Wednesday, January 1, 2014

Geng Tempe mengganas di Parit Zin

Abu Bakar menunjukkan jeriji tingkapnya yang dipotong penjenayah sebelum memecah masuk rumahnya.

MUAR 31 Dis. - Kira-kira 800 penduduk di Parit Zin, Bakri di sini bimbang apabila sekumpulan penjenayah digelar Geng Tempe yang dipercayai mengamalkan ilmu pukau menyamun kediaman beberapa penduduk baru-baru ini.

Geng Tempe yang dipercayai terdiri daripada warga Indonesia berasal dari Lombok dan turut bersekongkol dengan orang tempatan menyamun beberapa buah rumah sekali gus dalam satu malam.

Dalam kejadian pada malam 24 Disember lalu, geng itu bertindak menyamun rumah Ketua Kampung Parit Zin, Bakar Sujak, 71, sebelum memecah masuk kediaman seorang bilal masjid dan rumah milik seorang pemandu lori ikan yang terletak berhampiran.

Bakar ketika ditemui berkata, pihaknya percaya jenayah itu dilakukan kumpulan sama berdasarkan modus operandinya dan ia diperkuatkan lagi apabila telefon bimbit jenis Samsung milik anaknya yang disamun Geng Tempe tercicir di kediaman salah seorang mangsa.

Ujar bekas guru itu, sewaktu kejadian hanya anak bongsunya, Ahmad Farhan, 24, berada di rumah kerana dia dan isterinya, Nazariah Abdul Manan, 65, menghadiri satu majlis di Terengganu.

"Kira-kira pukul 4.30 pagi saya sampai ke rumah dan terkejut apabila dimaklumkan rumah saya disamun oleh tiga penjenayah yang memecah masuk dengan memotong jeriji cermin belakang lebih kurang pukul 3.50 pagi.

"Suspek bertindak mengacukan parang di leher anak saya sebelum tangan dan kakinya diikat. Mereka kemudian melarikan wang RM300 dan dua biji telefon bimbit," katanya.

Bakar yang juga bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bakri selama 18 tahun mendakwa, kejadian samun di rumahnya bukan kejadian biasa kerana para pekerjanya yang tinggal di sebelah tiba-tiba merasa mengantuk seawal pukul 8 malam.

"Biasanya, mereka akan tidur sekitar 12 malam, namun peliknya pada pukul 8 malam masing-masing sudah lelap dipercayai akibat dipukau.

"Menguatkan lagi andaian saya ialah apabila kumpulan penjenayah itu meninggalkan sisa makanan berbentuk bihun dan tempe dalam bekas makanan dan kami percaya ia merupakan syarat sebelum melakukan 'kerja' mereka," dakwanya.

Menurut Bakar, ketika pihak polis melakukan siasatan di kediamannya, penduduk sekali lagi gempar apabila geng berkenaan cuba merompak rumah seorang bilal setengah jam kemudian.

"Bagaimanapun suspek gagal kerana isteri bilal itu sempat menusuk kayu dari dalam rumah ketika suspek cuba memotong jeriji.

"Ketika orang ramai bersesak-sesak di rumah bilal, geng ini memecah masuk rumah pemandu lori ikan pula dan melarikan RM40," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Utusan
31 Dis 2013


Geng Tempe guna ilmu pukau

MUAR – Kemunculan sekumpulan penjenayah digelar Geng Tempe yang memecah masuk beberapa rumah penduduk di Kampung Parit Zin, Bakri di sini, baru-baru ini masih menghantui penduduk di kawasan berkenaan.

Kumpulan terbabit yang terdiri daripada warga asing itu dipercayai menggunakan ilmu hitam terhadap rumah penduduk yang menjadi sasaran mereka.

Dakwaan itu adalah berdasarkan tindakan mereka meninggalkan sisa makanan seperti bihun dan tempe dalam bekas polistren di tiga rumah mangsa yang dilakukan serentak pada kejadian 25 Disember lalu.

Salah seorang mangsa ialah Ketua Kampung berkenaan Abu Bakar Sujak, 71, berkata, ketika kejadian hanya anak bongsunya, Ahmad Farhan, 24, berada di rumah kerana dia bersama isterinya, Nazariah Abdul Manan, 65, mengikuti rombongan ke Terengganu.

“Setiba di rumah pada jam 4.30 pagi hari kejadian, saya  terkejut mendapati kereta polis berada di halaman rumah.

“Lalu saya segera mendapatkan Farhan untuk mengetahui perkara sebenar dan terkejut  rumah dipecah masuk penjenayah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, menurut cerita anaknya, tiga penjenayah memasuki rumah melalui tingkap dapur yang telah dipotong besi jerijinya pada jam 3.50 pagi.

“Ketika itu anak sedang tidur dan sedar kejadian tersebut apabila merasainya objek tajam di lehernya yang diacu parang oleh salah seorang penjenayah terbabit.

“Manakala dua yang lain hanya membawa kayu dan  mengarahkan anak supaya diam dan tidak melawan,” katanya.

Katanya, suspek bertindak mengikat tangan dan kaki anak menggunakan tuala yang telah dikoyakkan sebelum  melarikan diri dengan membawa bersama-sama  wang RM300 dan dua biji telefon bimbit.

Bekas guru itu berkata, kemudian  penjenayah terbabit turut  memecah masuk kediaman seorang bilal masjid dan sebuah rumah lagi milik seorang pemandu lori ikan di kampung berhampiran.

Menurutnya, tiga pekerjanya yang tinggal bersebelahan rumahnya tidak menyedari kejadian tersebut kerana  pada malam kejadian mereka berasa amat mengantuk  seperti dipukau dan tidur seawal   jam 8 malam berbanding kebiasaannya tidur sekitar jam 12 malam.

“Saya bersyukur penjenayah tidak bertindak ganas mencederakan anak saya meskipun telah mengacukan parang di lehernya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan laporan kejadian dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan.

Sinar Harian
1 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment