Monday, April 23, 2012

Derita isteri mangsa langgar lari



MUAR – “Tiga jam sebelum kejadian, suami kelihatan begitu gembira dan bersungguh-sungguh cuba baju Melayu baru untuk dipakai pada Hari Raya Aidilfitri.

“Suami turut minta saya ambil gambarnya yang lengkap berbaju Melayu di ruang tamu rumah,” kata Fatimah Omar, 52, isteri mangsa langgar lari dalam kejadian 14 Ogos tahun lalu.

Fatimah berkata, meskipun agak hairan dengan sikap pelik suaminya itu, namun dia tetap melayannya.

Menceritakan kisah duka itu, Fatimah berkata, pada jam 5.30 petang hari kejadian, Abd Jabbar Yunus, 61, keluar rumah menaiki motosikal untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran.

“Dalam perjalanan, suami dilanggar oleh sebuah kereta menyebabkannya koma hampir dua minggu di hospital dan lumpuh hingga kini.

“Lebih menyedihkan saya dan anak tunggal saya menerima perkhabaran mengenai kemalangan suami setengah jam sebelum waktu berbuka puasa,” katanya.

Katanya, sejurus itu mereka segera ke tempat kejadian.

“Saya tergamam apabila lihat tubuh suami terlentang di tepi jalan raya dengan kepala yang berlumuran darah dan nafas tercungap-cungap.

“Lebih memilukan apabila lihat kuih yang dibeli suami berteraburan di atas jalan raya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Taman Lembah Padang, Jalan Junid di sini.

Berikutan kemalangan itu, katanya, tempurung kepala bahagian kiri suami terpaksa dibuang semasa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Rentetan kecederaan yang dialami juga, mereka sekali lagi diuji apabila Abd Jabbar mengalami komplikasi jangkitan paru-paru dan dimasukkan ke wad hampir tiga minggu.

Bagi Fatimah, sambutan Aidilfitri tahun lalu tidak lagi bermakna buatnya kerana perlu menemani suami di hospital.

Sinar Harian
23 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment