudiannya bergegas pulang ke rumah untuk memaklumkan kepada bapa mengenai penemuan mayat tersebut serta menghubungi polis.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, mangsa mati di tempat kejadian selepas ditembak menggunakan pistol.

Menurutnya, mangsa ditembak di bahagian bawah mata kanannya sebelum mayatnya ditemui jiran kira-kira jam 9 malam.

“Mangsa ditembak sebanyak satu kali dari jarak dekat dan dipercayai dia ditembak oleh seseorang yang mengenalinya.

“Kita menemui satu kelongsong peluru pistol tidak jauh dari tempat mangsa ditembak.

“Siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif pembunuhan sedang dijalankan,” katanya.

Sahadan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan, Hayati Shariff di talian 019-7788977 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk bedah siasat dan kes  disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sinar Harian
8 Jun 2013

Jururawat rugi RM1,700

MUAR - Seorang jururawat sebuah hospital di daerah ini rugi RM1,700 selepas terpedaya dengan iklan jualan murah telefon bimbit jenis Iphone 5 dalam sebuah laman web di internet, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran harga telefon itu yang jauh lebih murah berbanding harga asal, tanpa berfikir panjang telah memasukkan wang ke dalam akaun bank atas nama seorang lelaki.

“Sebelum memasukkan wang itu, mangsa berusia 24 tahun ada menghubungi suspek dan dimaklumkan akan menerima telefon tersebut pada keesokan harinya.

“Malangnya, telefon itu masih tidak diterimanya seperti yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Sahadan berkata, wanita itu berasa ditipu apabila usahanya untuk menghubungi suspek gagal, lalu membuat laporan di balai polis berhampiran.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan nama yang beralamat di Kuala Lumpur dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti identitinya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu yang boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sinar Harian
7 Jun 2013

Putus jari kaki akibat ditetak

Senjata yang diguna suspek dalam kejadian berkenaan.

MUAR - Seorang pekerja kafe siber di Jalan Bakri, dekat sini, nyaris maut apabila ditetak hingga putus ibu jari kaki kanan selepas diserang tiga lelaki bertopeng dalam kejadian pergaduhan 28 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, tiga penjenayah itu bersenjatakan dua besi buku lima dan dua pucuk pistol tiruan.

Menurutnya, mangsa yang berusia 17 tahun tidak bersekolah bersama dua lagi rakannya berusia 15 dan 20 tahun diserang secara mengejut di hadapan kafe siber itu kira-kira jam 1.45 pagi.

“Salah seorang suspek yang berusia 29 tahun sebelum itu bergelut dengan mangsa sebelum menetak sehingga putus ibu jari kaki mangsa berusia 17 tahun itu.

“Cubaan menyambung ibu jari kaki mangsa tidak berjaya kerana dilakukan enam jam selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Katanya, hasil daripada maklumat dan risikan, pihaknya telah berjaya menahan suspek berusia 29 tahun  di sebuah rumah di Bakri, kira-kira jam 7.30 pagi, semalam.

Katanya, turut dirampas semua senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.

“Kita sedang menjejaki dua lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan dan untuk mengenal pasti motif serangan.

“Suspek direman sehingga Isnin ini, melalui ujian air kencing didapati dia bebas dadah juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Sahadan berkata, bagi kes menetak ibu jari disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan suspek boleh dipenjara 20 tahun.

“Manakala kesalahan memiliki senjata buku lima disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Hakisan dan Senjata Bahaya yang boleh dipenjara selama tiga tahun.

“Sementara kesalahan memiliki senjata api tiruan pula disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dipenjarakan hingga 10 tahun dan tidak kurang tiga sebatan,” katanya.

Sinar Harian
7 Jun 2013

Wednesday, June 5, 2013

Cicak ekor tiga minum kopi

Zali menunjukkan cicak berekor tiga yang ditemui di rumahnya dua minggu lalu.

MUAR – Seorang lelaki terkejut selepas menemui seekor cicak yang mempunyai tiga ekor di rumahnya di Taman Mas Ria, di sini, kira-kira dua minggu lalu.

Zali Bahaman, 56, berkata, dia menemui cicak itu di ruang tamu rumahnya ketika sedang menonton televisyen.

Menurutnya, keunikan pada haiwan itu disedarinya ketika ingin membuang cicak berkenaan.

“Apabila diamati cicak ini memiliki lebih daripada satu ekor bukan seperti kebiasaan telah membantutkan hasrat untuk membuang haiwan berkenaan.

“Saya meletakkannya diletakkan di dalam sebuah balang plastik kerana dia belum menemui bekas yang sesuai,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Zali berkata, seumur hidupnya, dia belum pernah melihat cicak yang memiliki tiga ekor seperti itu.

Katanya, sejak haiwan berkenaan berada di bawah jagaan keluarganya, cicak berkenaan kelihatan normal seperti biasa dan keluarganya tidak mengalami sebarang kejadian pelik.

“Cuma cicak ini sering mengeluarkan bunyian lebih nyaring pada waktu malam terutamanya jika ia terlihat cicak lain.

“Atas nasihat seorang rakan, saya memberinya makan lalat dan air kopi manis.  Memang pelik, namun itulah kesukaan haiwan berkenaan terutama minuman yang manis,” katanya.

Zali berkata, keunikan yang jarang ditemui itu telah mendorongnya untuk terus membela haiwan berkenaan.

“Saya ada cerita tentang penemuan tersebut kepada rakan-rakan dan sejak itu rumah sering menjadi tumpuan ramai orang.

“Mereka terlalu teruja untuk melihat keunikan ini meskipun ada seorang peniaga Cina menawarkan RM300 untuk membeli cicak ini,” katanya.

Beliau berkata, dia tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada pihak yang ingin menawarkan harga yang lumayan.

“Cicak ini tidak akan dijual, namun kepada orang ramai yang ingin melihatnya sendiri bolehlah berkunjung ke rumah,” katanya.

Sinar Harian
5 Jun 2013