Friday, April 20, 2012

Wanita hamil dicekup


MUAR – Seorang wanita hamil empat bulan antara yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Agas, Ledang oleh sekumpulan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kira-kira 6.30 pagi, 9 April lalu.

Wanita berusia 28 tahun itu antara empat suspek yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam enam kes samun kedai runcit yang berlaku di Bukit Pasir, Bakri dan Parit Jawa, sekitar Januari hingga April tahun ini. 

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, wanita berkenaan merupakan isteri kepada salah seorang suspek.

Menurutnya, kesemua suspek begitu licik dengan menggunakan modus operandi iaitu berlegar-legar di sekitar kedai runcit dengan menaiki motosikal.

Kemudian suspek memasuki kedai itu dengan memakai topi keledar sambil berpura-pura hendak beli barang atau kad tambah nilai telefon bimbit.

Selepas pasti kedai itu tiada pelanggan, mereka akan mengeluarkan parang yang disorok dalam baju dan mengugut mangsa supaya menyerahkan wang tunai serta mengambil barangan berharga,” katanya dalam sidang media di IPD Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa terpaksa akur dengan arahan suspek kerana ketakutan selepas menerima ugutan mahu dicederakan jika ingkar.

Jelas Mohamad Nasir, ekoran kejadian yang berlaku, pihak polis segera mengadakan operasi untuk mengesan dan menjejaki suspek.

Hasil siasatan terperinci di tempat kejadian, pihak polis berjaya mengenal pasti identiti suspek.

Akhirnya kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Tanjung Agas yang dipercayai menjadi markas persembunyian mereka,” katanya.

Tambahnya, dalam tangkapan tersebut turut dirampas tujuh telefon bimbit dan sebilah parang yang dipercayai digunakan ketika menyamun.

Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 34 tahun kini ditahan reman sehingga 18 April ini untuk membantu siasatan.

Suspek yang berusia 34 tahun merupakan dalang kegiatan tersebut dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun,” katanya. Mohamad Nasir berkata, tiga suspek lelaki terbabit kecuali wanita hamil itu disahkan positif dadah jenis Syabu dan methamphetamine.

Dengan tertangkapnya mereka, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun yang berlaku di sekitar daerah Muar. “Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian
17 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment