Siey Khoon bersama Mohd Anuar menunjukkan sarang persembunyian babi hutan dalam belukar.
MUAR - Penduduk sekitar Parit Kadzi, Jalan Temenggong Ahmad, di sini, hidup dalam kebimbangan akibat gangguan babi liar yang semakin berleluasa di kawasan kediaman mereka sejak kebelakangan ini.
Mereka mendakwa, masalah tersebut berlaku lebih 10 tahun lalu selepas kawasan belukar yang menjadi tempat tinggal haiwan itu diteroka dan dibersihkan untuk tujuan pembangunan.
Mohd Anuar Hussen, 41, berkata, sejak itu haiwan tersebut berkeliaran menghampiri kawasan rumah penduduk serta merosakkan tanaman.
“Saya pernah cuba untuk potong rumput bagi membersihkan belukar di belakang rumah, tetapi terpaksa berhenti apabila lihat haiwan itu menuju ke arah saya.
“Haiwan ini muncul tanpa mengira waktu. Biasanya antara jam 2 hingga 7 pagi dalam satu kumpulan dengan jumlah tiga hingga 10 ekor dalam satu masa,” katanya.
Katanya, mujur keliling rumahnya dipagar, menghalang haiwan tersebut masuk ke kawasan rumah.
Pesara kilang, Tay Siey Khoon, 55, berkata, dia bimbang haiwan ini bertindak ganas dan mengancam keselamatan poenduduk terutamanya mereka yang pulang pada waktu malam.
“Kejadian seorang tukang kebun di sebuah sekolah berhampiran yang putus tangan digigit haiwan ini hujung tahun lalu meninggalkan rasa trauma kepada penduduk dan khuatir ia berulang,” katanya.
Katanya, haiwan itu tidak takut dengan penduduk dan hanya melarikan diri apabila terdapat bunyi bising seperti mengetuk tin, mercun, menyergah atau membaling dengan kayu.
“Agak mengerikan apabila lihat haiwan ini yang mempunyai taring panjang, makan serta memecahkan kelapa menggunakan taring itu.
“Saya terbayangkan jika haiwan itu serang dan gigit penduduk, boleh menyebabkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Siey Khoon berkata, perkara tersebut pernah diajukan kepada berkaitan dan berharap pihak berkenaan dapat mengambil pendekatan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Sinar Harian
25 Jan 2014
0 comments:
Post a Comment