REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Monday, June 27, 2011

Hajat terakhir Hafiz tertunai

MUAR – “Hari ni adik nak ikut mak pergi rewang kenduri,” merupakan permintaan terakhir seorang kanak-kanak kepada ibunya sebelum dia ditemui mati lemas dalam sungai di Parit Kassim Darat, Parit Jawa, petang kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku jam 4.30 petang itu, Mohd Hafiz Manan, 11, mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai semasa duduk di atas jambatan kecil di sungai tersebut.

Mohd Hafiz bersama ibunya dikatakan keluar rumah pada jam tiga petang untuk menghadiri majlis rewang kenduri di rumah jiran kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Ibu mangsa, Sawiyah Masri, 51, berkata, petang itu Mohd Hafiz kelihatan sangat riang dan bersungguh-sungguh mahu mengikutnya pergi rewang kenduri di rumah jiran.

Menurutnya, pada mulanya dia nampak Mohd Hafiz bermain dengan rakan-rakannya di halaman rumah jirannya itu.

“Kemudian Mohd Hafiz hilang daripada pandangan dan saya tidak menyangka dia pergi bermain di jambatan sungai bersama sepupunya, Amirudin Tajib, 10.

“Kira-kira 10 minit kemudian saya diberitahu jiran bahawa Mohd Hafiz terjatuh dalam sungai bersama sepupunya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sawiyah berkata, dia juga tidak diberitahu keadaan sebenar Mohd Hafiz sehinggalah pergi sendiri ke sungai tersebut.

Sementara itu, sepupu mangsa, Amirudin yang terjun ke dalam sungai kerana cuba menyelamatkan Mohd Hafiz berjaya diselamatkan oleh pihak bomba.

Amirudin berkata, dia tidak menyangka petang itu merupakan pertemuan terakhir dengan sepupunya yang juga merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

“Tiada perubahan yang ditunjukkan sebelum dia meninggal dunia, cuma sejak seminggu lalu, Mohd Hafiz tidak lagi membenarkan saya menyemak kerja sekolahnya berbanding sebelum itu,” katanya.

Katanya, sebagai anak bongsu, Mohd Hafiz berperwatakan manja dan menjadi penghibur buat mereka sekeluarga.

Sementara itu, saksi kejadian tersebut, Tey Chong Sian, 74, berkata, semasa kejadian dia sedang berehat di hadapan rumahnya selepas pulang dari kebun.

Menurutnya, tiba-tiba dia terdengar bunyi suara orang menjerit-jerit meminta pertolongan daripada arah sungai berhampiran rumahnya.

“Saya segera berlari ke arah suara itu dan terkejut apabila melihat seorang kanak-kanak sedang terkapai-kapai minta pertolongan.

“Saya segera terjun ke dalam sungai sambil berpaut pada batang paip untuk menariknya ke tepi” katanya.

Bagaimanapun, Chong Sian terkejut apabila diberitahu kanak-kanak itu bahawa sepupunya sudah tenggelam dalam sungai tersebut.

“Saya cuba untuk mencari mangsa tetapi gagal kerana keadaan air yang mengalir terlalu deras,” katanya.

Sinar Harian
27 Jun 2011

Sunday, June 26, 2011

Kosongkan tangki septik

MUAR — Hanya lima peratus atau 69,000 daripada 1.22 juta tangki septik individu di seluruh negara pernah dikosongkan tahun lalu, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi dan Air, Noriah Kasnon.

Beliau berkata, ini membimbangkan kerajaan kerana kegagalan mengosongkan tangki septik menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai yang telah meningkat daripada 48 sungai pada 2008 kepada 54 sungai pada 2009.

"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyeru semua pengguna tangki septik individu supaya lebih prihatin terhadap pencemaran air kumbahan daripada tangki septik yang boleh menyebabkan menularnya penyakit pembawa air seperti Hepatitis A, taun, demam kepialu dan disentri yang boleh mengancam kesihatan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pengosongan Tangki Septik Individu peringkat kebangsaan di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2 di sini hari ini. - Bernama

26 Jun 2011

Friday, June 24, 2011

Seleweng subsidi diesel

MUAR - Pengusaha kiosk petrol dan isterinya ditahan kerana menjalankan kegiatan mengalirkan subsidi diesel melalui kiosk mereka ke dalam satu trak tangki untuk dijual bagi perindustrian di Melaka dan Negeri Sembilan.

Pasangan tersebut yang berusia 30-an itu ditahan oleh sepasukan kakitangan dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Muar dalam serbuan kira-kira jam 10 malam, Selasa lalu.

Ketua cawangan, Mohd Basha Abidin Ali berkata, pasukan tersebut turut merampas kira-kira 15,000 liter subsidi diesel dengan anggaran bernilai RM27,000 dan sebuah trak tangki.

Menurutnya, hasil siasatan menunjukkan kiosk tersebut mempunyai satu sistem perparitan rahsia bawah tanah yang menghubungkan ke belakang kiosk.

“Terdapat pintu besar sebagai laluan untuk lori-lori tangki masuk bagi menyalurkan subsidi diesel ini.

“Kegiatan ini adalah pertama kali berlaku di Muar dan kepantasan pasukan PPDNKK berjaya membanteras segera kegiatan mereka ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pasangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dua tahun penjara jika didapati bersalah.

“Intipan daripada pihak PPDNKK telah dilakukan sejak dua bulan lalu berdasarkan maklumat daripada orang awam yang mendapati kiosk tersebut menjalankan kegiatan yang mencurigakan terutamanya di bahagian belakang kiosk,” katanya.

Katanya lagi, pemeriksaan di kawasan tersebut juga telah menjumpai satu saluran paip di bawah tanah berhampiran pagar yang menghubungkan ke bekas trak.

“Trak ini boleh mengisi kira-kira 19,000 liter bahan api dan percaya pemandu dan pembantunya hanya berjaya mengalirkan kira-kira 15,000 liter dalam trak sebelum melarikan diri,” katanya.

Sinar Harian
24 Jun 2011

Saturday, June 18, 2011

Embun tinggal sebatang kara

MUAR – Kehidupan seorang warga emas ini mulai berubah apabila suami yang dahulunya menjadi tempat bergantung meninggal dunia sejak 11 tahun lalu kerana menderita sakit tua.

Semenjak itu, Embun Mamat, 68, terpaksa hidup sebatang kara di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Sabak Awor Jalan Ismail, di sini.

Kematian suami tersayang dan tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan warga emas tersebut hidup bersendirian dalam menghabiskan sisa usia emasnya di rumah yang usang itu.

Bagaimanapun, kesunyian hidup Embun sedikit berubah apabila jiran berhampiran sentiasa mengambil berat dirinya juga sering menghulurkan bantuan kepadanya.

Bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya hampir 10 tahun lalu benar-benar melegakan dirinya.

“Jika tiada bantuan ini, tidak dapat digambarkan bagaimana makcik hendak menanggung perbelanjaan diri.

“Makcik tidak suka menagih simpati daripada jiran tetapi tidak pernah menolak bantuan yang dihulurkan oleh mereka,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke kediaman warga emas tersebut mendapati keadaan rumah kurang terurus kerana ketiadaan bilik.

Sebaliknya Embun turut terpaksa berkongsi bilik tidur dengan tempat menyimpan barang-barang.

Embun berkata, meskipun keadaan rumah yang kurang selesa tetapi dia tetap bersyukur kerana masih memiliki kediaman sendiri.

“Rumah ini tidak mempunyai bilik air dan jika mandi makcik menggunakan tandas yang terletak di belakang rumah.

“Makcik teringin untuk mempunyai bilik air kerana keadaan tandas sedia ada terlalu kecil dan sukar apabila hendak mencuci pakaian,” katanya.

Katanya lagi, apabila hujan dia agak sukar untuk ke tandas kerana keadaan tanah di sekeliling rumah menjadi becak dan licin.

Dalam pertemuan tersebut, Sinar Harian :berkesempatan menyaksikan sendiri Embun membuat penyapu lidi sebagai aktiviti masa lapangnya.

“Makcik sekadar suka-suka saja buat penyapu ini untuk menghilangkan rasa bosan tetapi akan jual penyapu ini jika ada jiran yang hendak membelinya.

“Jumlah penyapu lidi yang makcik jual tidak menentu bergantung kepada permintaan daripada jiran. Sedikit sebanyak dapat jugalah tambahkan pendapatan,” katanya.

Selain itu, dalam usia hampir 70 tahun itu, Embun masih mampu mencari daun kelapa untuk membuat penyapu dan berjalan kaki ke kedai runcit sejauh 100 meter untuk membeli barangan keperluan.

Difahamkan pada Mei lalu, ketua kampung berkenaan telah bertemu dengannya untuk membantu mendapatkan bantuan yang bersesuaian untuk Embun.

Sinar Harian
18 Jun 2011

Thursday, June 16, 2011

Budak kembar tiga maut dipercayai didera bapa

MUAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Batu Pahat pada 6 Jun lalu meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa kandungnya.

Tay Chin Zhi yang dimasukkan ke hospital itu disahkan mati pada hujung minggu lalu dipercayai akibat kecederaan dalaman, kesan lebam turut ditemui pada sebahagian badannya.

Menurut seorang kenalan keluarga mangsa yang enggan dikenali, Tay ialah pasangan kembar tiga dan anak bongsu daripada lima beradik.

