MUAR 21 Jan. - Pihak tertentu diminta tidak mempolitikkan bidang pendidikan kerana kerajaan sentiasa mementing dan mengambil berat aspek berkenaan sejak dahulu.
Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, tiada alasan setiap keluarga tidak memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka kerana sememangnya kerajaan mahu semua rakyat menerima pendidikan sehingga ke tahap tertinggi.
"Ini dibuktikan dengan peruntukan besar dikeluarkan setiap tahun termasuk Bantuan Khas Awal Persekolahan yang diterima setiap pelajar sejak tahun lalu tanpa mengira latar belakang dan kaum.
"Dalam soal pendidikan kita tidak boleh main politik, kerajaan BN (Barisan Nasional) dari dulu sampai sekarang beri peruntukan besar untuk pendidikan," katanya dalam majlis penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina San Chai, Parit Unas di sini kelmarin.
Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, bantuan persekolahan berkenaan boleh merangsang anak-anak untuk meneruskan persekolahan dan melakukan transformasi seperti disaran kerajaan.
"Dulu jika nak buka sekolah, ibu bapa pening kepala kerana perlu bayar yuran, buku teks, pakaian seragam. Sekarang sudah ada buku teks percuma, yuran tak perlu bayar dan mulai tahun lalu kerajaan beri pula bantuan khas awal persekolahan," katanya.
Menurutnya, sebanyak 144 murid sekolah berkenaan, manakala 52 lagi sekolah di kawasan Parlimen itu juga akan menerima bantuan itu secara berperingkat-peringkat.
Bantuan tersebut diagihkan secara berperingkat-peringkat kepada kira-kira 5.4 juta pelajar di 10,019 sekolah rendah dan menengah seluruh negara mulai minggu lalu seperti yang diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2013 tahun lalu.
Utusan
22 Jan 2013
0 comments:
Post a Comment