REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Saturday, May 24, 2014

Menantu maut ditikam bapa mentua

RUMAH di Lorong Lau Eng Peng, Jalan Kim Kee, Muar, Johor tempat Wei Kuan (gambar kecil) ditemui mati kelmarin. - Foto Kosmo

MAYAT Lim Wei Kuan dibawa ke bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, malam semalam.

MUAR 23 Mei - Suasana di sebuah rumah di Lorong Lau Eng Peng, Jalan Kim Kee, di sini awal pagi ini umpama lokasi penggambaran sebuah filem aksi Cina.

Apa tidaknya, rumah tersebut dikerumuni jiran-jiran yang terbangun setelah terdengar bunyi dentingan senjata tajam dipercayai pedang samurai yang digunakan seorang lelaki yang sedang beradu tenaga dengan bapa mentuanya diikuti bunyi jeritan pergaduhan mereka dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Lim Wei Kuan, 34, ditemui mati berlumuran darah akibat ditikam sebanyak empat kali termasuk mengenai jantungnya, manakala bapa mentuanya yang berusia dalam lingkungan 60-an pula ditikam empat kali di badan dan leher.

Difahamkan, kejadian bermula apabila mangsa yang sedang bertengkar dengan isterinya ditegur bapa mentuanya yang datang bersama dua lelaki untuk mendapatkan penjelasan tentang masalah rumah tangga dihadapi mereka.

Pertengkaran semakin serius apabila bapa mentuanya masuk campur sebelum seorang daripada mereka mula menyerang menggunakan senjata tajam dipercayai pedang samurai dan dibalas oleh yang seorang lagi.

Pergaduhan mereka yang semakin serius dan jeritan meminta tolong kemudian mengejutkan jiran-jiran yang sudah pun tidur.

Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu, kedua-duanya dikatakan saling menyerang antara satu sama lain menggunakan senjata tajam.

"Saya terkejut dan keluar untuk melihat apa yang berlaku. Bagaimanapun, saya dan jiran-jiran lain hanya berdiri di luar rumah kerana tidak mahu mencampuri urusan keluarga berkenaan.

"Kami fikir pertengkaran biasa sahaja, tetapi tidak sangka pula sehingga berlaku pembunuhan. Sebelum kejadian mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda atau mempunyai masalah rumah tangga," ujarnya.

Selepas beberapa minit kemudian katanya, dia melihat dua lelaki keluar daripada rumah lalu melarikan diri.

"Saya mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku dan masuk ke dalam rumah serta nampak kedua-dua mangsa berlumuran darah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, pihaknya telah menahan beberapa individu dan mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan.

"Saya hanya boleh mengesahkan kejadian dan enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini.

Utusan
24 Mei 2014

Tuesday, May 13, 2014

Bakal pengantin cari wali nikah

Norsyahadah Aida menunjukkan gambar bapanya yang masih dalam simpanan.

MUAR - Seorang bakal pengantin buntu apabila usaha mencari bapanya sejak beberapa bulan lalu gagal yang memungkinkan dia tidak dapat bernikah pada 31 Mei ini.

Norsyahadah Aida Zainal Abidin, 26, dari Sungai Sudah, Sungai Balang, dekat sini, berkata, dia dan bakal suami, Mat Salleh Omar, 21, memerlukan kehadiran bapanya, Zainal Abidin Saad, 60an, sebagai wali.

“Saya percaya ayah masih hidup tetapi tidak mempunyai maklumat terkini di mana dia berada ketika ini menyebabkan usaha menjejakinya tidak berhasil.

“Saya juga ada mencari di kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah, dengan bertemu saudara mara dan rakannya tetapi malangnya mereka juga tidak mengetahui lokasi sebenar ayah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dia yang bekerja sendiri berkata, usahanya tidak terhenti setakat itu apabila turut menggunakan laman media sosial namun hasilnya masih sama.

Selain itu katanya, dia begitu teringin bertemu bapa kandungnya yang tidak pernah ditemui sejak dilahirkan kerana bapanya menghilangkan diri ketika dia masih dalam kandungan.

“Bapa berasal dari Kuala Nerang dan berkahwin dengan ibu, Saripah Dasuki di daerah ini. Tetapi apabila ibu mengandung ayah meninggalkan rumah dan tidak pulang sehingga ke hari ini.

“Sejak itu, ibu tidak berkahwin lagi dan sendirian membesarkan saya sebagai anak tunggal,” katanya.

Katanya lagi, dia bukan sahaja mahu kehadiran bapa pada hari bersejarah dalam hidupnya itu tetapi juga mahu bersatu semula sebagai sebuah keluarga.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Zainal Abidin Saad, boleh membantu Norsyahadah Aida dengan menghubunginya di talian 017-7091390.

Sinar Harian
13 Mei 2014

Saturday, May 3, 2014

Mohon kepemimpinan baharu di Mukim Bandar, Bakri

MUAR 2 Mei - Sebahagian besar daripada 2,200 penduduk Mukim Bandar di Jalan Dato’ Haji Kosai, Bakri di sini mahukan satu kepemimpinan baharu kerana teraju sedia ada didakwa gagal dan tidak lagi proaktif dalam menangani permasalahan serta kebajikan mereka.

Pesara guru, Abdul Samad Awang, 65, dari Parit Keroma Darat, mendakwa, kebajikan mereka di mukim itu yang melibatkan Parit Keroma, Parit Keroma Darat, Parit Sakai, Parit Sakai Darat, Parit Besar, Parit dan Parit Perupok termasuk enam taman di situ terabai.

“Sebagai contoh masalah surau di kampung saya perlu dibaiki segera khususnya bahagian tandas tetapi sehingga kini dibiarkan begitu sahaja. Masalah parit di kawasan surau itu juga ditangani sendiri de­ngan berjumpa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana salurannya tersumbat dan terlalu kecil.

“Begitu juga dengan masalah lorong-lorong kampung tidak berturap dan dalam satu kes itu, permohonan dilakukan untuk Lorong Saring tetapi projek turap jalan dibuat di Lorong Yusof," katanya yang juga Pengerusi Surau Parit Keroma Darat ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Azizan Dulani, 42, penduduk Parit Sakai Darat pula berkata, masalah perparitan terutama di kawasannya tidak diselenggara dan boleh dilihat daripada keadaan semak dalam kawasan parit sama tinggi dengan rumput di tebing­nya, begitu juga pokok-pokok besar di tepi jalan yang merimbun sehingga menyentuh wayar tiang elektrik.

Zainal Mohd. Dah, 65, dari Parit Sakai berkata, penduduk sudah mempelawa ke­pemimpinan sedia ada untuk turun di peringkat akar umbi sekali gus berdialog dengan penduduk di enam kampung tersebut bagi mengetahui masalah mereka, namun ia tidak diendahkan.

Katanya, masalah di kampung-kampung terbabit terus berbangkit dan penduduk buntu kerana tiada saluran untuk mengemuka masalah tersebut walaupun hampir ke­semuanya penyokong tegar kerajaan.

Ali Abas, 70, dari Parit Besar, berkata, masalah itu berpunca daripada terdapat ketua kampung yang merupakan pemimpin terlalu lama di mukim tersebut sejak 1990 dilihat tidak lagi relevan untuk berkhidmat kepada penduduk setempat.

“Justeru kami mendesak kerajaan supaya kepemimpinan di mukim ini yang di­terajuinya ditukar kerana perkhidmatannya tamat tidak lama lagi. Perkara ini dipersetujui hampir semua pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menurunkan tandatangan persetujuan supaya perkhidmatannya ditamatkan," katanya.

Antara sebabnya, kata Ali yang juga Imam di Surau Parit Sakai, umur ketua kampung itu yang sudah lanjut dan faktor kesihatan menyebabkan segala aduan serta la­poran penduduk bermasalah tidak diberikan perhatian dan tindakan yang memakan masa.

Utusan
3 Mei 2014

Teknologi pertanian diperluas

Ismail (tengah) diiringi Rohaizah menyampaikan cenderhati kepada Mutalib selepas merasmikan Kursus Pra-Perkahwian Parlimen Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, kelmarin.

MUAR – Amalan pertanian baik di negara China yang menggunakan teknologi moden seperti fertigasi dan hidroponik akan diperluas di negeri ini bagi menyumbang peningkatan pengeluaran dalam negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri dan Asas Tani, Ismail Mohamed berkata, teknologi negara itu  yang sentiasa dikemaskini terbukti telah  menjadikan pertanian di China lebih maju mengatasi negara  lain.

“Kaedah hidroponik ialah penggunaan air dengan campuran baja manakala fertigasi pula campuran baja serta sabut kelapa dan kedua-dua kaedah itu tidak menggunakan tanah yang banyak.

“Teknik tersebut yang menggunakan konsep rumah teduhan  sesuai di negara ini termasuk jika berlaku kemarau atau hujan kerana tidak memberi kesan terhadap pengeluaran sebaliknya produktiviti berterusan,”katanya pada sidang media selepas
merasmikan Kursus Pra-Perkahwian Parlimen Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim; Adun Jorak, Datuk Dr Saharudin Md Salleh dan Ketua Puteri Umno Johor, Rohaizah Ahmad.

Beliau yang baru pulang  lawatan pertanian dari China memberitahu, teknologi itu yang   mengunakan kaedah pengawalan baja menjadikan pengeluaran hasil yang lebih banyak dengan penggunaan tanah yang terhad.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan bantuan RM1 juta tahun ini kepada petani  yang berminat mengamalkan kaedah pertanian moden negara  China itu.

“Kita mahu koperasi pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) membantu  memperkenal tanaman cara itu kepada  petani.

“Kaedah tersebut amat sesuai dipraktikkan dan tumpuan pihaknya adalah di kawasan pinggir-pinggir bandar dan kampung-kampung berikutan keluasan tanah yang semakin terhad ketika ini,”katanya.

Ismail berkata, sebagai contoh  petani di China boleh  menanam  lima jenis tanaman di atas tanah berkeluasan kurang 0.5 hektar dengan pengeluaran yang berkualiti dan lebih  tinggi termasuk keledek yang menggunakan beg khas.

“Kita mahu manfaatkan teknologi ini dikesemua daerah  di negeri ini dengan lima petani disetiap daerah.  Namun kita akan menetapkan jenis tanaman kepada petani berlainan daerah untuk menggelakkan  lambakan terhadap sesuatu produktiviti.

“Antara tanaman yang dicadangkan ialah   sayuran daun, terung, keledek, kacang panjang, lada, bende, kentang, tomato dan labu dengan keluasan tanah tidak sampai  satu hektar,”katanya.

Sinar Harian
30 Apr 2014

Perlukan RM1,000 sebulan

NURZAHIRAH ditemani ibunya Nor Ashikin.

NURZAHIRAH mengunakan alat pernafasan.

Muar: Usianya baru tiga tahun, namun Nurzahirah Zulkefli terpaksa hidup dalam keadaan serba tidak selesa berikutan paru-parunya dijangkiti kuman sejak bayi lagi.

Keadaan itu menyebabkan anak bongsu daripada tiga beradik terbabit terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan selain melihat dari jauh kanak-kanak sebayanya bermain bersama keluarga sedangkan dia terpaksa berehat di dalam bilik.

Lebih malang keluarganya memerlukan kira-kira RM1,000 sebulan untuk pelbagai perbelanjaan Nurzahirah sedangkan bapanya, Zulkefli Ahmad, 46, hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan.

Zulkefli berkata, keadaan itu menyebabkan keluarganya kini berdepan masalah kewangan kerana perlu berbelanja lebih untuk Nurzahirah.

“Disebabkan terpaksa menggunakan saluran oksigen, Nurzahirah tidak selesa makan dan doktor menyarankan kami memberikan susu nutrisi kepadanya.

“Susu itu berharga RM66.90 setin dan kami memerlukan enam tin sebulan untuk keperluan Nurzahirah.

“Selain itu, Nurzahirah tidak boleh berada dalam keadaan panas kerana sekiranya berpeluh atau tidak selesa menyebabkan dia sukar bernafas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Jawa, di sini, semalam.

Menurutnya, masalah paru-paru anaknya yang dijangkiti kuman mula dikesan pada Julai 2012 apabila Nurzahirah dilihat sukar bernafas.

Katanya, Nurzahirah kemudian dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur pada 16 September 2012 hingga 9 Februari lalu.

“Sejak itu, kehidupan kami berubah.

Sebelum ini saya memandu lori untuk perjalanan luar daerah dengan pendapatan lebih RM2,000 sebulan.

“Apabila dapat tahu paru-paru Nurzahirah dijangkiti kuman, saya terpaksa bertukar kerja di tempat sekarang.

“Walaupun gajinya lebih rendah, majikan faham masalah dihadapi kami sekeluarga dan memberikan saya kelonggaran ke hospital pada bila-bila masa,” katanya.

Menurutnya, keluarganya kini menerima bantuan orang ramai dan Baitulmal Johor yang memberikan mesin pernafasan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan.

Katanya, jumlah itu masih tidak mencukupi memandangkan biliknya terpaksa menggunakan penghawa dingin untuk keselesaan Nurzahirah hingga menyebabkan bil elektrik melambung.

“Selain itu, dua lagi anak saya, Nur Izzati, 9, dan Nur Qistina, 7, sudah bersekolah dan turut memerlukan perbelanjaan.

“Saya faham tanggungjawab saya dan cuba sedaya-upaya untuk menampung keperluan, namun kami sekeluarga berharap orang ramai akan memberikan bantuan kepada Nurzahirah kerana gaji saya tidak mencukupi.

“Sebelum ini, isteri, Nor Ashikin Husain, 34, bekerja di kawasan berhampiran dengan gaji RM900 sebulan, namun selepas paru-paru Nurzahirah disahkan dijangkiti kuman, dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya,” katanya.

myMetro
3 Mei 2014