Monday, January 7, 2013

IPD Muar cemerlang KPI


MUAR 6 Jan. - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar melepasi semua sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi penurunan indeks jenayah yang ditetapkan pada tahun lalu dengan mencatatkan pencapaian amat memberangsangkan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, indeks jenayah di sini menurun tujuh peratus berbanding sasaran yang ditetapkan KPI di peringkat Pusat iaitu lima peratus.

"Kadar pertuduhan dan pendakwaan kes juga melepasi sasaran iaitu 46.58 peratus berbanding sasaran 25 peratus, kadar penyelesaian kes pula 63 peratus (sasaran 45 peratus) manakala kadar jenayah jalanan 80.3 peratus (sasaran 45 peratus).

"Ini adalah kejayaan bersama antara polis dan masyarakat dalam usaha membanteras jenayah. Kita ucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat dalam polis," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan basikal kepada polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Parlimen Muar di pekarangan IPD Muar di sini hari ini.

Sebanyak 50 buah basikal import bernilai kira-kira RM225,000 disampaikan oleh Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan kepada 35 anggota polis dan selebihnya anggota Rela untuk kegunaan meronda.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai; Pegawai Khas Menteri Besar Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Lee Ching Yong; Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Sahadan Jaafar dan Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam.

Mohamad Nasir berkata, kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama pihaknya dengan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela, 58 pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kepolisan Komuniti Muar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain menyatakan harapan agar hubungan tersebut diteruskan dengan lebih akrab.

Menyentuh mengenai sumbangan basikal, beliau berkata, ia akan digunakan untuk meronda di seluruh kawasan bandar, taman perumahan dan kampung berhampiran dalam usaha mencegah kegiatan jenayah.

Sementara itu, Razali berkata, sumbangan basikal itu adalah sebagai penghargaan kepada anggota polis khususnya mereka yang melakukan rondaan di bahagian bandar sesuai dengan statusnya yang kini dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja.

"Selain itu kita juga bercadang untuk meletakkan 100 buah basikal di Pejabat Daerah Muar untuk digunakan belia menjalankan sebarang aktiviti," katanya yang turut memuji kejayaan IPD Muar mencapai keseluruhan KPI yang ditetapkan.


Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

Utusan
7 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment