MUAR – Kebimbangan kira-kira 100 penuntut Kolej Teknologi Cosmopoint cawangan Muar berikutan penutupan kolej tersebut, hujung bulan ini berakhir apabila mereka ditawarkan menyambung pengajian di cawangan Melaka dengan kemudahan asrama percuma.
Berita baik itu diumumkan oleh Naib Presiden Kanan kolej, Dr Janet Ng Bee Pheng selepas mengadakan sesi dialog dan taklimat dengan semua penuntut dan kakitangan kolej berkenaan, semalam.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pengajian penuntut di cawangan terbabit dapat diteruskan dan kebajikan mereka tidak terabai.
“Bagi penuntut separuh masa di cawangan Muar yang bekerja tetap dan tidak boleh tinggal di asrama cawangan Melaka, pihak kami sedia pertimbangkan untuk wujudkan kelas pada hujung minggu tetapi bergantung kepada bilangan mereka.
“Manakala 20 kakitangan yang melibatkan pensyarah ditawarkan untuk diserap di mana-mana cawangan lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, bagi pensyarah yang tidak mahu berpindah dan memilih untuk berhenti, pampasan akan diberikan.
Bee Pheng turut mengulas tindakan kira-kira 50 penuntut cawangan itu yang mengadakan demonstrasi aman pada 11 Mei lalu kerana bimbang dengan nasib mereka apabila kolej tersebut ditutup pada 31 Mei ini.
Menurutnya, perpindahan operasi ke cawangan Melaka untuk sementara waktu.
Bagaimanapun, Bee Pheng enggan mengulas lanjut isu itu kerana memberi laluan kepada pembinaan kampus induk yang lebih besar di Johor Bahru.
“Kampus induk baru itu untuk kemudahan rakyat di negeri ini dengan pelbagai kelengkapan terkini. “Kolej cawangan di sini tidak mempunyai kemudahan yang lengkap selain tidak mempunyai suasana pembelajaran yang sesuai sebagai sebuah kolej,” katanya.
Tambah beliau, penutupan ini juga untuk membina kampus induk yang lebih baik dan selesa dengan persekitaran kondusif.
Kolej cawangan Muar adalah satu daripada 13 cawangan di seluruh negara yang mula beroperasi sejak 1999.
Sinar Harian 19 Mei 2012
0 comments:
Post a Comment