Wednesday, January 30, 2013

1,000 dapat Bantuan Persekolahan


TAHIR Taat menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 kepada pelajar di SMK Tengku Temenggung Ahmad, Grisek, Pagoh, semalam.

PAGOH 22 Jan. - Hampir 1,000 murid dan pelajar dari enam sekolah di sekitar Grisek menerima Bantuan Persekolahan sebanyak RM100 seorang dalam majlis yang diadakan di dua buah sekolah, di sini hari ini.

Ia melibatkan sebuah sekolah menengah kebangsaan, tiga sekolah kebangsaan dan selebihnya sekolah jenis kebangsaan Cina yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat.

Tahir berkata, walaupun ada yang menganggap wang RM100 untuk setiap pelajar itu tidak seberapa, namun ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ibu bapa.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Pendidikan Parlimen Pagoh berkata, bantuan berkenaan adalah satu daripada inisiatif kerajaan membantu rakyat dalam bidang pendidikan sebagai usaha mencapai status negara maju.

"Kita memerlukan ramai modal insan dan untuk itu kerajaan perlu memberikan pendidikan secukupnya kepada semua golongan masyarakat," katanya semasa berucap pada majlis penyampaian bantuan itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kung Yu, di sini.

Tahir berharap bantuan tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meringankan beban ibu bapa terutama golongan yang memiliki ramai anak dan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Hasyimah Hassan, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggung Ahmad, di sini akan menggunakan wang itu untuk membeli buku memandangkan dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

"Bantuan ini memang mampu meringankan beban keluarga. Terima kasih kepada kerajaan yang membantu," katanya.

Kerajaan pada minggu lalu mula mengagihkan bantuan khas itu dan negeri ini menerima sebanyak RM60.5 juta yang membabitkan seramai 605,848 pelajar.

Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Muar menerima peruntukan RM7.1 juta merangkumi daerah Muar, Ledang, Pagoh serta Bakri dengan melibatkan 76,154 pelajar dari 211 buah sekolah rendah dan menengah.

Utusan
23 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment