Wednesday, January 30, 2013

PDK Johor terbaik negara


Jamilah menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Bungkusan Sumbangan Juita Sempena Tahun Baru Cina di SJKC Chung Hwa 2A, semalam.

MUAR – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Johor diiktiraf sebagai PDK terbaik negara dengan 66 pusat PDK seluruh negeri, sekaligus merekodkan bilangan terbanyak berbanding negeri lain.

Yang Dipertua Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (Juita), Datin Paduka Prof Dr Jamilah Ariffin berkata, pengiktirafan tersebut dibantu dengan kejayaan 14 projek Juita menerusi Projek Juitaku Sayang.

Menurutnya, Juita amat sinonim membantu serta membela ibu tunggal dan projek yang dilaksanakan telah mengubah taraf kehidupan ibu tunggal menjadi lebih baik.

“Ibu tunggal disarankan merebut peluang dan diminta mendaftar menjadi sahabat Juita untuk membolehkan mereka mengikuti kursus yang disediakan Juita.

“Ketika ini, Juita sedang melatih kira-kira 3,000 ibu tunggal dalam pelbagai bidang termasuk industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bungkusan Sumbangan Juita Sempena Tahun Baru Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 2A di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Jamilah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan harian kepada 70 murid dan 30 warga emas.

Jamilah berkata, Juita mempunyai kelengkapan peralatan yang lengkap seperti dalam bidang jahitan dan urutan refleksologi.

“Ramai ibu tunggal yang mengikuti kursus ini mampu meraih pendapatan lebih RM2,000 sebulan,” katanya.

 Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa yang mempunyai anak cacat agar tidak berasa malu untuk mendaftar dan menghantar anak mereka mengikuti kelas di PDK berhampiran.

“PDK negeri ini sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dan ramai bekas pelatih  dapat berdikari dengan menggunakan kemahiran yang mereka perolehi sepanjang menjadi pelatih PDK,” katanya.

Sinar Harian
28 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment