MUAR - Seorang pelajar berusia 17 tahun salah sebuah sekolah menengah dekat Pagoh antara enam suspek yang ditahan terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sekitar Pagoh sejak beberapa bulan lalu.
Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 21 tahun itu ditahan di lokasi berasingan di Pagoh oleh pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 10 dan 17 Mei, lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, tangkapan pertama ke atas seorang suspek berusia 18 tahun, dilakukan selepas menerima laporan kehilangan motosikal di Pagoh.
Menurutnya, berikutan itu pihak polis melancarkan gerakan memburu dan berjaya memberkas suspek di sebuah warung di Pagoh, dekat sini pada 10 Mei lalu, kira-kira jam 7.30 malam.
“Dalam tangkapan ini, polis merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai dicuri suspek,” katanya pada sidang media di IPD Muar, semalam.
Mohamad Nasir berkata, tangkapan dan hasil siasatan ke atas suspek pertama telah membantu polis mengesan lima suspek lain.
Katanya, kelima-lima suspek ini ditahan pada 17 Mei lalu di lokasi berbeza dan merampas tiga rangka motosikal dalam Sungai Pagoh.
“Polis percaya tindakan suspek membuang rangka motosikal dalam sungai bertujuan untuk melupuskan bukti.
“Mereka mencuri motosikal untuk ambil komponen dan dipasang pada motosikal masing-masing,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kesemua suspek terbabit dengan kegiatan lumba motosikal haram.
Jelasnya, suspek ditahan reman sehingga 25 Mei lalu dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk mengenal pasti saki baki ahli kumpulan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun,” katanya.
Sinar Harian 22 Mei 2012
0 comments:
Post a Comment