REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Sunday, August 25, 2013

Diganggu monyet tanpa kira waktu

Sekumpulan monyet menyelongkar tong sampah yang dipenuhi sampah sarap.

MUAR - Kira-kira 30 penduduk di Lorong Haji Othman, Jalan Junid, dekat sini, bimbang berikutan ancaman monyet liar yang sering berkeliaran di kawasan berkenaan.

Penduduk mendakwa gangguan tersebut telah berlarutan lebih 50 tahun lalu dan keadaan itu semakin serius kebelakangan ini apabila kumpulan haiwan itu menyerang tanpa mengira waktu.

Penduduk, Abd Rahman Osman, 69, berkata, haiwan itu semakin tidak terkawal sejak hutan berdekatan diterokai.

“Haiwan ini datang dengan jumlah yang banyak melebihi 20 ekor membuatkan penduduk terutamanya kanak-kanak takut. Ada monyet yang agak agresif bila nampak manusia.

“Jika ada tingkap atau pintu terbuka, haiwan ini akan ceroboh masuk menggeledah makanan atas meja,” katanya.

Menurutnya, monyet liar ini kerap menyerang rumah penduduk pada waktu pagi dan petang terutamanya apabila terbau masakan.

“Bila lapar monyet ini akan menyelongkar tong sampah jika tak dapat masuk ke dalam rumah penduduk.

“Saya pernah cedera pada tangan kerana diserang seekor monyet yang menyangka saya mahu ambil anaknya yang baru lahir,” katanya.

Penduduk berharap agar ada tindakan selanjutnya dilakukan pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu.

Sinar Harian
25 Ogos 2013

Friday, August 23, 2013

Penoreh getah kena gantung

MUAR - Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penoreh getah atas pertuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu.

Omar Parjan, 55, didapati bersalah mengedar 19.39 gram (gm) dadah yang mengandungi campuran 13.5gm heroin dan 5.8gm monocetylmorphines.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sri Machap, Simpang Renggam, Kluang, kira-kira jam 12.30 malam, 5 November 2010.

Dia disabitkan kesalahan di bawah Sekyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Tertuduh kelihatan tenang apabila Hakim, Datuk Zainal Azman Abdul Aziz, menjatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran, manakala tertuduh diwakili peguamnya, Salmi Hamdan Sabran.

Terdahulu, peguambela tertuduh merayu agar hukuman yang lebih sesuai dikenakan kerana Omar sudah insaf malah mempunyai isteri dan anak.

Bagaimanapun, hakim menolak rayuan berkenaan kerana pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Sinar Harian
23 Ogos 2013

Sunday, August 18, 2013

Pasar raya rugi RM1 juta

MUAR - Sebuah pasar raya di Pagoh mengalami kerugian hampir RM1 juta dalam kejadian kebakaran di sini, semalam.

Kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu memusnahkan hampir keseluruhan bangunan pasar raya  yang sudah beroperasi selama 10 tahun  termasuk lima stor yang mana tiga daripadanya dipenuhi barang-barang.

Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, seramai 20 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba Muar dan Bukit Gambir dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima aduan kecemasan.

“Kita mengambil masa lebih satu jam mengawal api seterusnya memadam kebakaran.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan tetapi dipercayai dari salah sebuah stor di sebelah kanan yang menempatkan perabot,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, kejadian tersebut tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa kerana semasa kebakaran, tiga pekerja asing yang sedang tidur di dalamnya sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, seorang saksi, Teh Kian Kuo, 48, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terjaga daripada tidur selepas mendengar jeritan orang ramai.

“Rumah saya bersebelahan dengan pasar raya ini. Saya cuba selamatkan kereta yang berada di hadapan pasar raya tetapi tidak berjaya kerana api terlalu marak serta turut menyebabkan kecederaan ringan pada tangan.

“Saya bersyukur api tidak merebak ke rumah kerana bomba tiba awal,” katanya.

Sinar Harian
18 Ogos 2013

Pecah masuk rumah ibu

Azman (tiga, kanan) menunjukkan peralatan yang ditemui selepas menahan lelaki berusia 30an bersama rakannya yang memecah masuk rumah ibunya.

MUAR - Misteri kehilangan pelbagai peralatan termasuklah perkakasan elektrik milik seorang wanita di rumahnya terjawab apabila anaknya ditahan polis, kelmarin.

Suspek yang dipercayai bersubahat dengan seorang rakannya diberkas polis di rumah rakannya itu yang terletak berhampiran dengan kediaman wanita malang itu di Parit Perupok, di sini.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, anak lelaki wanita terbabit yang berusia 33 tahun bersama rakannya berumur 18 tahun ditahan kira-kira jam 2 pagi bersama sebahagian barang curi serta peralatan melakukan pecah rumah.

Menurutnya, kegiatan anak wanita terbabit kerap mencuri di rumah sendiri itu terbongkar apabila ibunya menyedari kediaman yang berkunci dipecah masuk pukul 10.30 pagi, Selasa lalu.

“Sebelum ini wanita berusia 50an yang tinggal sendirian setelah kematian suaminya beberapa tahun lalu sering mengadu barangan dalam rumahnya selalu hilang.

“Segalanya terjawab apabila anaknya bersama rakan ditahan tidak jauh dari rumah wanita berkenaan.

“Antara barangan curi yang dirampas ialah sebuah motosikal Honda EX-5; satu mesin rumput; sebuah televisyen jenama Panasonic; dua lampu tembaga, dua penembak paku, dapur dan tong gas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, kelmarin.

Azman berkata, anak wanita terbabit dikatakan jarang pulang ke rumah keluarga dan kerap tinggal di rumah rakannya sejak aktif melakukan kegiatan terbabit.

“Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan dadah.

“Rakan suspek pula yang berasal dari Batu Anam, Segamat tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan jenayah atau dadah,” katanya.

Beliau memberitahu kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis heroin dan direman sehingga hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1957.

Sinar Harian
18 Ogos 2013

Saturday, August 17, 2013

Ditahan selepas pecah rumah

Antara barangan yang dirampas di rumah suspek di Alai, Melaka.

Kereta yang digunakan suspek ketika melakukan pecah rumah di Taman Mawar, Jalan Abdul Rahman di sini, Rabu lalu.

MUAR – Dua lelaki ditahan kerana terbabit dalam kejadian pecah rumah di Taman Mawar, Jalan Abdul Rahman, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, salah seorang suspek berusia 46 tahun didapati memiliki 10 rekod lampau sejak tahun 1983 melibatkan tiga kesalahan di bawah Seksyen 411 kanun keseksaan kerana memiliki barang curi.

“Tiga rekod lagi adalah bersangkutan dengan kesalahan di bawah Seksyen 454 kanun keseksaan kerana pecah rumah dan curi.

“Selain itu, suspek juga memiliki tiga rekod kerana kesalahan dadah serta satu rekod di bawah Seksyen 379 kanun keseksaan kerana mencuri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Azman berkata, rakan suspek yang berusia 50 tahun pula memiliki tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari selepas Bilik Gerakan IPD Muar menerima maklumat orang awam yang melihat suspek menaiki kereta jenis Mercedes untuk melakukan pecah rumah di taman perumahan terbabit.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kereta terlibat menggunakan nombor pendaftaran palsu yang didaftarkan atas nama salah seorang suspek.

“Polis turut merampas serangkai kunci kereta, kayu cota, playar, besi kuku kambing dan beg sandang,” katanya.

Azman berkata, susulan penahanan itu pihaknya menyerbu rumah suspek di Alai, Melaka dan merampas 18 barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang mereka lakukan.

“Antara yang dijumpai ialah sebuah komputer riba, sembilan utas jam tangan pelbagai jenama, satu sistem kedudukan sejagat (GPS), satu beg yang mengandungi lesen memandu dan satu tablet berjenama Samsung," katanya.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis Syabu dan mereka ditahan reman sehingga 18 Ogos.

Azman memberitahu tangkapan ke atas suspek dipercayai berjaya menyelesaikan lapan kes termasuk di Muar dan Melaka Tengah yang dilakukan tahun lalu.

Sinar Harian
17 Ogos 2013

Penjenayah tidur kepenatan

Azman menunjukkan senjata yang ditemui selepas menahan seorang lelaki yang melakukan pecah masuk sebuah tempat simpanan barang SRS di Parit Amat Darat, Parit Jawa.

MUAR – Seorang penjenayah diberkas ketika tertidur dalam kereta selepas pecah masuk sebuah tempat simpanan barang Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Parit Amat Darat, Parit Jawa, dekat sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek ditahan sekitar jam 7 pagi di dalam kereta yang diletakkan di hadapan stor berkenaan.

Menurutnya, suspek berusia 33 tahun tertidur dipercayai keletihan selepas melakukan perbuatan itu.

“Kejadian disedari oleh pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung berkenaan kira-kira jam 7 pagi sebelum menghubungi polis.

“Sepasukan anggota yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya terlihat sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan tidak jauh dari stor berkenaan dan memeriksanya.

“Ketika pemeriksaan, kita dapati seorang lelaki India sedang nyenyak tidur di bahagian tempat duduk pemandu.

“Dia (suspek) kelihatan gelabah ketika dikejutkan dan kita kemudian melakukan pe-meriksaan susulan dan menemui sejumlah barangan yang dilaporkan hilang iaitu sembilan helai jaket SRS, lampu suluh, pisau pemotong daging, kapak serta tiga bilah parang di tempat duduk belakang,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Azman berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, suspek berasal dari Negeri Sembilan bekerja sebagai mekanik dan didapati positif dadah jenis heroin.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek berada dalam senarai orang yang dikehendaki berkaitan kes ugutan jenayah baru-baru ini.

“Selain itu, suspek turut memiliki beberapa rekod lampau berkaitan curi kenderaan serta dadah,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan untuk mengenal pasti kemungkinan turut terbabit dalam jenayah lain.

Sinar Harian
17 Ogos 2013

Friday, August 2, 2013

80 tahun guna air hujan

Mariamah (kanan) menunjukkan tadahan air hujan dalam pembetung yang digunakannya.

MUAR – Seorang warga emas hidup dalam keadaan serba kekurangan tanpa kemudahan asas yang sempurna dengan bergantung sepenuhnya kepada tadahan air hujan.

Mariamah Saimin, 80, dari Kampung Parit Mislam, Seri Menanti dekat sini, mengakui sudah biasa menggunakan air hujan sejak dilahirkan hingga membuatkannya tidak berminat untuk beralih kepada penggunaan air paip yang lebih bersih serta terjamin keselamatannya.

“Tadahan air hujan dalam pembetung ditapis guna kain, kemudian disimpan dalam tempayan untuk kegunaan memasak dan mandi.

“Saya pernah cuba minum air paip yang dimasak tetapi tekak tidak dapat terima dan membuatkan saya kekal guna air hujan sehingga kini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mariamah berkata, dia tinggal sendirian di rumah usang itu sejak kematian suami, kira-kira 15 tahun lalu.

"Mujurlah dengan hasil jualan kelapa sawit dan buah kelapa, saya mampu meneruskan hidup dan berharap akan terus dikurniakan kesihatan yang baik serta dijauhi dari sebarang penyakit yang serius," katanya.

Kisah Mariamah itu mendapat perhatian Persatuan Penternak Kupang Daerah Muar apabila menghulurkan bantuan barangan dapur kepada warga emas berkenaan yang turut disertai Adun Sungai Balang, Zaiton Ismail, baru-baru ini.

Sinar Harian
2 Ogos 2013