Friday, February 21, 2014

Rempuh pintu masuk sekolah

Keadaan kereta dinaiki tiga beranak setelah merempuh pintu masuk sekolah. - Foto Sinar Harian

MUAR - Sebuah keluarga Orang Asli nyaris maut apabila kereta dinaiki melanggar tiang lampu sebelum merempuh pintu masuk sebuah sekolah di Parit Keroma, Jalan Dato’ Haji Kosai, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, kereta Honda yang dinaiki tiga beranak itu hilang kawalan sebelum melanggar tiang dan tembok sekolah Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Yok Eng hingga mengakibatkannya remuk di bahagian bumbung, depan dan belakang.

Pemandunya, Abu Lau, 39, dari Kampung Tanjung Selabu berkata, semasa kejadian, dia sekeluarga baharu pulang dari bandar bertemu rakannya dan dalam perjalanan untuk bermalam di rumah ibu mertua di pekan Parit Bakar.

“Setiba di tempat kejadian, sebuah motosikal di belakang memotong dan menyalakan signal kiri secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang kiri. Keadaan itu membuatkan saya cuba mengelak ke kanan, tetapi terdapat sebuah kereta di hadapan.

“Saya cuba mengelak kereta dari arah bertentangan itu, tetapi menyebabkan saya hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu dan merempuh pagar sekolah berkenaan,” katanya, kelmarin.

Abu mengeluarkan isterinya, Wati, 35, serta anaknya, Wilson, 2, dari keretanya yang remuk teruk malah bersyukur tidak mengalami kecederaan.

Pengawal keselamatan sekolah terbabit, Mohd Azali Mohd Zakaria mengakui bernasib baik kerana kereta berkenaan tidak merempuh pondok pengawal keselamatan yang berkedudukan hanya bersebelahan pintu masuk sekolah berkenaan.

Katanya, sebelum kejadian, terdengar dua dentuman yang kuat dan akibat pelanggaran berkenaan pintu masuk sekolah terbabit yang mempunyai pagar besi serta tembok batu runtuh.

“Dua ambulans dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini dikejarkan ke tempat kejadian, tetapi mereka bernasib baik walaupun kereta dinaiki remuk teruk, lelaki tersebut dan keluarganya tidak apa-apa.

Mohd Azali berkata, mujur kejadian berkenaan berlaku pada sebelah malam kerana sekiranya terjadi pada sesi persekolahan, dibimbangi akan berlaku insiden tidak diingini kerana jalan itu sibuk pada sebelah siang.

“Kejadian ini tidak mengganggu sesi persekolahan bagi kira-kira 100 murid di SJKC Yok Eng dan semuanya berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan memberitahu kes itu masih dalam siasatan.

Sinar Harian
21 Feb 2014

0 comments:

Post a Comment