Saturday, January 11, 2014

Pekerja asing panjang tangan

Omar menunjukkan tandan pisang tanduk yang dipotong dan dicuri pekerja asing.

MUAR – Petani di Kampung Pergam, Parit Lanjut tertekan apabila hasil tanaman pisang tanduk mereka sering hilang dipercayai dicuri pekerja asing yang tinggal di asrama berhampiran kampung berkenaan.

Mereka mendakwa kehadiran ribuan pekerja asing di kawasan terbabit selepas beberapa kilang perabot dibuka di kawasan tersebut lebih lima tahun lalu.

Omar Saad, 57, berkata, kedudukan kebun pisang yang diusahakannya berhampiran asrama berkenaan menjadi sasaran pekerja asing mencuri hasil tanamannya.

“Sejak mereka ada, hasil tanaman berkurangan dan jualan pisang terjejas teruk. Jika dulu, boleh dapat RM1,000, tetapi kini tidak lagi.

“Mereka curi pada waktu tidak menentu yang bukan hanya pisang, tetapi juga buah-buahan seperti rambutan, durian atau sayuran,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Katanya, dia melakukan pelbagai cara untuk menghalang warga asing mencuri hasil tanaman termasuk memagar kawasan kebun, tetapi tidak berjaya, bahkan kejadian itu semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

“Kita bukan nak tuduh tanpa usul periksa warga asing ini mencuri tetapi bukti itu menjadi kuat apabila  ada penduduk pernah terserempak dengan mereka secara berkumpulan merayau-rayau di kawasan kebun tanaman dengan bersenjatakan parang.

“Perbuatan mereka gemar curi hasil tanaman membuatkan ramai petani serik untuk tanam semula pisang dan akhirnya pendapatan terjejas,” katanya.

Bapa kepada enam anak itu berkata, kehadiran mereka yang tidak terkawal turut mengundang rasa kebimbangan kepada kira-kira 1,500 penduduk di kampung berkenaan mengenai keselamatan keluarga mereka.

Sinar Harian
11 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment