MUAR – Seorang pekerja buruh binaan maut dalam keadaan menyayat hati selepas dihempap sebuah jentera tanam cerucuk di Kampung Tengah Air Hitam dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa Chong Kim Fatt, 46, dipercayai cuba membetulkan kedudukan jentera berat terbabit yang senget kerana struktur tanah di kawasan itu lembik.
Malangnya, ketika mangsa sedang leka memasukkan besi dan kayu di bawah jentera berkenaan, secara tiba-tiba jentera itu terbalik lalu menghempapnya.
Kejadian tersebut disedari dua rakannya yang berada tidak jauh dari tempat kejadian dan cuba membantu mangsa tetapi gagal.
Kim Fatt berasal dari Rawang, Selangor dan baru beberapa hari melakukan kerja pembinaan masjid di Kampung Parit Tengah, Air Hitam sebelum berlakunya kejadian itu.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Jamil berkata, projek pembinaan masjid berkenaan mula dilakukan kira-kira tiga bulan lalu.
Menurutnya, jentera berat itu berada di bekas tapak kolam lama menyebabkan kedudukannya senget sejak dua hari ditinggalkan di situ.
“Penduduk kampung yang mendengar tentang kemalangan terbabit segera datang ke situ untuk memberi bantuan bagi menyelamatkan mangsa yang terbenam dalam tanah di bawah jentera tersebut.
“Satu jam kemudian, mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan sebuah jentera lain tetapi sudah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, penduduk kampung turut menghubungi pihak polis dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk memaklumkan kejadian itu.
Sinar Harian
24 Apr 2012
0 comments:
Post a Comment