REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Monday, April 14, 2014

Pemimpin digesa kenal pasti masalah penduduk

Ismail turut menghulurkan bantuan kepada Aishah Daud pada perasmian Majlis Penghargaan Warga Emas Mukim Lenga di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lenga, baru-baru ini.

MUAR – Pemimpin diminta lebih prihatin dan mendekati masyarakat setempat bagi mengetahui masalah dan kesusahan dihadapi mereka.

Adun Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata, langkah itu penting supaya bantuan bersesuaian dapat diberikan kepada mereka memerlukan.

Menurutnya, pemimpin di peringkat akar umbi seperti penghulu dan ketua kampung perlu memainkan peranan mereka secara keseluruhannya dan adil.

“Dengan cara ini dapat mengelakkan mereka memerlukan tercicir daripada menerima bantuan disediakan kerajaan.

“Apabila sudah kenal pasti (orang memerlukan), mereka (penghulu dan ketua kampung) maklumkan kepada wakil rakyat dan bantu mereka membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika ditemui selepas perasmian Majlis Penghargaan Warga Emas Mukim Lenga di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lenga, baru-baru ini.

Ismail berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan JKM untuk mengetahui perkembangan dan status terkini permohonan pemohon dari kawasan Parlimen Pagoh yang belum diluluskan.

“Saya dimaklumkan JKM ada permohonan ditolak kerana pemohon tinggal dengan anak berkemampuan dengan pendapatan tinggi,” katanya.

Bercakap mengenai program berkenaan, beliau mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Lim Kai Bun kerana memberi sumbangan RM24,000 kepada 240 warga emas sebagai usaha menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Katanya, yayasan berkenaan terdiri daripada jutawan berasal dari Lenga yang kini menaburkan bakti dengan menghulurkan bantuan bagi membantu warga emas selain aktif membantu golongan memerlukan termasuk pihak sekolah.

“Saya mahu program seperti ini akan diteruskan pada tahun depan dan berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dapat mengikuti jejak langkah yayasan tersebut.

“Lebih membanggakan apabila yayasan ini turut memberikan bantuan kepada bangsa Melayu dan ini membuktikan semangat perpaduan di negara ini masih kukuh,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Aishah Mahat, 80, mengakui pertama kali dalam hidupnya menerima bantuan sedemikian malah gembira dengan sumbangan berkenaan yang akan digunakan untuk membeli keperluannya.

Warga emas yang menetap di Kampung Baru Batu 28, Lenga itu menggunakan tongkat untuk berjalan berikutan masalah pada kedua-dua belah lututnya.

“Saya pernah ditahan dalam wad Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selama lapan hari kerana sesak nafas sebelum disahkan menghidap penyakit jantung, baru-baru ini.

“Sejak sakit, saya tinggal bersama anak kelima, Samsudin Ramli, 51, yang juga menetap di kampung ini,” katanya.

Sinar Harian
14 Apr 2014

Saturday, April 12, 2014

Polis Muar rampas dadah RM3 juta

MUAR - Dadah bernilai lebih RM3 juta berjaya dirampas menerusi beberapa serbuan dan operasi yang dilakukan sepanjang 1 Januari hingga 9 April lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, heroin merupakan rampasan tertinggi iaitu melebihi 30 kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah hotel pada Januari lalu dengan menahan dua lelaki berusia 40 dan 32 tahun.

“Rampasan kedua tertinggi setakat ini ialah syabu seberat 1.5 kg dan pelbagai jenis dadah lain turut dirampas membabitkan jumlah kurang daripada 1kg.

“Sebanyak 13 kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 16 kes (Seksyen 39A (2)) dan 23 kes (Seksyen 12(2)) akta yang sama dikesan dan berjaya dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mempertingkatkan operasi menerusi serbuan untuk menahan individu yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah bagi membanteras kegiatan tersebut.

Azman berkata, orang ramai diminta bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui berlaku aktiviti pengedaran dadah berhampiran kediaman mereka.

Sementara itu dalam perkembangan lain, seorang penganggur berusia 23 tahun ditahan dalam serbuan sebuah rumah di Batu 5 Bakri,  bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM1,400, Ahad lalu.

“Dadah yang ditemui ialah heroin seberat 18.8 gram, syabu (2.7g) dan eramin 5 (lima biji),

“Lelaki terbabit merupakan seorang penagih dan pengedar secara kecil-kecilan didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Suspek yang berasal dari Muar ditahan reman sehingga 13 April ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian
12 Apr 2014

Datuk ditahan, polis rampas ketamin seberat 509g

Azman menunjukkan dadah ketamin yang dirampas di sebuah rumah dekat Bakri, Selasa lalu.

MUAR - Seorang datuk berusia 59 tahun ditahan dan dadah bernilai RM127,000 dirampas dalam serbuan polis di sebuah rumah dekat Bakri di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, ketamin seberat 509 gram dirampas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, pekerja kilang terbabit ditahan kira-kira jam 11.30 malam ketika isteri, anak dan cucunya tiada di rumah kerana keluar makan malam di sebuah restoran berhampiran.

“Hasil soal siasat suspek mengaku terbabit dengan kegiatan itu sejak enam bulan lalu yang menjadi pekerjaan sampingannya  untuk menambah pendapatan keluarga.

“Bahan larangan tersebut boleh menampung keperluan kepada 2,500 penagih di sekitar daerah ini dan daerah berhampiran,” katanya kelmarin.

Beliau berkata, dadah itu dijumpai dalam botol serta  paket plastik dan masih belum sempat dibungkus dalam paket kecil untuk edaran kepada pelanggannya.

Azman berkata, ujian air kencing ke atas suspek didapati bebas dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun suspek ditahan reman sehingga 13 April ini untuk siasatan lanjut bagi mengetahui sumber dadah diperoleh dan kemungkinan  terdapat  rakan-rakan suspek yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sinar Harian
12 Apr 2014

Tuesday, April 8, 2014

Rokok, minuman keras bernilai RM6,100 dirampas


MUAR - Sejumlah rokok dan minuman keras dengan nilaian cukai kira-kira RM6,100 dirampas dalam dua serbuan berbeza di sebuah kedai runcit dan kopitiam di di sini, 1 April lalu.

Jurucakap Kastam Diraja Malaysia Daerah Muar berkata, serbuan jam 11 pagi dan 12 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat awam yang memaklumkan  premis berkenaan menjadi  pusat jualan barangan seludup.

“Kita turut menahan dua lelaki dan dua wanita tempatan yang masing-masing berusia lingkungan 30an yang juga pemilik premis tersebut.

“Pemeriksaan mendapati kedai kopi yang mempunyai kedai runcit itu menawarkan minuman keras seludup kepada warga asing,” katanya.

Katanya lagi, semua minuman keras itu dijual dengan harga RM4 hingga RM6 setin dan harga itu jauh  lebih murah berbanding minuman keras bercukai yang ada dalam pasaran.

Tegasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 134 (1) (d) Akta Kastam dan Seksyen 32 Akta Eksais.

Sinar Harian
8 Apr 2014

Sunday, April 6, 2014

RM5 juta hangus sekelip mata

Anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja-kerja pemadaman api di Kilang perabut di Pusat Industri Bukit Pasir, kelmarin.

MUAR – Sebuah kilang perabot mengalami kerugian hampir RM5 juta selepas satu daripada empat blok premis berkenaan musnah dalam kebakaran di Pusat Perindustrian Bukit Pasir dekat Jorak di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7.09 malam itu berlaku ketika lebih 50 pekerja sedang bertugas lebih masa dalam kilang berkenaan yang menghasilkan perabot seperti katil, almari dan kerusi.

Pekerja, M Rakhteu, 32, berkata, kejadian disedari pekerja terlibat selepas dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dari bahagian belakang kilang yang menempatkan operasi mengecat perabot.

“Letupan itu disusuli dengan percikan api yang kemudiannya   membakar mesin mengecat  perabot dan  merebak ke mesin yang lain.

“Ada pekerja cuba padamkan kebakaran  tetapi api marak terlalu cepat dan menjulang tinggi ke bumbung menyebabkan semua pekerja ketakutan lalu  bertempiaran lari menyelamatkan diri ke luar kilang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, dia bersyukur kesemua pekerja terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun ada antara rakannya berada pada kedudukan  hampir dengan mesin yang meletup.

Rakhteu berkata, dalam keadaan kelam kabut dan panik,  salah seorang pekerja menghubungi majikannya untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Mohd Arif Jili berkata, seramai 49 anggota dengan empat jentera dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 7 malam.

Beliau berkata, operasi tersebut turut dibantu sebuah jentera dengan tujuh anggota dari Bukit Gambir yang mengambil masa kira-kira  empat jam untuk memadamkan keseluruhan kebakaran.

“Kecekapan anggota dengan kemudahan logistik yang mencukupi membolehkan  api  dikawal dalam tempoh 30 minit daripada merebak ke tiga blok kilang dan bahagian pejabat.

“Kita tidak menghadapi sebarang kesulitan sepanjang operasi kerana mendapat bekalan air yang mencukupi daripada pili bomba yang terdapat di kawasan sekitar kilang,”katanya yang memberitahu punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Sinar Harian
5 Apr 2014

Wednesday, April 2, 2014

Terpaksa redah kilat pulang ke rumah

Anggota Rela membaiki bumbung rumah Ismail yang tercabut dipukul ribut.

Azizah Aziz, melihat sekitar kedai mencuci kenderaan milik anaknya yang musnah dipukul ribut.

MUAR - Seorang pengusaha kedai mencuci kenderaan mengalami kerugian hampir RM20,000 selepas kedainya ranap ditimpa bumbung balai raya yang melayang akibat ribut yang melanda kampung Batu 23 Lenga dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 5.30 petang itu turut menjejaskan lima rumah penduduk di Jalan Awang, di sini, yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung terletak kira-kira 300 meter dari kedai tersebut.

Mohd Nazarudin Musa, 23, berkata, kedainya baru beroperasi seminggu setelah siap dibina sebulan lalu, namun tidak menyangka dia diuji dengan kejadian tersebut.

“Pengalaman ini menakutkan dan bersyukur tiada perkara yang tidak diingini berlaku ke atas saya kerana semasa kejadian saya ada dalam kedai ini.

“Saya memberanikan diri berlari meredah hujan lebat berserta kilat pulang ke rumah yang terletak 30 meter dari kedai sebaik sahaja mendengar bunyi hentaman kuat pada bumbung sebelum kedai runtuh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya lagi, ibunya yang sempat menyaksikan kejadian itu memberitahu, bumbung balai raya masjid terangkat dan berpusing-pusing beberapa kali sebelum menghempas kedainya.

Mohd Nazarudin berkata, mujur ketika itu tiada kenderaan pelanggan jika tidak dia terpaksa menanggung kerugian berganda.

Seorang warga emas, Ismail Wagiman, 77, adalah pemilik rumah yang paling teruk terjejas dengan keseluruhan bumbung bahagian dapurnya tercabut.

Menurutnya, hanya dia bersama isteri menetap di rumah berkenaan dan ketika kejadian mereka sedang menunaikan  solat Asar dalam bilik sebelum dikejutkan bunyi guruh kuat dari arah dapur.

“Selesai solat, saya ke dapur untuk ambil minuman dan terkejut mendapati bumbung sudah tercabut. Selalu sahaja hujan lebat dan angin kuat tetapi tidak sangka kali ini berlaku ribut.

“Separuh ruang rumah banjir dengan air hujan dan saya sempat mengalihkan peralatan elektrik bagi mengelakkan ia rosak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Mukim Lenga, Rohazid Baki berkata, seramai 20 anggota ditugaskan membantu membaiki rumah semua mangsa ribut.

Menurutnya, dengan cara ini dapat meringankan beban mereka (mangsa) terutamanya dalam kos baikpulih rumah yang perlu ditanggung ekoran kejadian tersebut.

Sinar Harian
2 Apr 2014

Sunday, March 30, 2014

Jeritan dalam api

ANGGOTA Bomba berusaha memadamkan kebakaran melibatkan dua buah rumah.

Muar: “Saya mendengar suara orang meminta tolong, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak,” kata saksi kebakaran membabitkan dua rumah berhampiran persimpangan Jalan Sakeh-Jalan Bakri, di sini, yang mengorbankan seorang warga emas, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, Gw Ah Hang, berusia 60-an, ditemui rentung di dalam bilik tidur oleh anggota bomba.

Menurut saksi Mohammad Hafiz Hassan, 20, kejadian disedarinya apabila melihat kepulan asap dari rumah berkenaan ketika mengisi petrol di stesen minyak berhampiran.

“Saya bersama seorang rakan segera ke tempat kejadian dan terkejut mendapati dua rumah terbakar. Ketika itu juga saya mendengar suara meminta tolong dari sebuah rumah yang terbakar dan yakin ada orang terperangkap.

“Bagaimanapun, api marak dengan pantas kerana rumah diperbuat daripada papan, menyebabkan saya gagal pergi lebih dekat sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Jiran Ah Hang yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 40, berkata, dua hari lalu jirannya memaklumkan, dia terjatuh di dalam rumah dan tidak boleh berjalan.

“Dia (Ah Hang) tinggal berdua dengan adiknya di rumah dan ketika kejadian, adiknya tiada di rumah. Mungkin kerana tidak boleh berjalan, dia tidak dapat menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian bersama dua jentera dan 15 orang anggota.

“Kami mengambil masa setengah jam untuk mengawal api daripada terus marak ke rumah berdekatan dan apabila api berjaya dipadam, kami menemui mayat mangsa di dalam bilik tidur rumahnya.

“Daripada maklumat diperoleh jiran, mangsa tinggal berdua dengan adiknya tetapi ketika kejadian adiknya tiada di rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, sebuah rumah lagi yang musnah dalam kebakaran itu tidak berpenghuni dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Muhammad Hanif Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

myMetro
30 Mac 2014