REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Wednesday, April 24, 2013

BN lancar manifesto Parlimen Bakri


CHRIS Lee Ching Yong (dua dari kanan) bersama para penyokong BN melihat Manifesto Pembaharuan ke Arah Transformasi bagi Parlimen Bakri di Bangunan UMNO Bahagian Bakri di Muar, Johor, semalam.

MUAR 22 April - Barisan Nasional (BN) Bakri hari ini melancarkan manifestonya sendiri dalam usaha merampas kerusi Parlimen berkenaan daripada DAP selain membawa harapan baharu kepada 67,329 pengundi di kawasan tersebut.

Manifesto bertemakan 'Pembaharuan Ke Arah Transformasi' dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris itu dilancarkan oleh calon BN Parlimen Bakri, Chris Lee Ching Yong di Bangunan UMNO Bahagian Bakri, di sini.

Ching Yong yang juga Naib Ketua Pemuda MCA negeri berkata, manifesto itu dirangka untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk Bakri selain penyelesaian kepada isu-isu di kawasan itu yang gagal ditangani DAP.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Bakri itu berkata, selepas lima tahun DAP menang kerusi berkenaan, wakilnya tidak membawa sebarang perubahan atau pembangunan, malah penduduk sudah bosan dengan pembangkang yang tidak berbuat apa-apa untuk kesejahteraan hidup mereka.

"Kita mempunyai lima perkara utama dalam Manifesto Bakri, pertamanya membawa agenda transformasi nasional di kawasan Bakri. Perkara kedua ialah meningkatkan suasana bersatu padu, sejahtera, selamat dan bersih.

"Perkara ini penting kerana DAP di Bakri hanya membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat selain mewujudkan jurang perkauman yang luas. Begitu juga kita mahu aspek kebersihan di bandar Muar sebagai bandar diraja ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata, penjagaan aspek kebersihan dilakukan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyediakan tong sampah baharu selain menutup tapak pelupusan sampah di Bukit Bakri secara berperingkat-peringkat hingga tahun depan.

Utusan
23 Apr 2013


Dua remaja ditahan pecah cermin van milik DAP


MUAR – Polis menahan dua remaja lelaki dipercayai terlibat melakukan perbuatan berunsur provokasi dengan memecahkan cermin sebuah van milik DAP yang diletakkan di hadapan bilik gerakan parti itu di Jalan Sakeh, Bakri di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Senior Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, remaja berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan kira-kira 45 minit selepas melakukan perbuatan tersebut disaksikan tujuh petugas Barisan Nasional (BN) ketika memasang bendera, pada jarak 100 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, dua suspek itu diberkas selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki.

“Pengadu memberitahu pada jam 4 pagi, dia melihat dua remaja menaiki motosikal menghampiri van sebelum bertindak memecahkan cermin van itu dan kemudiannya meninggalkan tempat kejadian apabila perbuatannya disedari petugas terbabit.

“Unit kereta peronda dan motosikal membuat rondaan di sekitar kawasan kejadian, lalu terserempak dengan suspek menunggang motosikal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan mengenal pasti motosikal dinaiki suspek.

Mohamad Nasir berkata, kedua-dua suspek dari Bakri itu ditahan sementara untuk membantu siasatan.

“Soal siasat ke atas mereka mengaku melakukan perbuatan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti dalang kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 kanun sama.

Sinar Harian
24 Apr 2013

Wednesday, April 17, 2013

Kontraktor ditahan dengan dadah bernilai RM636,000


Superitendan Shahadan menunjukkan dadah yang dirampas dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Muar

MUAR: Polis telah menahan seorang kontraktor dan merampas dadah bernilai lebih dari RM636,000 dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Jalan Salleh di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar OCPD Superitendan Shahadan Jaafar berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditangkap bersama dadah jenis heroin seberat 21 kilogram pada tengah hari Jumaat.

Jumlah dadah tersebut boleh membekalkan 100,000 penagih, tambahnya.

Mesin pembungkusan dan timbang berat serta serbuk perwarna ditemui di apartmen tersebut dan polis percaya tempat tersebut digunakan sebagai pusat membungkus.

“Suspek dipercayai telah aktif selama 6 bulan,” katanya.

Superitendan Shahadan berkata, sebuah kereta jenis Toyota Camry, sebuah kereta jenis Honda Civic dan beberapa barangan emas bernilai lebih RM58,000 juga disita.

Beliau berkata lelaki tersebut, yang tinggal beberapa blok dari apartmen itu mempunyai rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan dadah. Hasil ujian saringan juga mendapati suspek positif dadah.

Beliau berkata polis juga akan menyita dua buah rumah milik kontraktor tersebut yang akan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami juga menyiasat samada terdapat individu lain yang terlibat,” tambahnya.

Sumber The Star
17 Apr 2013


Tuesday, April 16, 2013

PRU-13: Polis Tumpu Semua Kawasan di Muar, Seru Parti Kempen Secara Profesional


MUAR: Polis akan memberi tumpuan di semua kawasan sepanjang tempoh pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) bagi memastikan proses pengundian dapat dijalankan secara aman tanpa sebarang kekecohan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafar menasihatkan agar penyokong-penyokong parti politik tidak menimbulkan perkara yang boleh menggugat ketenteraman awam dan tidak memprovokasi polis untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

"Polis Johor sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada pilihan raya umum kali ini. Kita nak pastikan keselamatan terjamin, pengundi keluar mengundi tanpa rasa takut untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Kita tidak mengklasifikasi tempat-tempat panas sebaliknya menganggap semua kawasan perlu diberi perhatian dan mempunyai sebarang kemungkinan berlaku perkara tidak diingini," katanya kepada mStar Online, dekat sini, Selasa.

Sahadan berkata pihaknya mempunyai anggota yang cukup untuk digerakkan memantau perjalanan pilihan raya umum ke-13 kali ini.

Beliau juga mengingatkan anggota parti yang bakal bertanding PRU-13 agar berkempen secara profesional dan berhemah serta tidak sesekali melanggar Akta Perhimpinan Aman untuk mengelak daripada didakwa di Mahkamah.

"Pemimpin setiap parti yang akan bertanding perlu memastikan tidak akan berlaku kekacauan yang ditimbulkan oleh penyokong-penyokong mereka. Bagi penyokong pula perlu tahu mengawal diri agar tidak memudaratkan orang lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini tiada sebarang laporan tentang kekecohan berlaku berkaitan mana-mana parti politik.

mStar
16 Apr 2013

Monday, April 15, 2013

Jadikan bidang sukan kerjaya jangka panjang - Razali


RAZALI Ibrahim (di belakang) bersama murid-murid sekolah yang menyertai Karnival Multilateral Institut Sukan Negara Sukan di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, Johor, semalam.

MUAR 14 April - Kesedaran ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka menceburi bidang sukan sebagai kerjaya pada masa depan, masih berada di tahap yang rendah kerana ramai yang lebih mengutamakan akademik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, persepsi sukan tidak menjamin masa hadapan perlu diubah kerana bidang itu boleh menjadi satu profesion jangka panjang seperti bidang lain.

"Ibu bapa harus memberi sokongan kepada anak-anak untuk terlibat dalam bidang sukan kerana mereka boleh menjadi jurulatih bertauliah, atlet atau ahli sukan.

"Ini bukan sahaja untuk mempraktikkan gaya hidup sihat tetapi membantu menambah baik prestasi sukan negara pada masa depan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Multilateral Institut Sukan Negara (ISN) - Tarik Minat Kanak-Kanak Dalam Sukan di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Seramai 350 orang kanak-kanak daripada 10 buah sekolah sekitar Parlimen Muar mengambil bahagian dalam program anjuran ISN itu yang bertujuan menanam minat bersukan di samping melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Kanak-kanak tersebut diperkenalkan dengan lima sukan popular iaitu bola sepak, hoki, bola jaring, memanah dan ragbi selain turut terdapat aktiviti asas latihan fizikal dan elemen kemahiran multilateral.

Razali berkata, pada masa ini golongan ibu bapa terlalu menumpukan bidang pelajaran supaya anak-anak dapat memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau menjadi ahli profesional contohnya doktor, guru dan jurutera.

"Usaha melahirkan atlet atau ahli sukan sejajar hasrat Kementerian Pelajaran yang mahukan keseimbangan antara akademik dan sukan, bertujuan menambah baik prestasi sukan negara dalam penghasilan atlet bertaraf dunia," ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Mohd. Zahid Azmi, 11, menyifatkan program tersebut amat bermanfaat untuk generasi muda sepertinya memupuk minat dalam bidang sukan terutama kanak-kanak yang mempunyai bakat dalam bidang tersebut.

"Melalui program ini, saya dapat mengetahui undang-undang dalam beberapa jenis sukan, berkenalan dengan rakan baru dan melakukan aktiviti sukan kegemaran saya," ujarnya.

Utusan 15 Apr 2013

Thursday, April 11, 2013

39 pengedar, penagih dadah ditahan


MUAR 10 April - Empat pengedar dan 35 penagih dadah ditahan dalam operasi selama 10 hari di sekitar daerah ini yang berakhir hari ini melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, kesemua dadah berkenaan terdiri daripada 253 gram (g) heroin, syabu (14.97 g), 160 biji pil Eramin 5 dan 20 biji pil ekstasi yang boleh dibekalkan kepada 3,000 penagih.

“Kita tangkap suspek pertama berusia 51 tahun bersama heroin di Taman Bintang, Parit Jawa kira-kira pukul 11 pagi pada 6 April lalu. Suspek yang masih bujang dan tinggal di rumah keluarga, mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Dua hari selepas itu kira-kira pukul 6 petang, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Indah, Sungai Abong dan menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dan merampas heroin, syabu, pil ekstasi, pil Eramin 5 dan ketamin," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.

Dalam serbuan ketiga semalam, Sahadan berkata, dua sahabat berusia 46 dan 48 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Haji Yunus kira-kira pukul 5.30 petang bersama sejumlah heroin yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

Beliau berkata, keempat-empat pengedar dadah yang ditangkap dalam tiga operasi berasingan itu positif dadah dan disiasat di bawah Seksyen 15 1(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39B akta yang sama.

Utusan 11 Apr 2013

Sunday, April 7, 2013

RM1,000 buat setiap balu veteran ATM


SHAMSUDIN Rais menunjukkan borang SVTB1M untuk balu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di Muar, Johor, semalam.

MUAR 6 April - Sebanyak 150 balu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di daerah ini bakal menerima Sumbangan Veteran ATM Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) sebanyak RM1,000 seorang tidak lama lagi.

Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar, Shamsudin Rais berkata, borang permohonan telah dikeluarkan mulai 1 April lalu dan meminta semua balu veteran ATM tidak berpencen datang ke pejabat PBTM atau ke kem tentera berhampiran untuk mendapatkannya.

Menurutnya, borang yang lengkap perlu dihantar bersama dokumen salinan kad pengenalan balu, salinan buku pengakuan perkhidmatan ATM dan salinan buku bank balu.

"Mereka juga perlu menghantar salinan sijil kematian suami dan surat akuan nikah atau sijil kelahiran salah seorang anak kandung balu bersama bekas tentera yang telah disahkan oleh Pegawai Bertauliah ATM, Pegawai Kerajaan Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau Ketua Kampung.

"Borang permohonan perlu dihantar segera sebelum 1 Mei ini di mana-mana pejabat PBTM cawangan berhampiran," katanya ketika ditemui di pejabat PBTM Cawangan Muar di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan kerajaan sedia menimbang pemberian SVTB1M kepada balu tentera sebagai menghargai sumbangan suami mereka yang telah meninggal dunia.

Pengumuman tersebut dibuat dalam Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Pesara Tentera Tidak Berpencen Negeri Johor di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bakri dekat sini pada Februari lalu.

Bantuan itu diharap membela nasib keluarga bekas tentera tidak berpencen terbabit, selain meringankan beban golongan berkenaan.

Utusan 7 Apr 2013