Tuesday, November 17, 2015

Ibu muda dirompak, dibunuh

Nurul Shahira Mohamed Yatim - Foto The Star

MUAR – Misteri bunyi enjin kereta tidak dimatikan manakala pintu rumah terbuka ketika hujan lebat membongkar kisah tragis seorang kerani sekolah agama mati dibunuh selepas dirompak di Taman Setia Kasih, Sungai Terap di sini kelmarin.

Mayat Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, yang lehernya dijerut mengguna kain langsir ditemui pada pukul 6 petang oleh jirannya yang curiga dengan bunyi enjin kereta Honda Civic yang hidup terlalu lama manakala pintu rumah tidak ditutup.

Semasa kejadian hujan lebat manakala suami mangsa tiada di rumah kerana bekerja di Ulu Tiram dekat Kota Tinggi. Anak tunggal pasangan itu yang berusia 11 bulan berada di rumah pengasuh.

Berikutan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, polis menahan enam lelaki Nepal dalam tempoh dua jam selepas mayatkerani Sekolah Agama Sungai Raya di Taman Setia Kasih ditemui.

Sekolah Agama Sungai Raya merupakan sekolah agama di bawah seliaan kerajaan negeri Johor.

Kosmo
18 Nov 2015


Kerani sekolah agama dirompak, dibunuh

Suasana di tempat kejadian kerani di bunuh di Sungai Terap, Muar, semalam. FOTO ihsan pembaca

ANGGOTA polis membawa keluar mayat kerani sekolah agama dari kenderaan polis ke rumah mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar, Johor, semalam. UTUSAN/ISHAK RAHMAD

MUAR 17 Nov. - Seorang kerani sebuah sekolah agama pasti tidak me­nyangka tindakannya pulang seketika untuk mengambil barang di rumahnya di Taman Setia Kasih di sini, bakal meragut nyawanya, petang semalam.

Lebih menyedihkan, mungkin jeritan mangsa yang berusia 29 tahun itu meminta tolong tidak didengari jiran-jiran ekoran hujan lebat semasa kejadian.

Bagaimanapun, seorang jirannya, Aminah Syukur, 34, yang curiga apabila enjin kereta Honda Civic dan pintu rumah terbuka mendorong ‘menyiasat’ apa yang berlaku dan terkejut apabila me­nemukan mangsa terbaring separuh bogel dengan leher dijerut menggunakan tali pengikat langsir di depan pintu sebuah bilik, dipercayai dirompak dan dibunuh.

Semasa kejadian, suami ma­ngsa tiada di rumah kerana bekerja di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) Ulu Tiram, Johor Bahru manakala anak tunggal mereka yang berusia kira-kira 11 bulan dijaga pengasuh di rumah berhampiran.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu pukul 6 petang dan apabila pasukannya tiba mendapati pintu sebelah pemandu kereta Honda Civic milik mangsa dan pintu depan rumah berkenaan terbuka.

“Siasatan awal tidak menemukan sebarang senjata lain dan tiada sebarang kesan pecah rumah. Malah, keadaan rumah seperti biasa atau tiada tanda-tanda rumah itu digeledah.

“Bagaimanapun, dokumen pengenalan diri, dompet, telefon bimbit dan barang kemas mangsa semuanya hilang dipercayai dilarikan perompak. Jiran sebelah rumah mangsa yang menyedari kejadian itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya telah menahan enam lelaki warga Nepal yang berusia 25 hingga 43 tahun kurang dua jam selepas kejadian untuk membantu siasatan.

“Sejurus kejadian ini, kita me­nubuhkan sebuah pasukan khas menjejaki penjenayah berkenaan dan pada masa sama menahan enam lelaki warga Nepal yang me­rupakan pekerja kontrak di kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau turut meminta semua pihak berhenti menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak berasas dalam media sosial kerana me­ngundang pelbagai persepsi selain mengganggu siasatan.

“Tolong jaga sensitiviti keluarga mangsa. Sudahlah mereka kehilangan insan tersayang, macam-macam berita pula yang ditulis dan gambar disiarkan di Facebook sedangkan semua itu belum tentu kebenarannya.

“Pada masa ini, siasatan menjurus kepada rompakan yang bertukar menjadi pembunuhan, manakala motif dan punca kematian masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya sambil memberitahu pihaknya turut membuat laporan terhadap pihak yang menyebarkan gambar mangsa dan suami dalam media sosial.

Utusan
17 Nov 2015


Sebak lihat keadaan mayat isteri

JENAZAH kerani sekolah agama yang mati dibunuh dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir dan Naib Kadir di Bukit Pasir, Muar, Johor, semalam.

MUAR 17 Nov. – “Saya terkejut dan sebak lihat lehernya ada kesan jerut. Saya difahamkan semasa ditemukan, arwah dalam keadaan tidak terurus dan lebam di beberapa bahagian badannya dipercayai dipukul”.

Demikian reaksi suami seorang kerani sekolah agama yang menjadi mangsa rompak dan bunuh di Taman Setia Kasih, Sungai Terap, di sini semalam.

Faris Jaafar yang bertugas di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor Bahru yakin isterinya cuba mempertahankan diri dan melawan penyerangnya ketika kejadian itu.

Dia yang berusia dalam lingkungan 30-an dimaklumkan me­ngenai kejadian malang itu lewat petang semalam dan terus bergegas pulang ke rumah.

Bagaimanapun, hatinya luluh apabila diberitahu mayat isterinya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

“Ketika melihat mayat isteri buat kali pertama, saya sebak melihat keadaannya. Saya tidak sangka arwah diperlakukan dengan begitu kejam,” katanya ketika ditemui di rumah mayat HPSF, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 6 petang semalam, mangsa ditemukan maut oleh jirannya dengan leher dijerut menggunakan tali pengikat langsir selain pintu kereta dan pintu rumah terbuka.

Faris berkata, kali terakhir dia berjumpa isterinya kelmarin dan mereka sempat bersarapan sebelum dia pulang ke Pulada untuk meneruskan tugas seperti biasa.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Mohd. Adzrul Jaafar, 31, yang menetap di Taman Maluri, Ulu Tiram memberitahu, dia mengetahui kejadian tersebut pada pukul 6.50 petang semalam sebelum bergegas ke sini bersama-sama ibunya.

“Setahu saya, arwah tidak mempunyai musuh. Saya memang terkejut dengan kejadian ini dan kami sekeluarga tiba di Muar pukul 12 malam tadi tetapi tidak dibenarkan masuk ke rumah ke­rana siasatan sedang dijalankan,” katanya.

myMetro
18 November 2015


Shahira minta jaga anak tunggal

MUAR – Mangsa pembunuhan kejam, Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, pernah menghantar mesej meminta ibu saudaranya menjaga anak lelakinya yang berusia 11 bulan sebelum kejadian berdarah berlaku.

Menurut ibu saudaranya, Anita Abdul Aziz, 42, dia amat sedih dengan pemergian Allahyarham kerana tidak menyangka mesej melalui WhatsApp itu menjadi kenyataan dan merupakan wasiat ter­akhir Nurul Shahira.

Katanya, Allahyarham memintanya menjaga anak tunggal kerana pe­ngasuh sedia ada di Bukit Pasir di sini tidak lagi dapat menjaga anaknya bermula bulan depan.

“Kalau ikutkan Allahyarham, saya diminta menjaga anaknya bermula Disember ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Pasir di sini semalam.

Sementara itu, ibu mangsa, Hayati Abdul Aziz, 56, memberitahu, ketika Nurul Shahira dalam pantang selepas melahirkan anak lela­kinya itu, Allahyarham pernah berpesan supaya Anita menjaga anaknya.

“Pada masa itu, saya sangka anak saya bergurau tetapi sekarang ini, barulah saya faham maksudnya,” ujarnya.

Kosmo
19 Nov 2015


Cari kelibat ibu

Muar: “Muhammad Aish masih terlalu muda untuk mengerti apa yang berlaku namun ada kalanya, dia seolah-olah mencari ibunya,” kata Anita Abdul Aziz, 42, ibu saudara kepada Allahyarham Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, kerani sekolah agama yang dirompak sebelum dibunuh di rumahnya di Taman Setia Kasih, Sungai Terap di sini, Isnin lalu.

Anita berkata, sejak tragedi itu, dia diminta ahli keluarga Nurul Shahira untuk menjaga anak tunggal arwah, Muhammad Aish Muhammad Faris yang berusia 11 bulan.

“Minggu lalu, arwah minta saya menjaga Muhammad Aish pada Disember ini kerana pengasuhnya mempunyai urusan.

“Malah sebelum ini pun, saya sudah biasa mengasuh Muhammad Aish ke rumah saya di Yong Peng. Arwah akan menjemput anaknya setiap hujung minggu namun kerana rindu, arwah mengupah pengasuh yang tinggal berdekatan rumahnya sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui di rumah nenek arwah di Permatang Pasir, Bukit Pasir, semalam.

Menurut Anita, sejak kejadian itu, dia menjaga Muhammad Aish seperti biasa dan bersyukur bayi berkenaan tidak meragam atau terganggu kesihatannya.

“Alhamdulillah, kesihatan Muhammad Aish tidak terganggu. Ada kalanya dia memanggil ibunya namun keadaannya tidak membimbangkan malah selera makan selain waktu tidurnya tetap sama.

“Mungkin disebabkan dia sudah biasa dengan saya, jadi dia tidak terlalu janggal,” katanya.

Anita yang juga ibu kepada empat anak yang semuanya lelaki berusia 9 tahun dan 21 tahun berkata, dia bersedia membesarkan Muhammad Aish dan berharap mendapat restu semua ahli keluarga.

Ibu arwah, Hayati Abdul Aziz, 56, menggambarkan pembunuhan itu sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan dan berharap pembunuh anaknya itu segera ditahan untuk diadili.

“Sebagai ibu, saya tidak boleh terima kekejaman yang dilakukan ke atas anak saya. Saya reda dengan kejadian itu namun tidak akan memaafkan orang yang melakukannya dan berharap polis dapat menahan penjenayah terbabit secepat mungkin.

“Kami sedih dengan kejadian ini namun berterima kasih kepada semua yang memberi bantuan serta sokongan,” katanya.

Menurut Hayati, ketika arwah dalam pantang selepas melahirkan Muhammad Aish, arwah berpesan supaya anaknya itu dijaga Anita.

“Pada masa itu saya sangka arwah bergurau dengan permintaannya, tetapi sekarang baru saya faham maksudnya,” katanya.

Sementara itu, 100 ahli Skuad Sayang Wanita UMNO Pagoh menziarah keluarga mangsa dan menyerahkan sumbangan sebagai tanda berkongsi kesedihan dan meringankan beban.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh Senator Datuk Noriah Mahat berkata, insiden menimpa arwah terlalu berat untuk ditanggung keluarga berkenaan dan berharap orang ramai akan memberikan sokongan moral kepada mereka.

“Kunjungan kami untuk memberi semangat selain melihat apa yang boleh dibantu bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Dalam laporan muka depan Harian Metro semalam, Nurul Shahira ditemui terbaring dengan kesan jerutan di lehernya di depan pintu bilik utama rumahnya.

Mayat mangsa ditemui jiran dan berikutan itu, polis menahan enam lelaki warga Nepal berusia 25 tahun hingga 43 tahun beberapa jam kemudian bagi membantu siasatan.

myMetro
19 November 2015

0 comments:

Post a Comment