Wednesday, May 2, 2012

MPM, JPPM Dun Maharani: Baiki sepuluh rumah sebulan


MUAR - Majlis Perbandaran Muar (MPM) menyasarkan untuk membaiki 10 unit rumah setiap bulan milik keluarga miskin dalam usaha membantu golongan kurang bernasib di sini.

Yang Dipertua MPM, Zulkiflee Abbas berkata, MPM bersama Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (Dun) Maharani akan menanggung kos baik pulih rumah atau menggantikannya dengan yang baru.

Menurutnya, kerja membaiki rumah dilakukan secara gotong royong oleh kakitangan MPM, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Bantuan yang akan diberi termasuk dalam bentuk zink, siling, batu bata, kayu dan bahan lain untuk membina rumah yang diperlukan mengikut keadaan sesebuah rumah terbabit.

“Sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi tujuan membaiki tiga buah rumah di Jalan Temenggong Ahmad,” katanya ketika ditemui dalam Program Gerak Tumpu Membaiki Rumah Orang-orang Miskin MPM dan JPPM Dun Maharani di Parit Besar, Jalan Temenggong Ahmad, yang diadakan di sini.

Beliau berkata, dua rumah akan dibaik pulih manakala sebuah lagi dibina baru kerana struktur reput.

“Daripada jumlah ini, RM15,000 disumbangkan MPM dan RM5,000 oleh JPPM Dun Maharani kepada penerima iaitu Hassan Abdul, Abdul Razak Abu Bakar dan Ismail Kasim,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JPPM Dun Maharani, Datuk Mohd Ismail Mohd Shah berkata, lebih ramai golongan terbabit akan dikenal pasti melalui sistem e-kasih dan juga ketua kampung.

“Saya mahu ketua kampung membuat pemantauan di setiap kampung bagi memastikan tiada penduduk yang terpinggir daripada menerima bantuan untuk membaiki rumah mereka yang uzur.

“Program ini bertujuan meringankan beban golongan berkenaan dan terdapat sejumlah 74 keluarga miskin di daerah ini,” katanya.

Mohd Ismail berkata, pihaknya berharap bantuan tersebut akan dapat membantu dan memberi keselesaan kepada mereka dan kerajaan tidak mahu mana-mana rakyat rasa terpinggir.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Muar mahu semua ketua kampung dan penghulu di daerah itu bekerjasama dan turun padang mencari keluarga miskin yang memerlukan bantuan.

“Kita akan pergiatkan usaha ini untuk memastikan sasaran sifar miskin di daerah Muar akan tercapai,” katanya.

Sinar Harian 2 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment