3 korban tiang konkrit
Muar: “Ya Allah, anak aku Azem, Balqis. Ya Allah.. Esah,” raung Md Ghazali Salamon, 46, sebaik jenazah isteri serta dua anaknya diletakkan di beranda rumahnya di Batu 14, Bukit Naning, Jalan Air Hitam-Muar, di sini, semalam.
Sebelum itu, Md Ghazali terpaksa menunggu hampir sejam ketika anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat tiga beranak berkenaan yang terbunuh selepas Proton Persona dinaiki mereka dihempap lori 10 tan membawa tiang konkrit.
Kemalangan ngeri itu berlaku betul-betul di depan rumah mereka di Batu 14, Bukit Naning, Jalan Air Hitam-Muar, di sini, pada jam 1.20 tengah hari semalam.
Ketika kejadian, mangsa, Ngaisah Redzuan, 46, yang juga guru matematik di Sekolah Kebangsaan Bukit Naning dalam perjalanan pulang ke rumah bersama anak, Puteri Balqis Sofea Md Ghazali, 10, dan Faatirrohullah al Azzem, 12.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, Ngaisah dikatakan membelok ke kiri jalan untuk memasuki pekarangan rumahnya, namun lori terbabit yang mengekori di belakang tiba-tiba terbabas sebelum terbalik dan muatannya menimpa kereta dinaiki mangsa.
myMetro
24 Jan 2013
‘Cikgu baik sangat’
“Kenapa cikgu dan Azzem mati, kenapa bukan orang lain. Cikgu dan Azzem sangat baik, kenapa kena mati awal,” kata Nor Natasha Kamaruzain, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naning.
Nor Natasha adalah murid Ngaisah Redzuan, 46, yang juga guru matematik di sekolah itu dan berkawan rapat dengan Faatirrohullah al Azzem Md Ghazali, 12 yang belajar sekelas dengannya.
“Cikgu Ngaisah mengajar saya subjek matematik. Dia cikgu yang penyayang dan lemah lembut, Azzem pula ringan tulang serta suka membantu rakan,” katanya.
Rakan Ngaisah yang hanya dikenali sebagai Shidah, 47, pula berkata arwah beria-ia meminta dia dan kakitangan sekolah memasang langsir baru pada hari ini sempena kedatangan Nazir Sekolah ke sekolah kami.
“Arwah seolah-olah lupa bahawa esok (hari ini) adalah cuti umum sempena Maulidur Rasul,” katanya yang juga pembantu kantin di SK Bukit Naning.
myMetro
24 Jan 2013
Suami ratapi kematian isteri, dua anak akibat dihempap lori 10 tan
Lokasi kejadian menunjukkan keadaan kereta yang tertimbus di bawah lapisan konkrit.
Kerja-kerja menyelamat dan memindahkan konkrit menggunakan bantuan dua jentera forklift.
Ghazali yang kesedihan cuba ditenangkan ahli keluarganya.
Ghazali meratap sambil memeluk salah seorang anaknya yang terkorban dalam nahas ngeri itu.
MUAR – Hanya laungan nama Ngaisah, Balqis dan Azzem berulang kali memecahkan suasana pilu di kediaman Ghazali Salamon, 45, yang meratapi jenazah tiga ahli keluarganya selepas semua mangsa dikeluarkan dari timbunan barangan konkrit bahan binaan.
Ghazali merupakan suami kepada mangsa kemalangan, Ngaisah Redzuan, 46, bersama dua anaknya, Faatiorrohirullah Al Azzem Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea Ghazali, 10; maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan sebuah kereta Proton Persona dengan lori sarat membawa muatan konkrit di Batu 14 Jalan Muar-Air Hitam, berhampiran Bukit Naning dekat sini, kira-kira jam 1.30 petang semalam.
Bagaimanapun usaha untuk menemu bual Ghazali iaitu Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Umno Bahagian Bakri,. tidak berjaya berikutan keadaannya yang tidak mengizinkan dan terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarganya.
Lebih memilukan, kejadian ngeri itu berlaku di hadapan rumah mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Bukit Naning iaitu tempat Ngaisah mengajar.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila lori seberat 10 tan yang sarat membawa muatan dari Air Hitam menghala ke Muar cuba memintas kereta Proton Persona dipandu Ngaisah yang ketika itu sedang membelok ke kiri untuk pulang ke rumahnya.
Malangnya, lori terbabit hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan keseluruhan muatan barangan konkrit bahan binaan itu bertaburan dan menghempap kereta dipandu guru Matematik itu.
Pegawai Bomba Kanan Dua, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 1.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama satu jentera dengan tujuh anggota.
Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terhempap dalam timbunan barangan konkrit bahan binaan dengan menggunakan bantuan dua jentera forklift.
“Ketika dikeluarkan, mangsa sudah meninggal dunia dan pemandu lori berkenaan dipercayai melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat.
“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Pertemuan terakhir Rabu lalu KAKAK kedua Ngaisah, Noriah Redzuan, 70, begitu terkejut menerima berita yang menimpa adiknya melalui penduduk kampung.
“Kali terakhir saya menemui Ngaisah pada Rabu minggu lalu di sebuah kedai runcit di Parit Sulung, Batu Pahat.
“Dalam pertemuan itu, dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik dan sentiasa dengan sikap ramahnya,” katanya.
Sementara itu, rakan mangsa yang dikenali sebagai Shidah, 47, berkata, sebelum kejadian arwah sempat meninggalkan pesanan supaya membantunya memasang langsir baru sekolah pada keesokan hari (hari ini).
“Tahun ini arwah menaja langsir baru untuk sembilan kelas seperti yang dilakukannya setiap tahun.
“Hari ini (semalam) kami tidak sempat berbual panjang kerana sibuk bergotong royong membersihkan sekolah berikutan akan menerima kunjungan lawatan Nazir Jumaat ini,” katanya.
Shidah turut sedih mengenangkan semula pesanan terakhir arwah dan menganggap pemergian sebagai satu kehilangan besar buat dirinya kerana mereka sudah bersahabat baik lebih 20 tahun lalu.
Manakala seorang anak murid mangsa, Nornasha Kamarudin, 12, berkata, dia turut sedih dengan pemergian guru matematiknya itu.
“Ketika mengajar dalam kelas hari ini, Cikgu Ngaisah banyak tersenyum dan mendekati rakan-rakan yang tidak faham dengan apa yang diajarnya,” katanya.
Sinar Harian
24 Jan 2013
Pemandu Lori Hadapi Tuduhan Sebabkan Kematian Tiga Beranak
MUAR: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu dengan melulu hingga menyebabkan kematian tiga beranak dalam kemalangan yang berlaku di Batu 14 Air Hitam, dekat sini, pada 23 Jan lalu.
Lee Yong Long, 27, dari Taman Budaya Jingga, Batu Pahat, dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 2 petang hingga menyebabkan kematian Ngaisah Redzuan, 46, dan dua anaknya, Muhammad Nurullah Azzim Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea, 10.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun hingga 20 tahun atau denda RM5,000 hingga RM20,000.
Tertuduh dengan tangan kanannya berbalut, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan Majistret Roslinda Razali.
Mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM8,700 bersama seorang penjamin manakala lesen memandu Lee digantung.
Roslinda menetapkan 6 Mac sebagai tarikh perbicaraan. Pendakwaaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa raya R.Bala sementara peguam bela ialah Mohd Redza Hamdan.-BERNAMA
30 Jan 2013
0 comments:
Post a Comment