“Dua minggu sebelum kejadian, saya terlihat kesan lebam pada bahagian muka kanan Tay.

“Saya memaklumkan perkara itu kepada ibunya malah menasihatkannya untuk membawa Tay mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Bulat, Sungai Balang di sini, semalam.

Katanya, ibu Tay yang berkerja sebagai pengurus di sebuah syarikat ukur tanah di bandar berkenaan seakan bersikap acuh tidak acuh selain mendakwa kecederaan dialami anaknya itu tidak serius.

Menurutnya, bapa mangsa berusia 36 tahun dan bekerja di pusat jualan benih kelapa sawit kemudian membawa Tay mendapatkan rawatan di hospital swasta itu.

“Beberapa hari kemudian, saya mendapat maklumat Tay disahkan mati ketika dirawat,” katanya.

Kelahiran Tay dan dua beradiknya mendapat laporan luas media kerana tarikh dilahirkan jatuh pada hari mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Lee Choon Guan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan sudah menerima laporan berkaitannya.

“Susulan itu, kami menahan reman bapa mangsa untuk membantu siasatan sejak Isnin lalu, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mendera,” katanya.

“Sabit kesalahan, suspek boleh di penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Usaha Harian Metro mendapatkan keterangan daripada ibu atau keluarga mangsa menemui jalan buntu apabila mereka enggan mengulas dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

myMetro
16 Jun 2011


Jin Ghi mati akibat pendarahan kepala

MUAR 16 Jun - Polis menolak kemungkinan kematian salah seorang daripada tiga beradik kembar berusia tiga tahun di Hospital Batu Pahat, pada Isnin lalu, adalah akibat didera.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, sebaliknya laporan mendapati kematian, Khoo Jin Ghi berpunca daripada pendarahan dalaman di kepala kerana terjatuh.

Katanya, namun siasatan masih diteruskan dan pihaknya kini menunggu laporan penuh bedah siasat kes tersebut yang dijangka dikeluarkan minggu depan.

"Mangsa dilaporkan pernah terjatuh di dapur rumah keluarganya, 4 Jun lalu, menyebabkannya pengsan. Namun ibu bapanya tidak mengesyaki sesuatu yang serius dan tidak membawanya ke hospital.

"Pada 12 Jun lalu, kanak-kanak itu sekali lagi pengsan dan kali ini, ibu bapanya membawa ke sebuah hospital swasta sebelum dirujuk ke Hospital Batu Pahat," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, Jin Ghi meninggal dunia pukul 1 petang Isnin lalu dan laporan awal mendapati ia berpunca daripada pendarahan dalam kepala.

Tambahnya, siasatan turut mendapati mangsa merupakan kanak-kanak yang aktif dan pernah terjatuh longkang berhampiran rumahnya.

"Bapa mangsa berusia 39 tahun ditahan reman selama enam hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan," katanya.

Utusan
17 Jun 2011

Keluarga rayu pulang segera

MUAR – Seorang remaja berusia 16 tahun yang lari dari rumah sejak 11 hari lalu dirayu segera pulang ke pangkuan keluarga.

Kehilangan remaja tersebut secara tiba-tiba telah menimbulkan kebimbangan kepada seluruh keluarganya terutama ibunya.

Tow Wei Yuan, 16, dikatakan meninggalkan keluarga dan telah mengikuti seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya.

Ibu remaja terbabit, Ng Kim Geok, 47, berkata, dia mula menyedari kehilangan anaknya selepas jam 9 malam pada 4 Jun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana berada di kedai jahitan pakaiannya dan Wei Yuan berada di rumah bersama kakaknya.

“Pada mulanya saya menyangka Wei Yuan sedang berehat dalam biliknya. Kemudian saya rasa terpanggil untuk melihatnya dalam bilik, tetapi tiada.

“Sehingga jam 9 malam anak saya masih tidak pulang ke rumah menyebabkan saya risau dan akhirnya membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia turut dimaklumkan oleh seorang lagi anaknya, Tow Wei Xian, 20 (kakak kepada Wei Yuan) yang ternampak Wei Yuan berjumpa seorang lelaki di sebuah padang berhampiran rumahnya.

Namun, Wei Yuan didapati hilang sekelip mata sebaik sahaja berjumpa dengan lelaki tersebut.

“Saya tidak menyangka Wei Yuan akan bertindak sedemikian kerana sebelum kejadian tiada sebarang perselisihan faham yang berlaku di antara kami,” katanya.

Katanya, dia juga cuba menghubungi telefon bimbit Wei Yuan tetapi panggilan itu dijawab oleh lelaki berkenaan.

“Malangnya cubaan kali kedua untuk menghubunginya tidak berjaya kerana telefon ini telah ditutup.

“Keadaan ini menyebabkan saya semakin bimbang dan takut perkara-perkara yang tidak diingini berlaku ke atasnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata, beliau memohon kerjasama daripada orang awam yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai remaja tersebut supaya menghubungi talian 012-6781455 dan 017-6533209.

Sinar Harian
16 Jun 2011

Wednesday, June 15, 2011

Sungai dalam rumah

Ibarat rumah terapung


MUAR – “Beginilah keadaan rumah makcik setiap kali selepas hujan tidak ubah seperti sungai sama ada di luar mahupun di dalam rumah”.

Demikian rintihan seorang warga emas berkaitan keadaan rumahnya yang terletak di RS 18 Jalan Bakariah, di sini.

Pasti ramai yang tidak menyangka kedaifan hidup yang dilalui warga emas berkenaan dengan rumah berlantaikan tanah yang hanya ditutupi tikar getah dan tidur bermandikan hujan.

Zalihah Atan, 65, berkata, dia sudah lali dengan keadaan berkenaan kerana sudah melaluinya sejak lima tahun lalu.

“Dalam rumah ini sering basah apabila hujan dan pastinya bahagian dapur akan dinaiki air sehingga paras buku lali kaki kerana keseluruhan bumbung rumah yang bocor teruk.

“Pernah terjadi air naik mencecah satu kaki ketika musim hujan lebat rentetan tiadanya sistem perparitan di rumah telah memburukkan keadaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Setiap kali selepas hujan, rutin hidupnya hanya tertumpu untuk membersihkan bahagian dapur rumah yang dinaiki air berserta lumpur.

“Memang letih, lebih-lebih lagi kebelakangan ini cuaca tidak menentu dan setiap hari hujan pada waktu petang.

“Tapi hendak buat macam mana hanya rumah ini saja yang makcik ada untuk berteduh bersama seorang anaknya sejak 28 tahun lalu,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini tidak pernah meminta bantuan daripada anak-anaknya kerana menyedari mereka juga susah dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga masing-masing.

Tinjauan Sinar Harian ke rumah warga emas berkenaan mendapati rumahnya mengalami kerosakan yang sangat teruk dan kelihatan tidak ubah seperti rumah terapung kerana persekitarannya dibanjiri dengan air hujan.

Malahan, halaman rumah Zalihah dipenuhi dengan bongkah kayu yang berfungsi sebagai jambatan kecil untuk kegunaannya keluar ke rumah.

“Kadang-kadang sehingga seminggu pun banjir di halaman rumah ini masih lagi tidak kering dan apabila hujan bahagian dapur akan dipenuhi dengan air lumpur,” katanya.

Sinar Harian dimaklumkan, Zalihah mula tinggal di rumah berkenaan pada tahun 1983 atas ihsan daripada tuan tanah.

“Pada ketika itu, kehidupan makcik tiada arah tujuan dan tiada tempat tinggal selepas ditinggalkan suami.

“Makcik terpaksa keluar daripada rumah sewa kerana tidak mampu untuk membayar sewa bulanan berikutan masalah kewangan,” katanya.

Menurutnya, ketika berada di sebuah pasar awam ada seorang individu yang simpati dengan keadaannya bersama tiga anaknya lalu mencadangkannya untuk tinggal di rumah yang didiaminya sekarang.

“Pada ketika itu, saya sangat bersyukur kerana mempunyai tempat berteduh bersama anak-anak.

“Ketika mula tinggal di sini, keadaan rumah masih baik tetapi lima tahun kebelakangan ini keadaannya sudah semakin teruk,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, kehidupan keluarga mula berubah selepas suami yang diharapkan sebagai tempat bergantung hidup meninggalkannya bersama tiga anak-anak yang masih kecil.

Selepas kejadian itu, seluruh hidupnya berubah dan dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk membesarkan anak-anak seorang diri.

Sehinggalah usianya mencecah 65 tahun, Zalihah masih lagi bekerja di salah sebuah kilang membuat barangan plastik berhampiran dengan rumahnya.

“Makcik terpaksa bekerja walaupun gaji yang diperoleh tidak banyak tetapi cukup untuk menampung hidup.

“Makcik tidak mahu menyusahkan anak-anak dan selagi terdaya makcik akan bekerja di kilang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zalihah berkata, pendapatan yang tidak seberapa itu menyebabkan dia tidak mampu untuk membaiki kerosakan di rumahnya.

Dalam pertemuan itu, warga emas berkenaan turut melahirkan keinginan untuk memiliki sebuah rumah yang lebih selesa.

“Pada usia begini, makcik sangat teringin memiliki sebuah rumah yang lebih selesa untuk menghabiskan sisa usia,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, pihak ketua kampung berkenaan ada bertemu dengannya bagi membantunya untuk mendapatkan bantuan rumah baru.

Sinar Harian
15 Jun 2011