TANJUNG MALIM - Tekanan perasaan dipercayai menjadi punca seorang pelajar perempuan tahun tiga Fakulti Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) terjun dari tingkat empat bangunan E-Learning kampus universiti itu di sini, petang semalam.
Menurut sumber, pelajar berusia 23 tahun dan bakal menamatkan pengajiannya dalam dua semester itu, dipercayai telah mencederakan dirinya sebelum nekad terjun bangunan.
"Terdapat kesan darah pada dinding koridor di tingkat empat bangunan di mana pelajar terbabit dipercayai terjun.
"Kesan itu menunjukkan pelajar ini telah cedera dan nekad terjun bangunan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika kebanyakan pelajar tamat kuliah tambahan.
Kata sumber itu lagi, mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala dan patah kaki.
Ketika kejadian, katanya, mangsa berpakaian muslimah, berseluar trek dan bertudung.
"Menurut rakan-rakannya, sebelum ini pelajar yang berasal dari Johor Bharu itu dilihat murung dan sering bercakap sendirian dan berkemungkinan menghadapi tekanan," katanya.
Sinar Harian cuba menjejaki rakannya, namun masih gagal kerana mangsa berkemungkinan tidak tinggal di kolej kediaman tetapi tinggal di kediaman luar kampus.
Dalam pada itu, seorang pembaca Sinar Harian Online dalam mesej Facebook menulis bahawa "seorang mahasiswi Upsi semester empat, minor Bahasa Arab terbunuh setelah terjatuh dari Bangunan E-Learning sekitar jam 5.30 - 6.00 petang tadi."
"Kami diberitahu dari tingkat empat dan identiti mangsa juga telah dikenal pasti dan akan disiarkan sebaik sahaja disahkan," kata pengunjung itu.
Sinar Harian
22 Apr 2012
Mati terjun separa sedar
FATIMAH...maut
TANJUNG MALIM: Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dikatakan mengalami masalah gangguan makhluk halus, maut selepas terjatuh dari sebuah bangunan lima tingkat di universiti itu kelmarin.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata, dalam siasatan awal, pihaknya mendapati mangsa, Fatimah Mina Md Juferi, 22, mengalami masalah itu sebelum mengikuti kursus di UPSI dan masih menjalani rawatan tradisional bagi mengatasi gangguan itu.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan unsur mistik menyebabkan mangsa terjatuh dari bangunan E-Learning kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.
“Malah, saya dimaklumkan rakan serumah mangsa yang dia berkelakuan pelik sebelum ini termasuk bercakap sendirian dan menangis,” katanya yang dihubungi semalam.
Fatimah, pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang berasal dari Bakri, Muar, Johor, ditemui terbaring di bawah bangunan berkenaan dengan kecederaan parah di beberapa bahagian badan, termasuk patah rusuk kiri dan kanan, kaki kanan serta kedua-dua bahunya.
myMetro
23 Apr 2012
Maut akibat bisikan misteri
ANAK panah menunjukkan lokasi Fatimah terjatuh dari tingkat lima bangunan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim pada Sabtu lalu.
TANJUNG MALIM - Seorang pelajar perempuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mendakwa diganggu bisikan misteri ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan E-Learning, kampus terbabit di sini kelmarin.
Kejadian menimpa Fatimah Mina Md. Juferi, 22, dipercayai atas dorongan suara bisikan misteri yang dialami pelajar terbabit sejak beberapa tahun lepas.
Dalam kejadian pukul 5.40 pagi hingga 6 petang itu, pelajar semester empat Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) itu dijumpai dalam keadaan tertiarap di kaki lima bangunan yang terletak tidak jauh dari Pintu Masuk Timur UPSI.
Seorang rakan sekelas mangsa yang enggan dikenali berkata, Allahyarham Fatimah sebelum ini dilihat mengalami kemurungan kerana mendakwa diganggu makhluk halus.
"Fatimah mengadu bisikan dan gangguan tersebut semakin kerap sejak beberapa bulan lalu," katanya ketika ditemui di UPSI di sini semalam.
Kosmo
23 Apr 2012
Pelajar Upsi murung sebelum maut jatuh bangunan
MUAR – “Kebelakangan ini arwah kelihatan murung dan suka menyendiri,” kata Noralis Mohamad, 22, rakan sekelas Fatima Mina Md Juferi, 22, iaitu pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) yang terbunuh selepas dikatakan terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan di universiti terbabit petang kelmarin.
