Thursday, February 6, 2014

Pemandu lori putus kaki, maut dalam kemalangan

Keadaan lori dipandu mangsa remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 141.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 6 Feb. - Seorang pemandu lori maut manakala kelindannya cedera selepas lori tiga tan yang dipandunya merempuh sebuah treler di Kilometer 141.3 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan berhampiran Yong Peng hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, pemandu berkenaan, S. Kalaimani, 33, putus kaki kanan manakala kelindan yang berusia dalam lingkungan 30-an cedera di kepala dipercayai terhantuk pada papan pemuka lori tersebut.

Mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru untuk menghantar barangan runcit dan apabila tiba di tempat kejadian, lori tersebut hilang kawalan lalu merempuh belakang treler tersebut.

Akibat pelanggaran tersebut, lori berkenaan remuk di bahagian hadapan, sekali gus mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk.

Kalaimani yang berasal dari Klang, Selangor terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam sebelum beberapa anggota bomba dan penyelamat Muar tiba di tempat kejadian dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkannya.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Johar Tumin berkata, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera dan dua buah motosikal bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 7.50 pagi.

"Kita mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan pemandu yang tersepit manakala kelindannya sudah dikeluarkan oleh orang awam yang menggunakan jalan berkenaan.

"Pemandu terbabit yang dalam keadaan lemah akibat pendarahan ekoran kecederaan parah dialaminya berjaya dikeluarkan dengan bantuan peralatan khas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu kelindan terbabit kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Utusan 6 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment