Azman (tiga,kiri) menunjukkan dadah yang dirampas selepas menyerbu sebuah hotel Selasa lalu.
MUAR - Cubaan dua lelaki menjadikan sebuah hotel di daerah ini sebagai transit untuk aktiviti pengedaran dadah dianggarkan bernilai RM1.35 juta terbongkar apabila ditahan di hotel berkenaan, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, serbuan jam 4.55 petang itu dilakukan sekumpulan anggota Jabatan Narkotik dan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.
Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya menemui 60 paket plastik dipercayai mengandungi heroin seberat 27 kilogram yang disembunyikan dalam sebuah bilik di hotel berkenaan dan seorang lelaki berusia 40 tahun.
“Kemudian kita menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 32 tahun dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di tempat letak kereta hotel tersebut.
“Pemeriksaan ke atas lelaki itu menemui sepucuk pistol angin bersama satu kelopak yang mengandungi beberapa butir peluru,” katanya dalam sidang media, semalam.
Azman berkata, keseluruhan nilai rampasan bernilai RM1.4 juta termasuk kereta, senjata api, 60 sampul surat coklat dan beberapa rampasan barangan lain.
Katanya, bahan terlarang itu boleh menampung keperluan seramai 135,000 penagih.
“Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis syabu. Suspek berusia 40 tahun itu berasal dari Melaka mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Manakala rakannya pula dari Sabah, tetapi tidak sebarang rekod lampau,” katanya.
Azman memberitahu suspek dipercayai memperoleh dadah itu dari Kuala Lumpur dan dikatakan baru tiba di hotel sebelum diberkas polis.
“Siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengetahui lokasi dadah itu dipasarkan.
“Kita akan mempergiatkan operasi untuk membanteras kegiatan itu dan percaya masih ada saki baki kumpulan terbabit yang masih bebas,” katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan reman sehingga 29 Januari ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Sinar Harian
25 Jan 2014
0 comments:
Post a Comment