Menurutnya, dia tidak mengetahui punca arwah murung dan dilihat sudah berlarutan sejak beberapa semester.
“Arwah juga menjadi semakin pendiam apabila masuk semester empat dan pernah bertanya kepada arwah tentang masalah yang dihadapinya, tetapi dia hanya membisu sahaja.
“Semasa tahun pertama pengajian dia kelihatan ceria seperti pelajar lain dan difahamkan masalah yang dihadapinya berkaitan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Kampung Jeram Bukit Batu, Bakri, di sini, semalam.
Seorang lagi rakannya, Munira Mamud, 21, berkata, rakaman melalui kamera litar tertutup (CCTV) di Upsi menunjukkan arwah memasuki lif ke tingkat lima blok bangunan kuliah pada kira-kira jam 5.15 petang kelmarin secara bersendirian.
Menurutnya, insiden itu turut disedari seorang pelajar yang kebetulan sedang menghadapi peperiksaan di dalam dewan di situ dan mahu ke tandas lalu terlihat satu objek melayang dan jatuh ke atas ruang pejalan kaki.
“Pelajart terbabit memaklumkan kepada pensyarah yang kemudian menghubungi ambulans.
“Beberapa pelajar yang berada di lokasi sempat mengajar mengucap ketika arwah masih bernafas,” katanya.
Munira berkata, Fatima Mina juga menunjukkan perubahan ketara beberapa hari sebelum kejadian seperti tidak mempedulikan orang yang bercakap dengannya.
Sementara itu, bapa saudara mangsa Iskandar Ali, 40-an, berkata, anak saudaranya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika kali terakhir mereka bertemu dua minggu lalu.
“Arwah seorang yang rapat dengan adik-beradiknya yang lain,” katanya.
Anak kedua daripada empat beradik itu merupakan penuntut semester empat Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 6, tengah hari semalam.
Sinar Harian
23 Apr 2012
Pelajar UPSI maut terjatuh bangunan
IPOH: Seorang pelajar perempuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang dipercayai mengalami kemurungan, maut selepas terjatuh dari bangunan lima tingkat E-Learning di kampus universiti berkenaan di Tanjung Malim, petang kelmarin.
Dalam kejadian antara jam 5.30 petang hingga jam 6.30 petang itu, mangsa, Fatimah Mina Md Juferi, 22, dari Bakri, Muar, ditemui terbaring di tingkat bawah bangunan berkenaan dengan kesan luka di beberapa bahagian badan, termasuk patah di rusuk kiri dan kanan, kaki kanan serta bahu kiri dan kanan.
Mayat pelajar Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak itu ditemui lengkap berpakaian dan bertudung oleh beberapa pelajar yang kebetulan melalui kawasan itu.
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar, berkata insiden itu di luar kawalan pihaknya dan menyifatkan ia mungkin ada kaitan unsur mistik seperti gangguan makhluk halus.
“Saya mewakili warga UPSI menyampaikan salam takziah kepada keluarga arwah dan kami turut mengadakan majlis tahlil ringkas untuk arwah, malam semalam (kelmarin) di surau Kampus Proton City, yang disertai beberapa pegawai universiti dan pelajar.
“Selain itu, dua rombongan bas disertai 80 pelajar, termasuk Penolong Pendaftar UPSI, Musa Jaafar turut mengiringi kepulangan jenazah ke rumah keluarganya di Muar, pagi tadi (semalam) bagi menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepadanya, selain menghulurkan sedikit sumbangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan itu turut mendapati arwah memasuki bangunan itu dalam keadaan seperti separuh sedar sebelum dilihat menaiki tangga ke tingkat atas.
“Difahamkan, arwah mempunyai sejarah diganggu makhluk halus sebelum ditawarkan memasuki UPSI dan beliau dikatakan sedang mengikuti beberapa rawatan perubatan tradisional serta Islam bagi mengatasi masalah itu.
“Saya juga dimaklumkan rakan serumahnya, pelajar itu turut berkelakuan pelik sebelum ini, termasuk sering bercakap sendirian dan menangis,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kes itu, yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Berita Harian
23 Apr 2012
0 comments:
Post a Comment