Saturday, January 5, 2013

Penarik kereta miliki kereta curi ditahan


MUAR 4 Jan. - Seorang penarik kereta yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau ditahan kerana memiliki sebuah kereta curi dalam serbuan polis di sebuah rumah di Jalan Salleh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kereta Perodua Kancil itu dilaporkan hilang di Taman Soga, Batu Pahat, 25 Disember lalu.

Menurutnya, suspek berusia 25 tahun dan berasal dari Batu Pahat itu dipercayai baru beberapa bulan menyewa rumah berkenaan.

Kata beliau, tiga rekod jenayah lampau suspek adalah bersangkutan dengan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 379 dan Seksyen 29 (1) kanun yang sama.

"Kita tidak menolak kemungkinan kereta itu untuk dijual berdasarkan pekerjaan suspek sebagai penarik kereta. Suspek ditahan reman sehingga 6 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Nasir memberitahu, statistik kecurian motosikal daerah ini meningkat sebanyak 43 peratus tahun lalu berbanding 2011.

Katanya, kecurian kerap berlaku dalam kawasan kediaman sama ada di kawasan perumahan juga kampung pada waktu puncak antara pukul 12 malam hingga enam pagi.

"Lokasi kedua tertinggi berlaku kecurian motosikal adalah di tempat awam sama ada di dalam bandar ataupun pekan. Saya menasihati orang ramai supaya memasang kunci pendua pada motosikal masing-masing semasa di rumah ataupun meninggalkan motosikal di tempat awam," katanya.

Kata Mohamad Nasir, sikap penunggang motosikal yang lalai dengan membiarkan kunci pada motosikal menjadi penyumbang kepada peningkatan kejadian kecurian motosikal.

Utusan
5 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment