Muar: Seorang pemandu lori maut akibat tersepit di bawah kepala lori dipandunya selepas terbabit kemalangan di Kilometer 139.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Pagoh dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi, Sudirman Padang, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan.
Difahamkan, ketika kejadian, Sudirman yang juga pemandu lori sebuah pasar raya dikatakan dalam perjalanan bersama seorang kelindannya dari Kuala Lumpur ke daerah ini untuk menghantar barang.
Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian, Sudirman dipercayai terlelap, menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan lalu terbabas memasuki sebuah parit di tepi lebuh raya.
Mangsa yang berasal dari Likas, Sabah, dikatakan tercampak keluar dan tersepit di bawah kepala lori.
Saksi Razain Mohd Jalil, 50, berkata, dia hairan melihat sebuah lori berada dalam parit bersebelahan ladang kelapa sawit yang di bawah selianya. “Saya menghampiri lori terbabit dan melihat kelindan lori berusia 20-an di luar lori menghubungi seseorang sambil menahan kesakitan.
“Kelindan itu memberitahu rakannya tersepit di bawah kepala lori dan kami menunggu hingga ambulans tiba,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Johar Tumin berkata, selepas menerima panggilan kecemasan, satu jentera bersama sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Muar Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesah kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
myMetro
6 Jan 2014
0 comments:
Post a Comment