REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Saturday, June 6, 2015

Peniaga kerugian hampir RM1 juta

Pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan api bagi mengelakkan kebakaran merebak ke bangunan berhampiran

MUAR – Seorang peniaga perabot, barangan elektrik dan sarang burung walet mengalami kerugian hampir RM1 juta apabila premisnya di Jalan Jorak, Pekan Bukit Pasir, di sini, musnah terbakar.

Kebakaran membabitkan dua blok bangunan tiga tingkat itu hanya disedari penduduk berhampiran selepas terlihat kepulan asap hitam keluar daripada tingkat bawah premis berkenaan sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan kecemasan dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi.

Pemilik premis terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 60-an, berkata, dia mengetahui insiden itu selepas menerima panggilan telefon daripada adik yang tinggal di kawasan berhampiran.

"Saya yang tinggal di bandar bergegas kedai dan terkejut melihat api menjulang tinggi membakar keseluruhan bangunan perniagaan yang berusia lebih 10 tahun.

“Saya sangat terkejut serta tergamam kerana seperti sukar hendak percaya kebakaran berlaku di kedai ini. Tingkat bawah bangunan menempatkan barangan jualan perabot dan elektrik, tingkat kedua ialah bilik pameran perabot manakala tingkat ketiga pula ternakan sarang burung walet,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Marzuki Ismail berkata, seramai 22 anggota terlibat dalam operasi berkenaan termasuk pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.52 pagi.

"Bomba terpaksa mengambil tindakan memecahkan pintu utama premis berkenaan bagi tujuan memadamkan api yang sedang marak di bahagian dalam tingkat bawah bangunan.

“Kita ambil masa selama 10 minit pada peringkat awal operasi untuk mengawal api daripada merebak ke deretan 10 kedai lain yang  berhampiran," katanya.

Beliau berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Yunus Daim dapat dilakukan dengan mudah kerana mendapat bekalan air mencukupi daripada pili bomba yang terdapat di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, dua kedai terletak di sebelah kiri dan kanan bangunan itu sedikit terjejas tetapi tindakan pantas pasukan berjaya menyelamatkan daripada musnah," katanya.

Marzuki berkata, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihaknya.

Sinar Harian
6 Jun 2015

Monday, June 1, 2015

Port belakang tokong diserbu

Azman menunjukkan peralatan perjudian yang dirampas termasuk wang tunai dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini semalam.

MUAR - Tindakan berani lapan kaki judi tegar menjadikan belakang sebuah tokong Cina di Bukit Pasir, di sini sebagai ‘port’ baharu bermain judi mengundang padah apabila ditahan Jumaat lalu yang membabitkan rampasan melebihi RM220,000.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kesemua mereka itu mempunyai 20 rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953  dan jenayah pada tahun  1983 hingga 1989.

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu turut menahan sembilan kaki judi yang lain.

“Ketika serbuan, kesemua mereka sedang mengelilingi sebuah meja empat segi yang dipercayai sedang  leka bermain judi jenis dadu.

“17 suspek  yang ditahan itu  terdiri daripada 12 lelaki berusia antara 49 hingga 63 tahun, empat perempuan (61 hingga 73 tahun) dan seorang wanita warganegara Vietnam berusia 27 tahun,” katanya dalam sidang media di IPD Muar, di sini semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi serbuan menemukan wang tunai berjumlah RM151,892, cip judi bernilai RM70,185 dan peralatan judi yang lain.

Katanya, tindakan ke atas suspek dilakukan hasil daripada maklumat orang awam  dan intipan yang dilakukan selama dua hari di belakang tokong tersebut.

“Hasil siasatan mendapati suspek sering bertukar lokasi perjudian bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 2 Jun ini  untuk membantu siasatan dan mereka juga negatif dadah berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya,” katanya.

Azman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ataupun judi yang berlaku dalam kawasan berhampiran kediaman mereka.

Kata Azman lagi, ia sebagai usaha untuk mewujudkan suasana kediaman yang selamat dan kondusif kepada orang ramai.

Sinar Harian
1 Jun 2015


Polis rampas dadah, senapang angin

MUAR - Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita dan merampas dadah jenis heroin dan syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit Pasir di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, polis juga turut menemui selaras senapang angin buatan sendiri di rumah itu dalam serbuan 5.15 petang 21 Mei lalu.

"Polis menemui dadah dipercayai syabu seberat 2.7 gram dan dadah disyaki heroin seberat 16 gram dalam serbuan itu dan selaras senapang angin buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

"Ketika serbuan polis menahan tiga lelaki berumur 25, 30 dan 37 tahun. Serta seorang wanita berumur 21 tahun dalam keadaan khayal dan kesemua dadah yang dirampas itu bernilai lebih RM5,000," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, ujian air kencing mendapati keempat-empat suspek positif methamphetamine dan mereka dipercayai mengambil dadah sebelum serbuan itu.

Sementara itu, seorang peneroka maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer 139.4 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan) berdekatan Pagoh, di sini malam tadi.

Azman berkata dalam kejadian 9.30 malam itu, Bachok Latamah, 68, yang berasal dari Felda Tunggal, Kota Tinggi maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.

Katanya kemalangan itu melibatkan dua kereta lain dan mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan ke rumah mereka di Kota Tinggi dari Kuala Lumpur. Rakan mangsa tidak mengalami kecederaan.

"Proton Persona dipandu Bachok hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan kanan lebuh raya serta berpusing beberapa kali sebelum terhenti di tengah lebuh raya berkenaan sebelum dua kenderaan lain dari arah belakang iaitu kereta BMW dan Honda Civic tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa," katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya. - Bernama

28 Mei 2015

Polis berjaya tahan 472 warga asing

MUAR - Polis berjaya menahan seramai 472  warga asing di daerah ini dari pelbagai negara menerusi 36 operasi yang dilakukan pada 1 Januari hingga 27 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, daripada jumlah tersebut ia  melibatkan 255  lelaki dan 217 wanita dalam operasi bersepadu yang dilakukan di sekitar daerah ini dengan 1475 pemeriksaan.

“Kesemua warga asing terbabit  daripada negara China, Indonesia, Myanmar, Thailand, Vietnam, India dan Nepal.

“Warga asing paling ramai ditahan dari Indonesia iaitu 137 orang diikuti Thailand (123 orang), Vietnam (79 orang), Myanmar (52 orang), China (19 orang), Nepal (lapan orang) dan India (empat orang),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini semalam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dipercayai melakukan beberapa kesalahan seperti ketiadaan pas dan permit yang sah, tinggal melebihi tempoh masa pas dan kesalahan menyalahgunakan  pas lawatan sosial.

Katanya, mereka disiasat di bawah Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Inigresen 1959/63.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihaknya turut menahan 67 warga asing wanita dalam Ops Noda bagi tempoh yang sama kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral iaitu  pelacuran.

Katanya, ia terdiri daripada 42 warganegara Vietnam; Thailand (13 orang), China (lapan orang) dan Indonesia (empat)

Tambahnya, kesemua mereka dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Sinar Harian
1 Jun 2015

Saturday, May 30, 2015

Tergamak bawa lori bapa mencuri

Azman menunjukkan lori berserta barangan yang dirampas dalam kejadian pecah rumah di Jalan Ismail.

MUAR - Seorang anak tergamak menggunakan lori milik bapanya untuk mengangkut hasil kegiatan pecah rumah di Jalan Ismail, di sini, yang dilakukan bersama seorang rakan.

Namun ia tidak berpanjangan apabila mereka tertangkap melakukan kegiatan itu oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dua suspek tersebut diberkas kira-kira jam 2 pagi 20 Mei lalu di rumah suspek di bandar ini, yang dikesan menerusi alamat pada lori ditinggalkan di hadapan rumah mangsa.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang peniaga pasar awam berusia 42 tahun yang menyatakan rumahnya dipecah masuk setelah mendapati banyak barang dalam rumahnya hilang sejak dua minggu lalu.

“Rumah itu merupakan kediaman persinggahan keluarga mangsa dan jarang digunakan. Pada hari kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke kedai makan di Jalan Bakariah terserempak dengan suspek di hadapan rumahnya bersama sebuah lori.

“Mangsa cuba mengejar suspek tetapi gagal kerana suspek melarikan diri namun meninggalkan lori satu tan yang sarat dengan muatan barang di hadapan rumah mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam lori tersebut menemukan dua peti sejuk, satu penghawa dingin, satu singki, sebuah mesin jahit, dua mesin pencetak, sebuah pemanas air dan sebuah rak besi, dipercayai milik mangsa.

Tambahnya, jumlah kerugian ditanggung mangsa dianggarkan RM13,000.

“Lori yang digunakan dalam kejadian berkenaan merupakan milik bapa kepada seorang suspek, malah kita berjaya menjejaki suspek berdasarkan alamat pada lori tersebut.

“Suspek berusia 19 dan 20 tahun ini didapati positif dadah jenis syabu berdasarkan ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka,” katanya.

Azman berkata, hasil siasatan lanjut ke atas suspek juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 14 tahun dan denda.

Sinar Harian
30 Mei 2015

Friday, May 29, 2015

Diperdaya bomoh buang bala

Azman (dua, kanan) menunjukkan lakaran wajah suspek yang terlibat kes penipuan warga emas membabitkan kerugian RM60,000.

MUAR - Seorang warga emas mengalami kerugian berjumlah RM60,000 akibat diperdayakan seorang bomoh dan dua wanita warganegara China yang kononnya boleh membuang bala dalam satu kejadian, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisoner Azman Ayob berkata, kerugian itu membabitkan wang tunai berjumlah RM35,000 dan barang kemas bernilai RM25,000, yang diserahkan kepada bomoh terbabit bagi tujuan membuang bala.

Menurutnya, tetapi malangnya barangan tersebut yang dibungkus dalam surat khabar seperti yang diarahkan bomoh untuk upacara tersebut telah bertukar menjadi satu botol minuman air mineral dan dua biji batu.

“Mangsa menyedarinya ketika membuka bungkusan itu yang hanya dibenarkan dibuka selepas upacara tersebut.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis setelah menyedari dirinya telah ditipu dan bekerjasama dengan polis membuat pengecaman wajah suspek menerusi rakaman CCTV dan lakaran fotofit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, wanita berusia 60 tahun menunggang motosikal bersendirian di Jalan Ali.

Azman berkata, mangsa didatangi seorang wanita tidak dikenali yang menawarkan sejenis ubat jenis herba kerana mendakwa mangsa kurang sihat dan ada hantu perempuan mengekorinya (mangsa).

“Kemudian, datang seorang lagi wanita juga tidak dikenali memberitahu akan memperkenalkan mangsa  kepada seorang bomoh  untuk bantu buang bala,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek memimpin tangan mangsa ke warung di seberang jalan untuk berjumpa dengan seorang lelaki iaitu  bomoh dan mengatakan salah seorang daripada lima anak mangsa telah diganggu  hantu dan terdapat hantu perempuan pada badan mangsa.

Katanya, bagi tujuan perubatan tersebut mangsa disuruh pulang ke rumah untuk mengambil wang tunai dan barang kemas sebelum lesap di tangan suspek.

Tambahnya, orang ramai yang ada maklumat berkaitan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat IPD Muar, Inspektor Haffisz Pirzada, di talian 019-7717494.

Sinar Harian
29 Mei 2015

Wednesday, May 27, 2015

Treler tiba-tiba terbakar di Muar

MUAR - Sebuah treler yang membawa muatan bahan membuat barangan plastik terbakar di Kilometer 140.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke selatan berhampiran jalan susur keluar Pagoh.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmud berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi tadi.

Beliau berkata, treler itu dalam perjalanan dari arah Melaka menuju Johor Bahru secara tiba-tiba dikatakan mengeluarkan asap sebelum belaku kebakaran.

Pemandu treler dan pembantunya sempat menyelamatkan diri, katanya. - Bernama

27 Mei 2015

Saturday, April 25, 2015

Lelaki minta air sebelum meninggal

MUAR - Seorang lelaki rebah dan meninggal dunia sebelum dia sempat meminum air yang dimintanya.
 
Ong Thiam Huat, 54, meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Jalan Kim Kee di sini kira-kira 1 tengahari tadi.
 
Tuan rumah itu, Eng Ki Nyu, 72, berkata seorang lelaki pada mulanya datang ke rumahnya untuk meminta segelas air minuman.
     
"Lelaki yang saya tidak kenal itu meminta air kerana menurutnya dia haus dan berasa pening kepala. Namun apabila saya masuk ke dalam rumah untuk mengambil air, saya terdengar bunyi seperti benda jatuh dari hadapan rumah saya.
 
'Apabila saya keluar, saya lihat lelaki terbabit sudah terbaring di atas tanah. Menantu saya lalu menghubungi pihak ambulans yang kemudiannya mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia," katanya.
   
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan kejadian itu dan siasatan mendapati mangsa mempunyai rekod perubatan berkaitan darah tinggi. - Bernama

Sinar Harian
25 April 2015