Tuesday, January 22, 2013

Babi hutan ganggu penduduk


Abd Hamid menunjukkan antara kawasan yang sering menjadi tumpuan babi hutan setiap kali berkeliaran di kawasan rumahnya.

MUAR - Ketenteraman kira-kira 500 penduduk di Kampung Bukit Treh Jalan Salleh di sini, terjejas berikutan gangguan babi hutan sejak dua bulan lalu.

Dakwa penduduk, keadaan itu semakin serius sejak kebelakangan ini apabila haiwan tersebut semakin berani berkeliaran di kawasan kediaman mereka.

Salah seorang penduduk, Abd Hamid Ibrahim, 29, berkata, haiwan berkenaan dipercayai bersembunyi dalam belukar yang terdapat berhampiran kampung itu.

Menurutnya, haiwan berkenaan dapat dilihat berkeliaran di sekitar kawasan kampung bermula jam 8 malam hingga waktu pagi.

“Haiwan ini juga bergerak secara berkumpulan dan saya pernah terserempak dengan kumpulan berkenaan yang dianggarkan 10 ekor.

“Kumpulan babi hutan itu nyaris memasuki rumah selepas pagar rumah saya disondol salah seekor haiwan terbabit sehingga rosak, namun berjaya menghalau haiwan itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Manakala, bagi Johari Ismail, 74, berkata, tanaman ubi yang diusahakan bersebelahan tanah perkuburan kampung berkenaan turut menjadi sasaran haiwan terbabit.

“Banyak tanaman ubi rosak kerana disondol dan dimakan oleh haiwan ini pada waktu malam.

“Saya ada pasang perangkap sebagai usaha menghalaunya, tetapi terlebih dahulu telah dirosakkan oleh haiwan ini,” katanya.

Katanya, selain ubi, dia turut menanam keladi dan pisang, namun semuanya turut dirosakkan dan tidak sempat menikmati hasil jualan tanaman itu.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Baki, 59, berkata, dia bimbang keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak yang keluar rumah pada waktu malam untuk pergi mengaji.

“Ramai kanak-kanak mengadu, mereka sering terserempak dengan babi hutan berkeliaran dalam kawasan kampung dan bertindak melarikan diri kerana ketakutan.

“Baru-baru ini, seorang penduduk yang memandu kereta terlanggar seekor babi hutan yang melintas jalan kampung secara mengejut. Mujur kejadian itu tidak membabitkan penunggang motosikal, jika tidak pasti perkara tidak diingini akan berlaku,” katanya.

Justeru itu, dia mengharapkan ada pihak yang dapat tampil untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Sinar Harian
20 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment