MUAR 31 Dis. - Kira-kira 70 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Muar Selatan mengadakan demonstrasi secara aman menuntut masalah pertindihan kawasan antara PPK Muar Selatan dan PPK Bakri diselesaikan segera.
Demonstrasi yang diadakan di Pusat Timbang Kampung Tengah Batu 18, Air Hitam dekat sini, semalam juga memprotes hasrat PPK Bakri mengambil alih enam unit pusat timbang di bawah pengurusan PPK Muar Selatan yang disifatkan tidak wajar dan mempunyai agenda tertentu.
Enam unit itu yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Naning adalah di Parit Tengah B dan C (unit 15), Batu 18 Air Hitam (unit 16), Batu 16 Air Hitam (unit 17), Parit No 4 (unit 21), Parit Baru (unit 24) dan Parit Tengah A (unit 27).
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPK Muar Selatan, Omar Idris berkata, enam unit itu merupakan pusat utama aktiviti PPK Muar Selatan kerana menyumbang sebanyak 80 peratus keuntungan kepada pertubuhan berkenaan.
"PPK Muar Selatan yang ditubuhkan 40 tahun lalu merupakan sebuah PPK berpotensi tinggi dan memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM700,000 tahun ini.
"Cadangan pengambilalihan ini dibantah 6,700 ahli PPK Muar Selatan kerana kami mahu enam unit tersebut diuruskan sepenuhnya oleh kami dan bukan di bawah PPK Bakri," katanya ketika ditemui selepas menyertai demonstrasi aman itu.
Omar berkata, cubaan mengambil alih enam unit tersebut telah dilakukan sejak enam tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, PPK Muar Selatan tetap mempertahan serta tidak setuju dengan cadangan berkenaan.
"Usaha ini sia-sia apabila isu pertindihan kawasan dan tuntutan mengambil alih hak milik PPK Muar Selatan masih ditimbulkan," katanya.
Seorang lagi AJP PPK Muar Selatan, Junid Pardi berkata, ahli-ahli tidak mahu PPK Muar Selatan mempunyai dua pengurusan jika pengambilalihan itu berlaku kerana keadaan akan menjadi lebih rumit.
Sementara itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Johor, Datuk Saipolbahri Suib yang juga Pengerusi PPK Bakri ketika dihubungi enggan memberi sebarang ulasan berhubung perkara berkenaan.
Utusan
1 Jan 2013
0 comments:
Post a Comment