Monday, January 5, 2015

Letupan kuat gegar asrama

Anggota bomba dan penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran kilang memproses cat.

MUAR - Tidur malam kira-kira tujuh penghuni sebuah asrama pekerja asing di Jeram Tepi, dekat Bakri, di sini,   terganggu selepas dikejutkan dengan puluhan letupan kuat daripada kebakaran sebuah kilang memperoses cat di kawasan berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, menyebabkan keseluruhan bangunan kilang tersebut musnah terbakar.

Saksi, Abd Razak, 27, berkata, asrama berkenaan yang menempatkan enam penghuni iaitu warga Nepal menjadi panik bukan hanya kerana letupan itu tetapi juga disebabkan keadaan api yang menjulang tinggi.

“Kedudukan asrama ini terlalu hampir pada jarak kira-kira 20 meter dari kilang itu. Saya tidak berani keluar sebaliknya hanya lihat kejadian dari dalam rumah.

“Ramai penduduk keluar rumah masing-masing dan berkumpul berhampiran kawasan kilang untuk menyaksikan kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Razak, warga Bangladesh berkata, dia bekerja di kilang biskut yang terletak bersebelahan dengan kilang berkenaan sejak tujuh tahun lalu selepas berhijrah ke negara ini.

Menurutnya, kejadian tersebut pengalaman pertamanya menyaksikan sendiri kebakaran dan bersyukur api tidak merebak ke asrama penginapannya bersama rakan lain.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Mohd Johar Tumin berkata, 18 anggota bersama tiga jentera ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.15 pagi.

Menurutnya, operasi berkenaan turut dibantu lima anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Ledang.

“Ketangkasan anggota membolehkan api berjaya dikawal pada 40 minit awal operasi.

“Kebakaran ini turut memusnahkan beberapa kenderaan kilang seperti lori dan trak angkat susun serta tiga kenderaan awam yang diparkir berhampiran kilang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan api kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 6.35 pagi, bagaimanapun, punca kejadian dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Sinar Harian
5 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment