Wednesday, January 30, 2013

Pesara tentera maut nahas


Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas terbabit dalam nahas jalan raya di di Jalan Muar-Bakri berhampiran persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai, Bakri, semalam.

MUAR – Seorang warga emas maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya yang membabitkan dua motosikal di Jalan Muar-Bakri berhampiran persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai, Bakri di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.25 pagi itu,  pesara tentera, Yatim Shrani, 65, dari Kampung Parit Bakar Darat, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa yang sendirian menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dikatakan baru keluar dari persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai menghala ke bandar Muar.

Setibanya di tempat kejadian, motosikal ditunggangi warga emas itu terbabit dalam kemalangan dengan motosikal lain yang datang dari arah Bakri menghala ke bandar Muar.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal terjatuh dan  meragut nyawa warga emas terbabit.

Manakala seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC terselamat dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kerana mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian  anggota badan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Mayat warga emas itu  di bawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


SINAR HARIAN
29 Januari 2013

0 comments:

Post a Comment