LOKASI seorang murid berusia 10 tahun dalam perjalanan ke sekolah yang diculik sebelum dirogol serta dicederakan di Bukit Batu dekat Bakri, Muar, Johor, semalam.
MUAR 29 Jan. - Malang buat seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun apabila diperlakukan secara kejam oleh seorang lelaki yang bukan sahaja merogol malah meliwat mangsa dan dipaksa melakukan seks oral di Bakri di sini semalam.
Tidak cukup dengan itu, mangsa yang enggan mengikut kemahuannya dipukul dan kemaluannya ditoreh suspek dengan senjata tajam sehingga mengakibatkan kanak-kanak berkenaan terpaksa menerima 18 jahitan.
Lebih menyedihkan kejadian tersebut berlaku semasa mangsa dalam perjalanan menaiki basikal berseorangan menggunakan jalan pintas ke sebuah sekolah agama di Bakri di sini, melalui kebun getah, pukul 3 petang.
Semasa dalam perjalanan, mangsa ditahan suspek berusia 37 tahun, kira-kira 250 meter dari Jalan Mahmud di sini, sebelum dipaksa menaiki kereta lalu melarikannya.
Insiden itu disedari seorang pekebun yang hanya sempat mencatat nombor pendaftaran kereta tersebut dan bertindak menghubungi polis.
Menurut sumber, mangsa kemudian dibawa ke sebuah tempat pembuangan sampah lalu dirogol, diliwat dan dipaksa melakukan seks oral di dalam kereta.
"Mangsa turut dicederakan suspek apabila enggan menurut kemahuan lelaki itu," katanya ketika ditemui di Bukit Bakri, sini hari ini.
Kata sumber itu lagi, selepas kejadian, suspek membawa mangsa ke sebuah stesen minyak di Bukit Bakri dan sepasukan polis yang mendapat maklumat berhubung nombor pendaftaran kereta tersebut bertindak menahannya kira-kira pukul 5 petang.
Ujarnya, mangsa diselamatkan dalam keadaan baju sekolahnya berlumuran darah, ketakutan dan tidak bermaya sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan menerima 18 jahitan di bahagian kemaluan.
Melalui siasatan awal katanya, suspek mengaku mengambil dadah sebelum melakukan perbuatan tersebut dan direman bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati jarak antara rumah kanak-kanak malang itu dengan sekolah agama terbabit kira-kira dua kilometer yang perlu melalui kawasan belukar, kebun sawit dan kebun getah.
Menurut penduduk tempatan yang enggan dikenali, mangsa menggunakan jalan tersebut setiap hari kerana merupakan jalan pintas dengan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke sekolah.
Katanya, jalan tersebut sunyi tetapi penduduk tidak mempunyai pilihan lain kerana merupakan jalan paling dekat.
Utusan
30 Jan 2014
Kes rogol, liwat budak tiada unsur perkauman - Polis
JOHOR BAHRU 30 Jan. - Polis menegaskan kejadian seorang budak berusia 10 tahun di Bakri, Muar yang dirogol dan diliwat oleh seorang penjenayah kelmarin tidak melibatkan unsur perkauman.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, siasatan awal mendapati penjenayah berkenaan yang berjaya ditahan berada di bawah pengaruh dadah.
"Saya minta orang ramai tidak menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berunsur hasutan atau mengambil tindakan di luar batasan. Biar polis siasat kes ini sepenuhnya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.
Akhbar hari ini melaporkan nasib malang menimpa seorang budak perempuan berusia 10 tahun apabila diperlakukan secara kejam oleh seorang lelaki yang merogol, meliwat dan memaksa mangsa melakukan seks oral.
Kejadian berlaku pukul 1.30 petang ketika mangsa dalam perjalanan menunggang basikal berseorangan menggunakan jalan pintas ke sebuah sekolah agama di Bakri sebelum dipaksa menaiki kereta suspek berusia 37 tahun itu. - UTUSAN ONLINE
30 Jan 2014
Didakwa culik, rogol budak
MUAR - Seorang buruh binaan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menculik, merogol dan dua kelakuan seks luar tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Tertuduh, Sia Tiong Yap, 29, membuat pengakuan itu selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melarikan kanak-kanak perempuan berkenaan dengan sebuah kereta di Lorong Jaafar, Jalan Mahmud, Bukit Pasir, dekat sini, bagi tujuan memuaskan nafsu kira-kira jam 2 petang, 28 Januari lalu.
Tiong Yap didakwa mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan kerana menculik dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa di Ladang Kelapa Sawit Batu 8 Setengah, Bakri, dekat sini, masing-masing pada jam 2.30 dan 2.50 petang, hari yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii secara paksa, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Manakala pertuduhan keempat, Tiong Yap didakwa merogol mangsa di bawah umur itu di lokasi sama, kira-kira jam 3 petang, hari yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Suzana menetapkan 20 Februari depan bagi sebutan semula kes berkenaan bagi mendapatkan laporan perubatan serta membolehkan tertuduh melantik peguam.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Kartini Kasran dan meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Sinar Harian
5 Feb 2014
0 comments:
Post a Comment