Saturday, March 14, 2015

Jangan makan 'ayam sakit'

MUAR – Ternakan ayam kampung yang diserang penyakit Newcastle Diseases (ND) atau sampar ayam  tidak dimakan kerana dikhuatiri penyakit itu boleh menjangkiti manusia.

Pegawai Veterinar Daerah Muar, Zamari Mohamad Amin berkata, sebaliknya ayam tersebut perlu diberikan multivitamin khas iaitu vaksin ND dalam bentuk larutan minuman yang dibancuh bersama air tanpa klorin.

Menurut Zamari, vaksin yang perlu diberikan sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang hayat ternakan itu bertujuan untuk penyakit berkenaan merebak ke kelompok ayam yang sihat.

“Penyakit ayam disebabkan oleh bakteria dan virus yang boleh berjangkit kepada manusia. Sebab itu mereka yang ada ternak ayam kampung sama ada secara kecil-kecilan atau komersial perlu memaklumkan kepada jabatan jika berhadapan dengan penyakit ini.

“Lazimnya mereka ambil tindakan sembelih dan makan ayam ini tanpa memikirkan kesannya yang boleh mendatangkan mudarat kepada manusia,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kebiasaannya ayam diserang penyakit ND mempunyai tanda-tanda seperti kepak jatuh ke bawah, muka monyok dan kedudukan leher terpusing kerana gangguan kepada sistem pernafasan.

“Walaupun ayam yang menghidap penyakit ini sudah mati tetapi virusnya boleh merebak dalam masa tiga hari.

“Reban ayam diserang wabak itu perlu dikosongkan dalam tempoh enam bulan untuk rawatan pencegahan kuman sebelum memulakan ternakan baharu,” katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh mendapatkan vaksin ND secara percuma di pejabat veterinar daerah.

Sinar Harian
14 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment