Wednesday, January 30, 2013

Siasat dakwaan nelayan rugi RM712,000


MUAR 23 Jan. - Pusat Khidmat Parlimen Muar akan menyiasat dakwaan 72 nelayan di Parit Jawa dekat sini, yang mendakwa jaring mereka rosak sehingga kerugian RM712,000 akibat kegiatan sebuah kapal mengorek pasir di kawasan tangkapan ikan.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati aktiviti yang dijalankan kapal itu mengikut semua peraturan ditetapkan termasuk mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan tiada sebarang aduan diterima Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar atau pusat khidmat tersebut.

"Sebarang masalah yang timbul, kita perlu bincang untuk cari penyelesaiannya. Kita minta pengadu guna saluran betul, jangan bila ada masalah kita berdemonstrasi.

"Ini bukan caranya kerana demonstrasi mencemar imej nelayan Muar yang sebelum ini tidak bermasalah.

"Dakwaan ini perlu disiasat terlebih dahulu dan andai kata memang ada jaring terjejas, syarikat kapal itu sanggup membayarnya tetapi mesti ada buktinya," katanya dalam majlis penyerahan elaun hidup nelayan di Pantai Leka, Parit Jawa, di sini baru-baru ini.

Rabu lalu, kira-kira 34 daripada 72 nelayan yang menuntut kerugian itu melakukan demonstrasi dengan disertai Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa di kawasan pantai tersebut supaya syarikat yang mengendalikan kerja-kerja mengorek pasir membayar ganti rugi.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, pihaknya dimaklumkan nelayan-nelayan terbabit membuat laporan di Balai Polis Parit Jawa dekat sini, tetapi siasatan masih belum dilakukan dan mereka perlu mempunyai bukti jaring-jaring tersebut 'benar-benar' rosak.

Menurut beliau, terdapat banyak perkara meragukan dan memerlukan bukti kukuh kerana jumlah dituntut terlalu besar berbanding harga jaring iaitu hanya RM100 atau RM200 setiap satu.

"Hanya nelayan Cina mendakwa mengalami kejadian jaring rosak tetapi nelayan Melayu tidak berdepan masalah itu sedangkan kawasan tangkapan ikan adalah sama.

"Kapal tersebut juga beroperasi hanya dua jam sehari di kawasan kira-kira 16 batu nautika dari kawasan pantai dan bukan mengorek pasir di kawasan nelayan menangkap ikan. Nelayan juga sudah dimaklumkan untuk tidak menghampiri kapal itu apabila kerja-kerja mengorek pasir sedang dijalankan," katanya.

Sehubungan itu tambahnya, sebarang tuntutan palsu hanya akan merugikan nelayan terbabit kerana jika syarikat berkenaan didapati tidak bersalah dikhuatiri mereka akan mengemukakan saman terhadap nelayan-nelayan berkenaan.

Dalam masa sama, Razali turut mengingatkan nelayan di Parit Jawa tidak diperalatkan pihak tertentu demi kepentingan politik.

Utusan
24 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment