Wednesday, February 5, 2014

Maut dalam konvoi berdarah

Keadaaan kereta mangsa yang remuk akibat kemalangan tersebut.

MUAR – Kegembiraan lapan rakan berkonvoi dengan motosikal dari Kampung Sebatu, Jasin, Melaka bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 17, Jalan Bakri, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Muhamad Arif Saliman, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggani mangsa hilang kawalan lalu  memasuki laluan  bertentangan dan merempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios yang datang dari arah Batu Pahat menghala ke Muar.

Rakan mangsa, Samsul Izzwan berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke Masai, Johor Bahru selepas menghabiskan cuti selama empat hari di Melaka.

Menurutnya, mereka bertolak dari Melaka sekitar jam 1.30 petang bersama enam motosikal dengan enam penunggang dan dua pembonceng.

“Mangsa dan adiknya jatuh daripada motosikal, tetapi adik saya, Zulfikar, yang menaiki motosikal lain berlari ke tengah jalan dan sempat menarik Muhamad Hafiz ke tepi jalan kerana di belakangnya terdapat dua lori kontena,” katanya.

Pemandu kereta, Chua Yen Yen, 48, dari Batu Pahat berkata, dia bersama dua anaknya yang dalam perjalanan ke rumah ibu mertua di Sungai Abong, Bakri, hanya cedera ringan tetapi masih trauma.

“Kejadian tersebut berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat mengelak kerana motosikal terbabit masuk ke laluan saya sebelum merempuh bahagian depan kereta kami.

 “Semasa kemalangan, mangsa sedang menunggang secara berkumpulan dan motosikal mangsa berada paling depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
5 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment