Tuesday, January 27, 2015

Hak 100 pekerja Islam terbela

Razali (kanan) ketika meninjau stor Pasaraya Astaka yang akan dijadikan surau bagi membolehkan pekerja Islam menunaikan solat. 

MUAR - Hak 100 pekerja Islam di Pasaraya Astaka, di sini untuk menunaikan solat ketika waktu bekerja dan rehat, akhirnya mendapat perhatian apabila pengurusan pasaraya berkenaan bersetuju membina surau dalam premis tersebut.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, surau tersebut memiliki ruang solat berasingan antara lelaki dengan perempuan berserta tempat wuduk yang dijangka  siap sebelum Tahun Baharu Cina.

“Berita ini (sedia ruang solat) melegakan saya selaku wakil rakyat di daerah ini dan juga pekerja-pekerja Islam di pasaraya ini dan  selepas ini  mereka lebih mudah untuk menunaikan solat.

“Jadi, mereka tidak perlu lagi keluar daripada premis ini untuk solat di surau awam di Pasar Awam Maharani di tingkat bawah pasaraya ini,” katanya ketika meninjau stor pasaraya itu yang akan dijadikan surau pekerja.

Pada minggu lalu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan polis dan mengadakan piket di Pasaraya Astaka sebagai bantahan tindakan pasaraya tersebut yang didakwa melarang pekerja Islam menunaikan solat ketika bekerja atau rehat.

Turut serta dalam tinjuan tersebut ialah Pegawai Daerah Muar, Muji Salimon; Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed dan Pengarah Pasaraya Astaka, Rahmat Ibrahim.

“Tinjauan ini bukan hendak menekan pihak pengurusan, tetapi untuk memastikan kebajikan pekerja Islam untuk menunaikan solat terbela serta terjaga.

“Saya akan datang lagi minggu depan untuk melihat perkembangan surau ini supaya dibuat mengikut spesifikasi ditetapkan Pejabat Agama daerah terutamanya dalam penandaan arah kiblat,” katanya.

Razali berkata, stor barangan yang dijadikan surau ini juga sesuai kerana ruangan selesa untuk membuat dua saf jika solat berjemaah.

Menurutnya, beliau difahamkan pihak Astaka akan membuat jadual bagi membolehkan pekerja menunaikan solat secara bergilir-gilir yang diperuntukkan masa setiap seorang antara 10 hingga 15 minit.

Katanya, beliau menganggap salah faham sebelum ini sudah selesai dengan pembinaan masjid di premis berkenaan dan menasihati pekerja supaya memanfaatkan masa yang diberikan syarikat terbabit.

Sinar Harian
27 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment