Saturday, May 24, 2014

Menantu maut ditikam bapa mentua

RUMAH di Lorong Lau Eng Peng, Jalan Kim Kee, Muar, Johor tempat Wei Kuan (gambar kecil) ditemui mati kelmarin. - Foto Kosmo

MAYAT Lim Wei Kuan dibawa ke bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, malam semalam.

MUAR 23 Mei - Suasana di sebuah rumah di Lorong Lau Eng Peng, Jalan Kim Kee, di sini awal pagi ini umpama lokasi penggambaran sebuah filem aksi Cina.

Apa tidaknya, rumah tersebut dikerumuni jiran-jiran yang terbangun setelah terdengar bunyi dentingan senjata tajam dipercayai pedang samurai yang digunakan seorang lelaki yang sedang beradu tenaga dengan bapa mentuanya diikuti bunyi jeritan pergaduhan mereka dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Lim Wei Kuan, 34, ditemui mati berlumuran darah akibat ditikam sebanyak empat kali termasuk mengenai jantungnya, manakala bapa mentuanya yang berusia dalam lingkungan 60-an pula ditikam empat kali di badan dan leher.

Difahamkan, kejadian bermula apabila mangsa yang sedang bertengkar dengan isterinya ditegur bapa mentuanya yang datang bersama dua lelaki untuk mendapatkan penjelasan tentang masalah rumah tangga dihadapi mereka.

Pertengkaran semakin serius apabila bapa mentuanya masuk campur sebelum seorang daripada mereka mula menyerang menggunakan senjata tajam dipercayai pedang samurai dan dibalas oleh yang seorang lagi.

Pergaduhan mereka yang semakin serius dan jeritan meminta tolong kemudian mengejutkan jiran-jiran yang sudah pun tidur.

Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu, kedua-duanya dikatakan saling menyerang antara satu sama lain menggunakan senjata tajam.

"Saya terkejut dan keluar untuk melihat apa yang berlaku. Bagaimanapun, saya dan jiran-jiran lain hanya berdiri di luar rumah kerana tidak mahu mencampuri urusan keluarga berkenaan.

"Kami fikir pertengkaran biasa sahaja, tetapi tidak sangka pula sehingga berlaku pembunuhan. Sebelum kejadian mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda atau mempunyai masalah rumah tangga," ujarnya.

Selepas beberapa minit kemudian katanya, dia melihat dua lelaki keluar daripada rumah lalu melarikan diri.

"Saya mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku dan masuk ke dalam rumah serta nampak kedua-dua mangsa berlumuran darah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, pihaknya telah menahan beberapa individu dan mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan.

"Saya hanya boleh mengesahkan kejadian dan enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini.

Utusan
24 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment