Muar: Penemuan mayat lelaki dengan beberapa kesan kecederaan di muka dan leher dalam bilik sewanya di sebuah rumah di Taman Indah dekat Sungai Abong di sini, awal pagi semalam, menimbulkan tanda tanya berikutan pasangan suami isteri yang juga pemilik rumah berkenaan tidak dapat dikesan.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mayat Tang Tai Chun, 54, ditemui dalam bilik sewanya oleh sepasukan anggota polis selepas majikannya membuat laporan kehilangannya, manakala pasangan suami isteri berusia lewat 20-an, gagal dikesan.
Jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Ng, 40-an, berkata, Tang berasal dari Pontian dan menyewa bilik di rumah pasangan berkenaan sejak dua minggu lalu.
Katanya, mangsa melakukan dua pekerjaan iaitu bekerja di kilang roti pada sebelah siang dan mencuci pinggan di restoran di sini, pada sebelah malam.
Katanya, beberapa hari sebelum kejadian mangsa ada mengadu kepada jirannya mengenai wangnya RM1,000 yang disimpan dalam bilik sewanya, hilang.
“Berlaku sedikit pertengkaran antara mangsa dengan pasangan suami isteri itu apabila dia bertanya mengenai wangnya.
“Isteri tuan rumah mengaku mengambil wang berkenaan, namun berjanji membayarnya secara ansuran RM400 sebulan,” dakwanya ketika ditemui.
Menurut Ng, kali terakhir mangsa dilihat pada Khamis lalu dan dia menyangka Tang pulang ke Pontian.
myMetro
20 Jan 2014
Suspek kes bunuh ditahan
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam di Cheras, Kuala Lumpur, sejurus diburu selama tiga hari selepas berlakunya kejadian berkenaan.
Menurutnya, suspek berasal dari Selangor dan menetap di Sungai Abong telah menyewakan sebuah bilik rumahnya kepada mangsa kira-kira tiga minggu lalu.
“Suspek dan mangsa tinggal bersama dalam rumah berkenaan sebelum berlakunya kejadian tersebut.
“Siasatan lanjut mendapat suspek mempunyai rekod lampau dan dikehendaki pihak polis dalam satu kes yang berlaku pada tahun 2012,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.
Azman berkata, dalam tangkapan itu, polis turut merampas telefon bimbit dipercayai milik mangsa.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dengan suspek.
“Suspek bebas dadah menerusi ujian air kencing ke atasnya dan ditahan reman sehingga 29 Januari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Tan Tau Choon ditemui mati di dalam bilik sewanya di sebuah rumah Sungai Abong dengan kesan darah akibat luka di pipi, kelaran di lehar dan tikam di perut dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi, 19 Januari lalu.
Penemuan mayat berkenaan susulan aduan majikan mangsa iaitu seorang wanita yang mengatakan lelaki berusia 54 tahun itu sudah dua hari tidak datang kerja di sebuah restoran di Sungai Abong.
Pemeriksaan lanjut polis di rumah itu pihaknya menjumpai dua bilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa.
Sinar Harian
25 Jan 2014
0 comments:
Post a Comment