Friday, January 31, 2014

Cubaan ragut isteri dihalang suami


MUAR: Tindakan pantas seorang suami berjaya menyelamatkan isterinya yang juga seorang guru daripada menjadi mangsa ragut dua beradik dalam kejadian di depan sebuah bank di Jalan Abdullah di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejadian pada jam 10 malam itu berlaku di depan suami mangsa yang menunggu mangsa di dalam kereta dan kedua-dua suspek cuba meragut wanita itu dari arah belakang sejurus keluar dari bank.

"Mangsa yang berumur 39 tahun terjatuh apabila melawan menyebabkannya luka di siku kiri. Melihat keadaan itu, suami mangsa cuba menyelamatkan mangsa dan kebetulan kami sedang meronda di jalan berkenaan.

"Suspek yang berumur 26 tahun berjaya ditahan manakala abangnya yang berusia 38 tahun meloloskan diri tetapi gagal melarikan beg tangan mangsa," katanya, tadi.

Hasil siasatan, Azman berkata, suspek kedua berjaya ditahan sejam selepas itu di rumahnya di Taman Mas Jaya, Jalan Salleh.

Katanya, susulan tangkapan itu, pihaknya menahan seorang lagi suspek berusia 33 tahun yang juga rakan dua beradik terbabit pada jam 4.40 petang keesokan harinya.

Azman berkata, pihaknya merampas enam buah telefon bimbit, seutas jam dan dua motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai dicuri dan digunakan untuk meragut.

"Penahanan ini membolehkan kami menyelesaikan tujuh kes samun dan ragut yang berlaku di Jalan Ali, Jalan Arab, Jalan Abdullah dan sekitar bandar Muar dan Sungai Abong. Kita akan siasat lagi dan percaya masih ada barang kes lain," katanya.

Menurutnya, pasangan adik beradik berkenaan masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala rakannya yang berusia 33 tahun mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah juga samun.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati pasangan adik beradik terbabit positif dadah jenis syabu dan kesemua suspek direman sehingga Selasa ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

myMetro 31 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment