Tuesday, May 15, 2012

Dua maut dalam kemalangan


Mangsa, Mohd Nordin maut di tempat kejadian.

MUAR – Dua maut dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dengan motosikal di Sungai Pulai, Seri Menanti dekat sini, kelmarin.

Mereka terbunuh dikenali sebagai Mohd Nordin Daud, 29, dan Noriana Mohd Muttar, 28.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, motosikal yang ditunggang Mohd Nordin dari arah Batu Pahat menghala ke Muar dipercayai cuba memotong kenderaan lain di hadapan.

Bagaimanapun, cubaannya gagal menyebabkannya motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki Noriana bersama suami dan seorang anaknya berusia tiga tahun, di laluan bertentangan.

Akibat rempuhan kuat itu, Mohd Nordin tercampak di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan yang lain.

Noriana yang mengalami kecederaan parah dan tersepit di tempat duduk penumpang, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Batu Pahat.

Manakala suami Noriana serta anaknya terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan, kini menjalani rawatan di Hospital Batu Pahat.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu Pahat selepas menghadiri majlis perkahwinan di Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan menerima laporan insiden tersebut.

Menurutnya, mayat Mohd Nordin dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Saya meminta kerjasama saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 15 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment