Sunday, April 29, 2012

Kanak-kanak nyaris lemas

Rahimah cuba mententeramkan anaknya yang masih trauma dengan kejadian terbabit.


MUAR – Berpantang maut sebelum ajal. Begitulah perumpamaan yang diibaratkan apabila seorang kanak-kanak nyaris lemas setelah tergelincir ketika bermain sampan di Jeti Jorak, Bukit Pasir, kelmarin.

Bagaimanpun, Inas Insyirah Mohd Ishak, 5, berjaya diselamatkan oleh Jurulatih Memandu Menunggang Palang Penguji Maktab Teknik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bakri, Hassan Ibrahim yang kebetulan berada di tempat kejadian kerana membaiki sampannya.

Menurut Hassan, dalam kejadian jam 6.30 petang itu dia berada pada jarak 50 meter dari tempat kejadian.

“Kira-kira 10 minit kemudian, saya dengar tiga jeritan minta tolong mengatakan ada anak kecil jatuh dalam sungai,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia segera terjun dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa.

Hassan berkata, mujur adik mangsa Iris Irniesyah, 3, yang turut bermain dalam sampan berkenaan sudah selamat menaiki jeti itu.

Difahamkan, mangsa bersama dua adiknya yang lain pergi ke jeti terbabit selepas dibawa oleh ibu saudaranya untuk beriadah di situ.

Manakala ibu mangsa, Rahimah Romlan berkata, dia tidak mengetahui adiknya, membawa anak-anaknya ke tempat kejadian.

Katanya, dia meminta pertolongan adiknya untuk menjaga ketiga-tiga anak-anaknya kerana mahu pergi ke pekan.

“Walaupun masih terkejut tetapi saya sangat bersyukur kerana anak saya selamat,” katanya.

Sinar Harian
29 Apr 2012

0 comments:

Post a Comment