Wednesday, January 7, 2015

Pemandu sempat keluar lori

Anggota bomba bertungkus- lumus memadamkan kebakaran lori berkenaan, semalam.

MUAR - Seorang pemandu sempat menyelamatkan diri daripada api yang membakar kenderaan dipandunya melalui pintu yang tercabut selepas merempuh belakang lori lain di Kilometer 129.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, di sini semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit hanya cedera ringan pada badan ketika menyelamatkan dirinya.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Abd Rahman Jaafar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki berkenaan merempuh belakang lori di hadapannya yang rosak.

Menurutnya, lori aluminium itu baru sahaja mengalami kerosakan dan pemandunya belum sempat meletakkan kon di belakang lori yang diberhentikan di laluan kecemasan.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan lori tiga tan yang sarat dengan simen hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik masuk ke dalam curam di tepi lebuh raya sebelum terbakar.

“Tindakan pantas pihak bomba yang tiba awal di tempat kejadian berjaya memadamkan api yang sedang marak membakar kepala lori daripada merebak ke keseluruhan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu mengambil masa 30 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran melibatkan enam anggota bersama satu jentera.

Jelasnya, lokasi kejadian adalah dalam kawasan Muar tetapi pasukannya tiba lebih awal kerana kedudukan mereka berdekatan dengan tempat kejadian.

“Pemandu lori aluminium bernasib baik sempat menyelamatkan diri melalui pintu yang tercabut dan operasi memadam kebakaran selesai jam 7.30 pagi,” katanya.

Sinar Harian
7 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment