REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Sunday, July 4, 2010

Pekerja kilang dijamu durian

SEBAHAGIAN daripada pekerja kilang elektronik ST Microelectronics Sdn. Bhd. menikmati durian di Tanjung Agas, Ledang, baru-baru ini.

LEDANG 3 Julai - Seramai 1,000 pekerja ST Microelectronics Sdn. Bhd. di Tanjung Agas di sini menerima kejutan daripada majikan mereka yang menjamu sebanyak 500 kilogram durian sebelum pulang dari kerja kelmarin.

Para pekerja kilang mikrocip itu nyata cukup gembira dan berselera dan hanya tidak sampai 30 minit durian-durian tersebut telah berjaya dihabiskan.

Jamuan durian pada pukul 7 malam itu adalah yang pertama bagi tempoh tiga hari bagi menjamu keseluruhan 4,000 pekerja kilang berkenaan.

Pengurus Besar ST Microelectronics Sdn. Bhd., J.D. Whang berkata, jamuan durian itu sengaja diaturkan pihaknya sebagai penghargaan terhadap para pekerjanya.

"Dalam tempoh beberapa bulan lalu, kami telah meminta para pekerja untuk berusaha keras bagi memenuhi permintaan pasaran yang amat tinggi.

"Mereka (para pekerja) telah memberi kerjasama yang cukup baik dan jamuan ini adalah salah satu tanda penghargaan," katanya.

Kata beliau, secara keseluruhan, sebanyak empat sesi jamuan diatur bagi menjamu kesemua 4,000 pekerja kilang tersebut yang bekerja pada syif yang berbeza.

"Sebanyak 2,000 kilogram durian dibeli untuk tujuan ini dan kami mahu semua pekerja dapat merasai dan menjamu selera bersama-sama," katanya.

Utusan
3 Jul 2010

Saturday, July 3, 2010

Saya bukan kafir!

MUAR: Kelunakan bilal memperdengarkan azan setiap pagi di surau berhampiran rumah selama 20 tahun membuka pintu hati seorang wanita untuk memeluk Islam.

Biarpun tidak mengetahui maksud di sebalik seruan solat itu, Lina Poh Abdullah, 62, sering bangun jam 4 pagi semata-mata untuk mendengar azan sebelum terpaut menjalani kehidupan sebagai orang Islam seperti kebanyakan penduduk di kampungnya.

Akhirnya pada 2006, dia memeluk Islam bersendirian manakala bekas suami dan empat anak masih menganut agama asal.

Bagaimanapun, dia yang baru bernikah dengan lelaki lain hampir dua bulan lalu kesal berikutan dihina, malah dituduh kafir apabila menegur perbuatan sekumpulan remaja supaya tidak melepak dan membuat bising berhampiran rumahnya.

“Saya pantang orang tuduh saya kafir sedangkan mereka tidak tahu banyak pengorbanan terpaksa dilalui orang seperti saya untuk memeluk Islam,” kata Lina yang menjadi mangsa penghinaan ‘kutu tembok’ di sini.

Menurutnya, pengalaman pahit itu bermula sejak 2007 apabila sekumpulan remaja sering mengeluarkan kata-kata yang menyentuh hatinya sebagai seorang Islam selepas tidak berpuas hati dengan tindakannya menegur tabiat buruk mereka.

Paling menyedihkan, dalam kejadian terbaru Jun lalu, beberapa remaja tergamak menyuruhnya keluar Islam.

Malah, katanya, dia turut dicerca supaya tidak mengerjakan solat lima waktu selain tidak perlu berulang-alik ke masjid dan surau serta membuka tudung dipakainya sejak memeluk Islam.

“Apa salah saya sehingga sanggup menyuruh berbuat demikian serta menuduh saya kafir selain mengugut membunuh saya.

“Saya menangis semalaman kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian dan tidak lena tidur. Saya benar-benar sedih dan kecewa…kerana terlalu sedih, saya buka tudung selama tiga hari, hujung bulan lalu.

“Saya rasa bersalah, tapi kerana terlalu sedih saya ikutkan hati, tetapi memakai semula selepas dinasihatkan seorang kenalan yang bertugas sebagai anggota polis,” kata Lina yang menjaga dua cucunya yang bukan Islam pada hari kerja, manakala hujung minggu pulang ke Pagoh untuk bersama suami.

Lebih mengecewakan, kata wanita itu, anaknya yang bukan Islam turut menjadi mangsa apabila keretanya di depan rumah pernah dicalar beberapa bulan lalu.

Apabila masalah itu diajukan kepada pemimpin masyarakat, dakwa Lina, dia diminta berpindah jika tidak boleh menerima suasana kejiranan di situ.

Katanya, dia terpaksa membuat pengorbanan besar apabila mengambil masa 20 tahun sebelum tercapai impian memeluk Islam.

“Ketika mahu memeluk Islam, anak masih kecil dan saya tidak mahu apabila mereka besar dipersalahkan kerana memaksa mereka menukar agama,” katanya.

Disebabkan bimbang keselamatannya, Lina sudah beberapa kali membuat aduan di Balai Polis Muar dan terbaru pada 22 Jun lalu.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin, berkata umat Islam perlu sentiasa bersangka baik dengan saudara baru bukan dengan mencaci dan menghina mereka.

Katanya, kehadiran saudara baru perlu diterima secara terbuka dengan sentiasa diberi sokongan sebaik mungkin supaya menjadi mukmin sejati.

“Jurang pemisah atau sempadan antara saudara baru dengan umat Islam asal tidak seharusnya wujud kerana dalam agama akidah yang menyatukan kita. Kehadiran mereka menambah lagi kekukuhan Islam,” katanya.

myMetro
3 Jul 2009

Galak remaja ceburi bidang permotoran

PARIT BULAT DARAT - Jom Amal 2 akan diadakan pada 11 Julai depan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Pasti Hidayah Parit Bulat Darat, Muar.

Program anjuran Pas kawasan Muar adalah antara program menarik yang akan diadakan kerana turut mengundang pelumba motosikal kebangsaan untuk memberi tunjuk ajar kepada remaja tentang cara menjadi pelumba motor yang hebat.

Ini adalah salah satu cara untuk menarik minat golongan remaja supaya menceburi bidang permotoran dan mengelakkan mereka daripada terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.

Orang awam, khususnya golongan remaja dipelawa untuk menyertai program berkenaan.

Sinar Harian
3 Jul 2010

Projek dalam perhatian JKR

KAMPUNG SUNGAI JAYA – Penduduk kampung di sini menggesa pihak berkuasa menyelesaikan segera masalah perparitan yang tidak sempurna di mana menjadi punca seringnya berlaku banjir kilat.

Seorang penduduk, Abdul Ghani Ashaari berkata, masalah perparitan di kampung ini sungguh meruncing kerana tiada aliran air yang sempurna.

“Sistem perparitan di kampung ini terhenti sehingga di kampung Sungai Bilis. Apabila hujan lebat, air akan melimpah ke kawasan rumah kami.

“Selain mengalami kerosakan rumah dan harta benda, kami bimbang keselamatan seisi sekeluarga terutama warga emas. Begitu juga dikhuatiri ada haiwan liar seperti ular akan memasuki rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketua UMNO Cawangan Kampung Sungai Jaya, Abd Hamid Majid berkata, permasalahan perparitan ini bukanlah isu baru sebaliknya telah dibangkitkan sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, masalah lebih serius dengan wujudnya taman perumahan baru berhampiran kawasan kampung ini.

“Apabila taman perumahan ini dibuka, air dari taman tersebut disalirkan ke parit Kampung Sungai Jaya.

“Walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) telah membuat parit batu dari Taman Sri Jaya ke Sungai Ring, namun ia tidak memadai,” katanya.

Beliau berkata, jika dilihat kawasan parit sebelah kanan jalan Kampung Sungai Jaya tidak pernah dinaiktaraf walaupun telah banyak kali pihaknya mengemukakan permohonan.

“Kawasan paritnya bersemak dan tersumbat. Ianya tidak dibersihkan secara berkala,” katanya.

Abd Hamid berkata, beliau telah mengajukan masalah ini untuk diselesaikan kepada tiga saluran iaitu melalui wakil rakyat tempatan, pejabat PBT dan juga turut diusulkan dalam mesyuarat UMNO Cawangan.

“Tiga tahun lalu, wakil rakyat bersetuju untuk mengusahakan peruntukan projek menaik taraf parit kampung ini dengan tiga pendekatan, namun sehingga kini tiada seberang tindakan yang dapat dilihat.

“Pendekatan pertama, dengan memasang kalbat yang panjangnya 10 kaki terus daripada parit simpang Taman Sri Jaya ke Kampung Sungai Bilis. Manakala, keduanya dengan menukar kalbat yang dilihat sudah tidak berfungsi di hadapan masjid.

“Ketiga adalah dengan menaik taraf semua parit sebelah kanan daripada Taman Sri Jaya berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir sehingga ke Sungai Ring kepada parit bentuk ‘U’ serta memasang konkrit siap untuk setiap laluan di setiap rumah kediaman,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, projek tersebut sedang dalam pemerhatian Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pelaksanaannya.

“Ini adalah projek besar di antara projek yang sedang dijalankan. Jika dilihat, di Kampung Sawah Ring sedang dilakukan pelebaran dan pedalaman perparitannya.

“Projek mendalamkan dan melebarkan sistem perparitan dari Taman Sri Jaya ke Kampung Sawah Ring adalah projek yang besar dan sedang dalam pemerhatian JKR,” katanya.

Menurutnya, selain projek sistem perparitan tersebut, telah dicadangkan untuk pembinaan parit konkrit sebagai mana di Taman Sri Jaya.

Sinar Harian
3 Jul 2010

Suri rumah diizin ambil tindakan terhadap KPN

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam membenarkan seorang suri rumah mengambil tindakan terhadap Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan kerana menghina mahkamah selepas dia ditahan semula walaupun dibebaskan oleh mahkamah pada Mei lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha semalam membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan oleh Lim Mui Cheng, 42, dari Muar, yang kini ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah kerana didakwa mengedar dadah.

Peguam Lim, Datuk N Sivananthan berkata notis keputusan itu akan diserahkan kepada Musa.

Pada 25 Mei lalu, Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membenarkan permohonannya bagi writ habeas corpus atas alasan penahanannya tidak mengikut peraturan dan memerintahkan Lim dibawa ke mahkamah pada 27 Mei lalu untuk dibebaskan.

Bagaimanapun, wanita berkenaan ditahan semula selepas melangkah keluar dari mahkamah.

Lim ditahan bersama suami, anak lelaki dan teman wanitanya kerana disyaki mengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Mawar, Muar, pada 27 April lalu.-Bernama

3 Jul 2010

Lima minit penuh ngeri



17 pelajar berdepan detik cemas selepas bot dinaiki karam di Sungai Muar

MUAR: Lima minit tempoh yang amat mencemaskan bagi 17 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad, dekat Kundang Ulu di sini, semalam, apabila mereka terpaksa menyelamatkan diri dan membantu rakan lain selepas bot dinaiki karam di Sungai Muar, tengah hari semalam.

Bot yang sepatutnya hanya boleh memuatkan lima penumpang itu dimasuki air beberapa saat selepas pelajar berkenaan menaikinya menyebabkan mereka terjun ke sungai yang arusnya deras walaupun sebahagiannya tidak pandai berenang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, semua pelajar termasuk empat perempuan, selamat.

Mereka yang tidak memakai jaket keselamatan, menaiki bot berkenaan menyeberangi Sungai Muar yang lazimnya mengambil masa lima minit, untuk pulang ke rumah di Kampung Liang Batu.

Semua mereka bernasib baik apabila kejadian itu berlaku hanya 20 meter dari tebing sungai dan sempat berpaut pada pancang kayu, selain dibantu rakan yang tahu berenang.

"Kejadian berlaku terlalu pantas. Dalam beberapa saat saja bot mulai karam selepas dimasuki air. Kami panik... semua yang menaiki bot itu menjerit ketakutan sehinggakan suasana menjadi kelam kabut.

“Semua pelajar dalam bot terus terjun ke dalam sungai. Mereka yang tahu berenang membantu rakan lain. Malah saya sendiri juga hampir lemas dan terkapai-kapai sebelum sempat ditarik seorang kawan,” kata seorang pelajar terbabit, Mohammad Amirul Hakimi Hanafi.

Ketika menceritakan detik mencemaskan itu, Mohammad Amirul, 14, berkata walaupun kejadian berlaku berhampiran tebing sungai, keadaan arus agak kuat menyebabkan ada di kalangan pelajar yang sukar menyelamatkan diri dan hampir lemas.

Menurutnya, semua pelajar itu, termasuk empat pelajar perempuan adalah kumpulan pertama yang menaiki bot itu, manakala sekumpulan lagi rakan mereka, termasuk guru menunggu giliran menaiki bot di jeti Pekan Kundang Ulu itu.

Pemandu bot, Fuad Hasbullah, 56, bersyukur kerana semua pelajar dibawanya, selamat.

“Mujurlah ada antara mereka sempat berenang dan berpaut di pancang kayu yang terletak berhampiran jeti Kampung Liang Batu. Keadaan mungkin sebaliknya jika berlaku di tengah Sungai Muar kerana arusnya kuat dan air dalam boleh menyebabkan pelajar hanyut serta tenggelam,” katanya.

Katanya, bot yang karam itu baru digunakan sejak akhir Mei lalu, selepas bot penambang biasa digunakan pelajar dan penduduk berulang alik ke Pekan Kundang Ulu, karam di Jeti Kampung Liang Batu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata siasatan awal mendapati bot itu membawa penumpang melebihi had yang menyebabkannya karam.

Katanya, kira-kira 17 pelajar dan pemandu bot berkenaan sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai berikutan lokasi karam hanya terletak 20 meter dari tebing.

“Bot itu sepatutnya hanya membawa kira-kira lima penumpang saja, tetapi sebaliknya, ia membawa melebihi dua kali ganda sehingga menyebabkan bot itu gagal menampung muatan itu lalu karam,” katanya ketika dihubungi.

Berita Harian
3 Jul 2010


15 pelajar selisih maut

LEDANG: “Jaket keselamatan yang disediakan tidak mencukupi, malah kami terpaksa berkongsi bagi menyelamatkan rakan lain yang tidak tahu berenang,” kata Salihin Abdul Jalal, 15, seorang daripada pelajar yang nyaris maut apabila bot yang dinaiki mereka untuk ke sekolah karam, semalam.

Dalam kejadian jam 12.11 tengah hari itu, 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Hulu berdepan saat getir apabila terpaksa terjun dari bot yang karam akibat lebih muatan.

Bagaimanapun, semua pelajar berkenaan berjaya menyelamatkan diri selepas mendapat bantuan daripada penduduk kampung berhampiran.

Mengimbau kembali pengalamannya, Salihin mengatakan dia terkejut kerana bot yang dinaiki mereka itu tiba-tiba dimasuki air dengan cepat.

“Sepatutnya setiap bot dibenarkan membawa lapan penumpang saja, tetapi pada hari ini (semalam), bot penambang itu dinaiki 16 penumpang termasuk jurukemudinya.

“Sejurus tiba di tengah sungai, bot tiba-tiba dimasuki air dan kami mula panik. Menyedari kejadian itu, kami terpaksa berdiri dan terjun untuk menyelamatkan diri masing-masing,” katanya ketika ditemui, di Jeti Kampung Liang Batu.

Lebih malang lagi, Salihin berkata, empat pelajar perempuan yang berada di dalam bot itu tidak tahu berenang dan mereka hanya menjerit meminta tolong.

Pada saat getir itu, Salihin mengarahkan rakan yang pandai berenang menanggalkan jaket keselamatan supaya dapat diberikan kepada pelajar perempuan berkenaan.

“Kejadian menyebabkan penduduk kampung terjun ke sungai menyelamatkan mereka. Tiada kemalangan jiwa, tetapi seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun pengsan sebaik diselamatkan kerana tertelan air ketika menyelamatkan diri,” katanya.

Pelajar berkenaan dihantar ke klinik berhampiran dan dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Ibu kepada seorang daripada mangsa, Nurhaliza Zakaria, 40, berkata anak perempuannya fobia untuk ke sekolah dengan menaiki bot selepas ini.

“Mungkin dia terpaksa ke sekolah menggunakan jalan darat iaitu berjalan sejauh 10 kilometer pergi dan balik setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Liang Batu, Aman Ayub menggesa kerajaan negeri mahupun Persekutuan supaya menyegerakan pembinaan jambatan yang dipohon penduduk sejak bertahun lalu.

“Kita bernasib baik kerana tiada nyawa melayang hari ini (semalam), tetapi sampai bila pelajar terpaksa menaiki bot untuk ke sekolah.

“Hampir setiap hari mereka terpaksa berdepan risiko termasuk mati lemas atau bot karam, jadi kami harap permintaan mendapatkan jambatan dapat direalisasikan segera,” katanya.

Dalam masa sama, Aman turut berharap pihak berkuasa dapat menyediakan sampan yang lebih besar serta lengkap dengan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan sebagainya yang bersesuaian.

myMetro
3 Jul 2010

Thursday, July 1, 2010

ADUN lawat mangsa banjir

BAKRI - Hujan lebat yang melanda daerah Muar minggu lalu turut menyebabkan beberapa kampung di sini termasuk Kampung Parit Raja Sari dinaiki air.

Masalah banjir berkenaan telah menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Salleh untuk melawat mangsa banjir dan memberi sumbangan kepada mereka.

Menurutnya, penduduk di sini dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati terutama yang tinggal di kawasan rendah kerana keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.

“Sistem perparitan yang tidak sistematik dan cetek menyebabkan ia tidak dapat menampung limpahan air kerana air pasang Sungai Muar telah memburukkan keadaan.

“Saya memohon jasa baik pihak berkenaan supaya menyelenggara perparitan di sini bagi mengelakkan banjir lebih buruk,” katanya.

Ketika lawatan berkenaan, beliau turut memberi sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan.

Salah seorang penerima melahirkan rasa terharu dan gembira atas keprihatinan beliau melawat mangsa banjir.

Katanya, sumbangan yang diperolehinya itu sedikit sebanyak mengurangkan bebanannya.

“Saya berharap masalah perparitan di kampung ini diatasi segera supaya banjir kilat tidak berulang,” katanya.

Sinar Harian
1 Julai 2010