Mayat Chiew Lua dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat.
MUAR – Seorang warga emas ditemui mati lemas dipercayai terjatuh dari Jambatan Kedua Muar sebelum mayatnya dijumpai di tebing sungai oleh seorang nelayan yang sedang menangkap ikan di sungai berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, Chiew Lua, 65, yang dipercayai mempunyai masalah kemurungan telah meminta izin daripada menantunya untuk keluar rumah bersiar-siar.
Menantu yang enggan dikenali itu berkata, dia tidak menghalang permintaan itu kerana kebiasaannya ibu mertuanya hanya pergi bersiar-siar di sekitar kawasan berhampiran rumah dalam tempoh yang singkat.
“Namun saya berasa pelik apabila ibu masih tidak pulang ke rumah selepas 20 minit keluar dan segera memandu kereta untuk mencari ibu.
“Orang ramai beritahu di jambatan kedua ada orang terjatuh dalam sungai dan saya tanpa syak perkara buruk turut ke sana (jambatan kedua) sekadar untuk melihat kejadian tersebut,” katanya.
Namun katanya, dia berasa tidak sedap hati apabila diberitahu mangsa yang terjatuh sungai adalah seorang warga emas wanita dan terkejut mendapati sepasang kasut yang ditinggalkan di atas jambatan ialah milik ibu mertuanya.
“Saya tidak menyangka ibu mertua boleh berjalan kaki pada jarak yang jauh dari ruman di Jalan Bakariah sehingga ke tempat kejadian.
“Saya sangat sedih kerana kematian ibu berlaku dalam keadaan yang mengejutkan, iaitu kurang satu jam selepas mendiang keluar rumah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, seramai tiga anggota bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.15 petang.
Menurutnya, semasa tiba di tempat kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat.
Dalam kejadian berasingan, tindakan pantas anggota lapan anggota bomba daerah ini berjaya menyelamatkan seorang pemuda daripada lemas dalam Sungai Muar, di belakang Masjid Jamek Sultan Abu Bakar.
Pegawai Operasi, Norafatah Umar berkata, lima anggota yang tiba lebih awal di tempat kejadian dengan menaiki sebuah jentera bertindak menarik mangsa yang sedang berjalan di tebing menuju ke bahagian tengah sungai.
Sinar Harian
24 Mac 2015
0 comments:
Post a Comment