Thursday, February 6, 2014

Ibu tunggal huni rumah usang

Zainab menunjukkan lantai rumahnya yang berlubang dimakan anai-anai.

MUAR – Seorang ibu tunggal terpaksa menghuni kediaman usang dengan keadaan lantai reput dimakan anai-anai dan bumbung bocor kerana tidak mempunyai kemampuan baik pulih rumah didiami.

Zainab Ahmad, 57, dari  di Lorong Haji Ahmad, Bakri Batu 5, di sini, tinggal di rumah  pusaka arwah bapanya, namun kediaman itu mula rosak sejak enam tahun lalu dan  keadaannya semakin teruk sejak kebelakangan ini.

 Menurutnya, dia menetap rumah berkenaan bersama anak saudaranya, Siti Nurashikin Sahadan, 15, kerana menjaga emaknya, Aminah Mahmud, 83, yang kini sakit tua dan memerlukan perhatian rapi.

“Setiap kali hujan, ruang dalam rumah ini akan dipenuhi bekas untuk menadah air bagi mengelakkan lantai dibanjiri dengan air hujan yang boleh menjadikan kerosakan lantai semakin teruk.

“Memang sedih apabila mengenangkan keadaan rumah ini dan khuatir bumbung rosak akan merebak  ke bahagian yang menempatkan ibu,” katanya.

 Zainab berkata, dia sebolehnya mahu memperbaiki rumah itu kerana kediaman berkenaan menyimpan banyak kenangannya ketika kecil bersama arwah ibu bapa dan 10 beradik lain.

“Saya dengan rela hati mahu jaga emak memandangkan adik beradik yang lain sibuk dengan komitmen kerjaya dan keluarga masing-masing.

“Namun mereka kerap pulang ke kampung menziarahi ibu apabila mempunyai masa terluang selain mengirimkan wang belanja RM300 setiap bulan untuk perbelanjaan,” katanya.

 Zainab berkata, dia pernah bercadang bekerja di kawasan berdekatan dengan rumahnya, tetapi terpaksa dilupakan kerana bimbang untuk meninggalkan ibu bersendirian di rumah.

“Saya berharap ada pihak yang prihatin membantu untuk menyelesaikan masalah dihadapi dan merealisasikan impian untuk tinggal rumah yang selesa serta sempurna,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua MCA Bahagian Bakri, Chris Lee Ching Yong berkata, pihaknya akan menemui ibu tunggal terbabit untuk mengenalpasti masalah dihadapi bagi membolehkan bantuan diberikan secepat mungkin.

Sinar Harian
4 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment