REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Thursday, April 16, 2015

Dua remaja hilang dikhuatiri lemas


PAGOH 15 April – Kegembiraan tiga remaja bergurau berakhir duka apabila seorang daripadanya tergelincir ke dalam sungai dan seorang lagi yang cuba membantu turut hilang di Jeti Kampung Jorak, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, pada mulanya Muhammad Afiq Asyraf Mohamad Najib dan Elis Norfairusnizam Sidek yang kedua-duanya berusia 15 tahun bersiar-siar bersama seorang lagi rakannya di kawasan itu.

Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, seorang dari­padanya dipercayai tergelincir dan rakannya cuba membantu tetapi turut tenggelam.

“Selepas melihat Muhammad Afiq Asyraf dan Elis Norfairusnizam tidak timbul-timbul, rakannya berlari mendapatkan bantuan dan orang kampung yang datang untuk memberi bantuan gagal mengesan kedua-dua sahabat itu.

“Kemudian pukul 6.50 petang, 11 anggota bomba Muar dengan satu jentera, satu bot dan sebuah kenderaan pacuan empat roda tiba memulakan kerja-kerja mencari dan menyelamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, usaha bomba sukar kerana hujan lebat dan air pasang namun gerakan mengesan kedua-duanya terus dilakukan dengan bantuan unit penyelam serta anggota bomba dari Segamat, Bukit Gambir dan Ledang.

Sementara itu, ibu kepada Elis Norfairusnizam, Zabida Dirin, 55, dari Kampung Parit Kemang berkata, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Bu­kit Pasir bersahabat baik dengan Muhammad Afiq Asyraf sejak darjah satu.

Katanya, Elis Norfairusnizam yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik keluar menghadiri ke­las tambahan dan berjalan-jalan di jeti tersebut sebelum seorang rakannya memberitahu kejadian itu pukul 6.30 petang.

Bapa Muhammad Afiq Asyraf pula, Mohamad Najib Atan, 48, dari Kampung Sungai Terap berkata, anaknya tidak sihat hari ini namun tetap hadir di Sekolah Menengah Tun Perak dan tidak mengetahui anaknya ke jeti petang ini.

Dia yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah pusat beli belah di bandar Muar mengetahui nasib yang menimpa anak sulung daripada empat beradik itu semasa sedang bekerja pada pukul 6.45 petang.

ZULHISHAM ISAHAK
Utusan
16 Apr 2015


Dua sahabat lemas terjatuh dari jeti

MUAR - Dua sahabat karib hilang dipercayai lemas selepas terjatuh dari Jeti Kampung Jorak, di sini, petang semalam.

Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Afiq Asyraf Mohamad Najib dan Elis
Norfairusnizam Sidek, kedua-duanya berusia 15 tahun, yang hilang dihanyut arus dalam kejadian pada 6.30 petang itu.

"Mereka berdua bersama seorang lagi rakan datang bersiar-siar di jeti ini sebelum dikatakan bergurau sehingga seorang daripada mereka terjatuh dari jeti.

"Seorang lagi kemudian cuba menyelamatkan rakannya itu, namun kedua-duanya hilang dihanyutkan arus Sungai Jorak. Ketika kejadian, hujan lebat dan air pasang," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Ismail berkata seorang lagi rakan mereka cuba mendapatkan bantuan penduduk kampung berhampiran, namun gagal menemui kedua-dua mangsa.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada 6.50 petang dan 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.

"Kita akan minta bantuan unit scuba dan operasi menyelamat akan diteruskan malam ini," katanya.

Sementara itu, ibu kepad Elis Norfairusnizam, Zabida Dirin, 55, dari Kampung Parit Kemang, berkata anaknya itu yang bersekolah di Sekolah Menengah Bukit Pasir, bersahabat baik dengan Muhammad Afiq Asyraf sejak dari darjah satu.

Zabida yang mendapat tahu mengenai kejadian itu pada 6.30 petang, berkata Elis Norfairusnizam yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, keluar menghadiri kelas tambahan dan dikatakan bersiar-siar di jeti tersebut.

Bapa Muhammad Afiq Asyraf, Mohamad Najib Atan, 48, dari Kampung SungaiTerap, berkata anaknya tidak sihat hari ini namun tetap hadir ke Sekolah Menengah Tun Perak dan tidak mengetahui anaknya ke jeti itu.

Turut melawat lokasi kejadian ialah Adun Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh. - Bernama

Sinar Harian 16 Apr 2015


Tenggelam bantu rakan

AHLI keluarga mangsa sebak menunggu anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

AKSI anggota penyelamat ketika mencari mangsa.

ANGGOTA bomba dan penyelamat masih bertungkus-lumus mencari dua sahabat dipercayai mati lemas selepas terjatuh di jeti Kampung Jorak, Bukit Pasir, Muar.

Muar: “Pada hari kejadian dia beritahu mahu ke jeti dengan Afiq selepas kelas tambahan dan tak sangka pula begini jadinya,” kata Zabida Dirin, 54, ibu Elis Norfairusnizam Sidek, 15, yang hilang bersama rakan sebayanya, Muhammad Afiq Asyraf Mohamad Najib, selepas tergelincir dari jeti Kampung Jorak, Bukit Pasir di sini, kelmarin.

Menurut Zabida, anak bongsu daripada tiga beradik itu bersahabat baik dengan Muhammad Afiq Asyraf sejak mereka sekolah rendah dan sering bermain bersama.

“Petang semalam (kelmarin) dia beritahu mahu ke kelas tambahan sebelum ke jeti dengan Afiq dan beberapa rakan.

“Dia sering ke jeti itu dan saya sentiasa mengingatkannya supaya hati-hati. Namun, jam 6.30 petang dia masih belum pulang dan saya terkejut apabila diberitahu dia dan Afiq terjatuh ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Mohamad Najib Atan, 48, berkata anaknya, Muhammad Afiq Asyraf ada memberitahu berasa tidak sedap badan sebelum pergi ke sekolah pada pagi kejadian.

myMetro
17 Apr 2015


Dua sahabat lemas ditemui

Muar: Dua sahabat yang hilang selepas tergelincir di jeti Kampung Sungai Jorak, Bukit Pasir di sini, Rabu lalu ditemui lemas berasingan malam kelmarin dan pagi semalam tidak jauh dari kawasan berkenaan.

Mayat Elis Norfairusnizam Sidek, 15, dari Kampung Parit Kemang, Jalan Raja ditemui pada jam 10.11 malam kelmarin kira-kira 150 meter dari jeti kampung terbabit.

Mangsa kedua, Muhammad Afiq Asyraf Mohamad Najib, 15, ditemui terapung pada jam 3.49 pagi semalam kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Marzuki Ismail berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui orang ramai ketika melalui jeti berkenaan sebelum dibawa keluar oleh anggota bomba menggunakan bot.

Menurutnya, mayat mereka kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pihaknya menamatkan operasi mencari itu pada jam 4.47 pagi selepas 28 jam menjalankan gerakan mencari mangsa yang hilang.

“Operasi membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Bukit Gambir, Kluang, Bandar Putra Segamat, Rengit dan Johor Bahru.

“Kami memulakan operasi mencari dan menyelamat sejak Rabu lalu pada jam 6.50 petang dan membabitkan 70 anggota termasuk unit menyelam,” katanya.

myMetro
18 Apr 2015

Thursday, April 2, 2015

Jurulatih Maktab PDRM maut dalam kemalangan

MUAR - Seorang jurulatih Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tingginya yang bertembung dengan sebuah kereta ketika mangsa dipercayai mengetuai konvoi bermotosikal.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika mengesahkan kejadian itu berkata, Sarjan Ishak Fudzil, 48, maut ditempat kejadian selepas motosikalnya merempuh sebuah Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat Simpang Jeram Masjid di sini kira-kira pukul 4 petang tadi.

Beliau berkata, konvoi yang dikawal mangsa membabitkan lebih 10 buah motosikal berkuasa tinggi PDRM yang dalam perjalanan dari maktab berkenaan ke Segamat bagi menjalani latihan amali.

"Di lampu isyarat itu mangsa cuba mengawal aliran trafik sebelum mangsa merempuh kereta tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an yang secara tiba-tiba membelok masuk ke sebuah kilang perabot berhampiran," katanya.

Beliau berkata, akibat rempuhan tersebut mangsa tercampak beberapa meter dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Azman meminta saksi kejadian agar tampil membantu siasatan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah yang turut diziarah lebih 30 anggota polis untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Anak mangsa Mohd Zulikram, 16, berkata, jenazah bapanya akan dibawa pulang ke Kedah malam ini untuk dikebumikan.

"Arwah bapa selalu berpesan untuk saya belajar bersungguh-sungguh bagi menghadapi peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun hadapan," katanya apabila ditanya tentang pesanan bapanya kepadanya sebelum meninggal. - Bernama

2 Apr 2015

Wednesday, March 25, 2015

Rayu bantu rawatan susulan anak

Balqis bersama ibunya, Zuleha di rumahnya di Lorong Hj Jabbar, Parit Tiram, di sini.

MUAR – Ibu kepada kanak-kanak mengidap penyakit jantung berlubang dan saluran injap jantung sempit memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung perbelanjaan rawatan susulan di Institut Jantung Negera (IJN), April ini.

Zuleha Yahya, 45, dari Parit Tiram berkata,  anaknya Nur Farah Athirah Balqis Razak ,6, masih lagi memerlukan rawatan susulan di IJN dan dijangka menjalani pembedahan ketiga sekiranya keadaan jantung masih belum pulih.

“Ia bergantung kepada keputusan pemeriksaan di pusat berkenaan April depan.  Namun untuk ke sana melakukan rawatan susulan tetap melibatkan perbelanjaan besar kerana  perlu menyewa teksi setiap kali menghantar Balqis membuat pemeriksaan di IJN.

“Buat masa ini, saya hanya bergantung dengan wang bantuan diterima Balqis dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), masing-masing sebanyak RM200,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Hj Jabbar di sini, semalam.

Zuleha berkata, tahap kesihatan semakin baik selepas menjalani pembedahan pertama walaupun penderitaan kanak-kanak malang yang juga dikategorikan orang kurang upaya (OKU) sebelum ini pernah disiarkan akhbar ini pada Jun 2012.

“Saya amat bersyukur pembedahan pertama berjaya walaupun Balqis mengalami komplikasi jangkitan kuman pada jantung sehingga  memaksa pembedahan kedua dilakukan segera iaitu  kira-kira beberapa jam selepas selesai pembedahan pertama.

“Balqis koma selama empat hari selepas pembedahan dan memanggil saya emak sebaik saja sedar pada hari kelima. Saya sangat lega apabila Balqis panggil saya kerana dalam tempoh sebelum dibedah,  keadaanya sangat kritikal dengan keseluruhan tubuh badannya sudah menjadi kebiruan,” katanya.

Menurutnya, perkembangan kesihatan positif Balqis kini turut mengembirakan dirinya dan suami, Razak Manap, 56, kerana anaknya semakin aktif dan boleh bermain seperti kanak-kanak seusia dengannya.

“Cuma kadang kala jika Balqis terlalu penat kerana aktif terdapat lingkaran hitam di bawah matanya tetapi keadaan itu tidak seteruk seperti sebelum pembedahan.

“Percakapannya juga semakin baik walaupun pelat dan agak sensitif jika sesuatu  kemahuannya dihalang,” katanya.

Zuleha berkata, dia turut menghantar Balqis ke pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sungai Abong bagi memastikan anaknya itu dapat mengikuti latihan seperti kanak-kanak istimewa yang lain mulai tahun ini.

“Saya yakin dia akan semakin sihat jika diberi rawatan susulan. Namun saya tidak mempunyai wang yang cukup bagi menampung kos perbelanjaan dan memerlukan sumbangan orang ramai bagi meringan beban untuk rawatan Balqis, April ini.

“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik saya, 04106-29- 00047268-5 atau hubungi ditalian 012-7786432,” katanya.

Sinar Harian
25 Mac 2015

Tuesday, March 24, 2015

Jatuh sungai, mayat warga emas dijumpai nelayan

Mayat Chiew Lua dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat.

MUAR – Seorang warga emas ditemui mati lemas dipercayai terjatuh dari Jambatan Kedua  Muar sebelum mayatnya dijumpai di tebing sungai oleh seorang nelayan yang sedang menangkap ikan di sungai berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, Chiew Lua, 65, yang dipercayai mempunyai masalah kemurungan telah meminta izin daripada menantunya untuk keluar rumah bersiar-siar.

Menantu yang enggan dikenali itu berkata, dia tidak menghalang permintaan itu kerana kebiasaannya  ibu mertuanya hanya  pergi  bersiar-siar di sekitar kawasan berhampiran rumah dalam tempoh yang singkat.

“Namun saya berasa pelik apabila ibu masih  tidak pulang ke rumah selepas 20 minit keluar dan segera   memandu  kereta untuk mencari ibu.

“Orang ramai beritahu di jambatan kedua ada orang terjatuh dalam sungai dan saya tanpa syak perkara buruk turut ke sana (jambatan kedua) sekadar untuk melihat kejadian tersebut,” katanya.

Namun katanya, dia berasa tidak sedap hati apabila diberitahu mangsa yang terjatuh sungai adalah seorang warga emas wanita dan terkejut mendapati sepasang kasut yang ditinggalkan di atas jambatan ialah milik ibu mertuanya.

“Saya tidak menyangka ibu mertua boleh berjalan kaki pada jarak yang jauh dari ruman di Jalan Bakariah sehingga ke tempat kejadian.

“Saya sangat sedih kerana kematian ibu berlaku dalam  keadaan  yang mengejutkan, iaitu kurang satu jam selepas mendiang keluar rumah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, seramai tiga anggota bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.15 petang.

Menurutnya, semasa tiba di tempat kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat.

Dalam kejadian berasingan, tindakan pantas anggota lapan anggota bomba daerah ini berjaya menyelamatkan seorang pemuda daripada lemas dalam Sungai Muar, di belakang Masjid Jamek Sultan Abu Bakar.

Pegawai Operasi, Norafatah Umar berkata, lima anggota yang tiba lebih awal di tempat kejadian dengan menaiki sebuah jentera bertindak  menarik mangsa yang sedang berjalan di tebing menuju ke bahagian tengah sungai.

Sinar Harian
24 Mac 2015

Sunday, March 22, 2015

Anggota bomba maut motosikal rempuh kereta

MANGSA maut selepas motosikal kuasa tinggi merempuh kereta di Muar. FOTO Sharafiq Abd Samad

Muar: Seorang anggota balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Kuala Lumpur, maut apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh kereta di simpang empat Jalan Majidi dan Jalan Hassan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Muhammad Hazim Basir, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan ke Tanjung Emas dari bandar Muar.

Menurutnya, bagaimanapun apabila tiba di tempat kejadian tiba-tiba kereta dari arah bertentanganmembelok ke kanan untuk memasuki Jalan Hassan.

"Mangsa yang tidak sempat mengelak atau memberhentikan motosikalnya merempuh kereta itu lalu tercampak beberapa meter.

"Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

myMetro
22 Mac 2015


Wednesday, March 18, 2015

Kekejaman komunis di Parit Jawa

Khamis menunjukkan salasilah Jabar.

Bangunan di Pekan Parit Jawa yang dibina sekitar tahun 1900.

Khamis Junid

PARIT Jawa, Muar  yang cukup sinonim dengan keenakan asam pedas menyimpan  satu sejarah yang tidak diketahui ramai.

Parit Jawa sebenarnya tempat yang menyaksikan banyak kematian orang Melayu akibat kekejaman Komunis di negeri ini selain yang berlaku di Parit Sulong, Semerah, Senggarang dan Rengit.

Peristiwa itu berlaku ketika era  penjajahan komunis di Tanah Melayu sekitar tahun 1941 hingga 1945.

Kebangkitan orang Melayu yang diketuai Kiyai Salleh dengan melakukan serang balas akhirnya berjaya menewaskan komunis dan mengusir mereka dari Parit Jawa.

Dibuka oleh Jabar Matinadja

Sejarah Parit Jawa diceritakan oleh bekas  Pengerusi Kaji Sejarah Daerah Muar, Khamis Junid juga merupakan satu-satunya generasi lama yang   mengetahui  banyak sejarah  tentang satu-satu tempat di daerah ini.

Khamis berkata, nama  asal  Parit Jawa ialah Kampung Baharu dibuka pada tahun 1855 oleh seorang perantau bernama Jabar Matinadjati dari Kampung Malini Jati, Tanah Jawa Indonesia.

Menurutnya, Jabar berhijrah ke Tanah Melayu bersama satu rombongan terdiri daripada 39 orang dengan menaiki kapal termasuk lima rakan karibnya iaitu Amir Seri Wongso, Syed Demak, Ngarib, Shamsuri Singokarto dan Samad.

“Semasa tiba di kuala Sungai Muar, Jabar menyusuri sepanjang kuala sungai dan melihat di Parit Sakai (yang dulunya nama padang) sudah ada penduduk.

“Dia terus menyusur ke selatan kuala Sungai Muar dan jumpa satu tempat  (Parit Jawa) walaupun kawasan tersebut ketika itu  hanyalah hutan belantara,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Jabar dan rombongan tinggal sementara di kawasan berkenaan sebelum memutuskan untuk membuka kawasan  itu dan menamakan Kampung Baharu.

Parit Jawa sempena asal usul Jabar

“Mereka meneroka hutan buka kampung selain melakukan aktiviti bercucuk tanam dan menangkap ikan sebagai sumber ekonomi.

“Selepas itu, penduduk dari Tanah Jawa datang ke Kampung Baharu  dan perkampungan itu menjadi semakin besar,” katanya.

Tambahnya, nama Kampung Baharu ditukar kepada Parit Jawa secara rasminya pada tahun 1870 apabila Sultan Abu Bakar melantik Jabar sebagai penghulu.

Nama tersebut diambil sempena asal usul Jabar yang datang dari  Tanah Jawa, Indonesia.

“Terdapat sebuah kampung yang dibuka lebih awal berdekatan Parit Jawa iaitu Bukit Muar atau Bukit Mor  yang nama asalnya Kampung Batak.

“Ada kemungkinan, nama Kampung Batak diberikan kerana pengasas kampung tersebut berasal dari Batak, Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, seiring dengan pertambahan penduduk, kawasan  Parit Jawa mula  berkembang dengan wujudnya pekan.

 Parit Jawa kemudiannya diperintah oleh Wan Andak yang dilantik menjadi Residen Parit Jawa.

“Pada tahun 1873, jawatan Residen Parit Jawa ditukar kepada Penolong Residen  kerana jawatan itu dipindahkan ke Muar.

“Jawatan Penolong Residen sekali lagi ditukar kepada Pegawai Daerah Parit Jawa pada tahun 1901,” katanya.

Pentadbiran di bawah daerah Muar

Pesara guru itu berkata, pada tahun 1944, jawatan Pegawai Daerah Parit Jawa dimansuhkan kerana kawasan itu dimasukkan ke dalam pentadbiran daerah Muar.

Katanya, Parit Jawa agak terkenal di daerah ini kerana mempunyai   stesen besar keretapi yang dihubungkan dari Bandar Maharani.

“Perkidmatan ini menjadi pengangkutan utama penduduk dan turut digunakan untuk membawa hasil kampung serta buah-buahan.

“Namun, pada tahun 1929, perkhidmatan ini dihentikan apabila jalan raya dibina dan pengangkutan lori diperkenalkan,” katanya.

Orang Selangor datang ke Parit Jawa

Bercerita lanjut, beliau berkata, kawasan Parit Jawa memang menjadi tumpuan utama perantau  termasuk mereka dari Selangor yang turut berhijrah dan  menetap di situ.

Katanya, mengikut sejarah orang-orang terdahulu Sultan Selangor tetapi tidak dapat dipastikan sultan ke berapa, dikatakan baginda pernah  datang melawat Parit Jawa, oleh  kerana itu, ramai penduduk negeri itu berhijrah.

“Menurut mereka (sejarah orang terdahulu), antara sebab orang Selangor datang ke Parit Jawa kerana pergolakan yang berlaku  antara Raja Mahadi dengan Tengku Kudin,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan,  keturunan Jabar di Parit Jawa membuka banyak kebun di Senggarang dan Rengit, Batu Pahat.

Khamis berkata, tidak ada kesan tinggalan yang boleh dikaitkan dengan sejarah di Parit Jawa, hanya deretan bangunan lama di pekan tersebut yang dibina sekitar tahun 1900.

Sinar Harian
18 Mac 2015

Monday, March 16, 2015

26 pasangan sertai majlis perkahwinan perdana


MUAR - Seramai 26 pasangan hari ini melangsungkan perkahwinan beramai-ramai pada Majlis Walimatulurus Perdana di Masjid Sultan Abu Bakar.
 
Para peserta turut membabitkan pasangan dari negeri lain seperti Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan.
 
Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed berkata, majlis sebegini dapat meringankan beban serta memudahkan pasangan melangsungkan perkahwinan.
 
"Setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM1,900," katanya kepada pemberita.
   
Promosi programnya disebarkan menerusi risalah, banting, kursus dan Facebook.

Seorang pesertanya Radiah Jasa, 21, dari Ledang berkata pakej perkahwinan anjuran Pejabat Kadi Daerah Muar itu menjimatkan dan membantunya mendirikan rumah tangga lebih awal daripada perancangan.
 
Bagi pengantin termuda Norazlina Faezzlin Radzali, 17, dia teruja menjadi peserta program tersebut yang majlis itu akan menjadi kenangan seumur hidup buatnya dan suami.
 
Ditanya mengapa berkahwin di usia muda, dia berkata "ia mungkin sudah jodohnya," di samping bagi memenuhi saranan bapanya.
 
Sementra itu, Ummu Syahirah Amferin, 23, dari Parit Raja dan pasangannya turut bersyukur kerana dapat menyertai majlis itu.
 
"Sepatutnya kami berkahwin tahun depan. Kami akan mengadakan lagi majlis tetapi secara kecil-kecilan di kampung kemudian," katanya. - Bernama

16 Mac 2015