Thursday, January 17, 2013

RM7.6j bantuan persekolahan


Razali Ibrahim menyerahkan wang RM100 kepada salah seorang murid pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2013 di Dewan SMKA Maahad Muar, Johor, kelmarin.

MUAR 16 Jan. - Seramai 76,154 pelajar daripada 211 sekolah rendah dan menengah dalam daerah Muar, Ledang, Pagoh serta Bakri menerima bantuan awal persekolahan RM100 bernilai kira-kira RM7.6 juta mulai semalam.

Daripada jumlah itu, daerah ini menerima kira-kira RM1.9 juta melibatkan 8,871 murid sekolah rendah dan 10,164 pelajar sekolah menengah.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, bantuan kali kedua di bawah Bajet 2013 itu turut melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, sekolah agama rakyat dan sekolah agama kerajaan negeri.

"Walaupun pemberian ini sudah dua kali diagihkan, masih ada ibu bapa yang tidak mengetahui tentang bantuan daripada kerajaan ini. Kita kena bersyukur dengan pemberian ini yang bertujuan meringankan beban ibu bapa apatah lagi yang mempunyai ramai anak.

"Ada pihak tertentu mempolitikkan pemberian ini tetapi sebenarnya kerajaan prihatin dengan beban dan kesusahan rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan tersebut untuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Maahad (SMKM) Muar, di sini semalam.

Bagi keseluruhan negeri ini, seramai 640,704 pelajar daripada 1,168 sekolah menengah dan rendah akan menerima bantuan kira-kira RM64 juta yang diagih-agihkan secara berperingkat tanpa mengira pendapatan keluarga sehingga 31 Januari ini.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengingatkan ibu bapa bahawa pemberian tersebut tidak kekal dan bantuan itu disalurkan kerana kerajaan ketika ini masih mampu berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, apabila berlaku bencana alam atau malapetaka, tidak mustahil dana Bantuan Persekolahan RM100 itu akan disalur untuk mangsa-mangsa terbabit kerana menjadi satu keutamaan bagi menghulurkan bantuan kepada pihak yang lebih memerlukan.

Utusan 17 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment